suria

Plan macam-macam tapi hasrat rai hari bersejarah bersama ibu tak kesampaian, air mata graduan ini tumpah saat dengar lagu Sudirman di majlis konvo

Diana sebak meraikan hari bersejarah itu tanpa arwah ibunya.

TANPA ibu bapa, siapalah kita di dunia ini.

Begitulah juga kisahnya mengenai gadis ini yang mahu mendedikasikan kejayaannya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Seni Kulinari buat kedua orang tuanya.

Namun kata Maizatul Diana Mohd Khairi, 22, hari bersejarah itu ternyata kurang seri apabila ia diraikan tanpa ibu tercinta, Rohani Khamis yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sebak lihat bapa sarung jubah konvo, dulu belajar di London tapi tak mampu terbang ambil ijazah - “Dia kata bangga dengan saya... lama tunggu saat ini”

ARTIKEL BERKAITAN: 2 kali majlis ditunda, graduan melaram jubah konvo demi cipta kenangan sendiri... paling tak lupa kisah hampir putus asa di Jepun

"Arwah mak meninggal pada usia 55 tahun kerana kanser limfoma, sebulan sebelum saya menamatkan pengajian pada April 2020.

"Saya sedih, harapan saya nak mak dan ayah ada ketika hari graduasi. Rasa kurang seri tanpa arwah mak. Dia nak tengok saya naik pentas, tapi tak sempat.

"Saya pun dah pasang niat nak pakaikan jubah dan topi, tapi tak sempat. Dalam majlis itu, cuma ayah, kakak dan makcik saja yang hadir," ujarnya yang mesra disapa Diana.

Dalam pada itu, video memaparkan pelajar Management and Science University (MSU) Shah Alam, Selangor itu menangis ketika lagu Ayah dan Ibu dendangan Allahyarham Sudirman Hj Arshad sedang berkumandang pada majlis konvokesyen itu turut meraih hampir 100,000 tontonan.

diana3

Ibu Diana meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Lebih pilu, Diana turut memakai rantai dengan loket yang tertera wajah dia bersama ibunya, sekaligus mengundang rasa pilu netizen yang menonton video berkenaan.

"Kebetulan pula keluar lagu sedih ketika majlis itu, terus saya bergenang air mata. Memang dah tak boleh tahan. Saya terasa sangat.

Saya paling teringat menu ayam sambal hijau. Walaupun saya boleh masak sendiri, tapi rasanya tetap tak sama.

DIANA

"Pada waktu itu, saya pakai rantai dengan loket yang ada wajah kami berdua. Saya buat rantai itu selepas mak meninggal, untuk dijadikan kenangan. Saya memang selalu pakai rantai tu.

"Bila video viral, ramai pula yang tanya beli kat mana? Pada masa sama, saya terharu dengan komen mereka semua. Ramai yang doakan arwah mak saya," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai perjalannya dalam bidang itu, Diana mendedahkan Allahyarham banyak memberi inspirasi untuk dia mendalami kemahiran memasak sejak kecil lagi.

diana4

Diana bersama kakaknya ketika majlis pada Rabu.

"Dulu kalau arwah sedang memasak, saya suka sibuk-sibuk kat dapur, kacau dia. Memang belajar memasak dengan arwah mak sejak sekolah rendah lagi.

"Arwah juga ada pesan, dia kata kalau minat, sambung saja pengajian dalam bidang ini. Dia selalu doakan kejayaan dan minta saya jaga solat.

"Bila arwah dah tak ada, saya paling teringat menu ayam sambal hijau. Walaupun saya boleh masak sendiri, tapi rasanya tetap tak sama," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

diana2

Diana bersama kedua orang tuanya.

Dalam pada itu, Diana juga sempat menitipkan pesan kepada pejuang kanser di luar sana agar terus kuat bertahan dalam melawan penyakit.

Katanya lagi, ahli keluarga pesakit juga perlu memainkan peranan penting untuk memberikan semangat kepada pejuang-pejuang kanser.

"Kita kena sentiasa positif. Arwah mak saya bertahan selama setahun empat bulan. Pada saya, semua keluarga kena beri sokongan.

"Kita kena sentiasa bagi motivasi dan kata-kata semangat. Kita yang sihat kena sentiasa tolong pesakit-pesakit kanser," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain