suria

Bunyi macam orang main gendang di dapur, rupa-rupanya mesin basuh baru beli 'jalan' sendiri... sampaikan ada yang komen "nasib tak rentas daerah"!

Sahir (gambar kecil) terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat di dapur rumah mereka.

"NASIB mesin tu tak rentas daerah"

Itulah salah satu komen yang dilontarkan warganet setelah melihat video mesin basuh yang dimuat naik oleh seorang pemuda di TikTok.

Menerusi rakaman visual yang dimuat naik oleh pemuda berkenaan, ia kelihatan seperti mesin basuh baharu milik ibunya berganjak dari tempat yang sepatutnya

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu berkeras nak guna mesin basuh sampai lunyai, anak terpaksa standby playar... layankan aje jeritan jiran setaman - “Nak pulas kena ada gaya”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami bodyguard angkat mesin basuh macam kotak kosong, tapi isteri tetap risau! Paling ‘kesian’ tak sedar angkat hadiah sendiri bernilai RM6,000

Berkongsi cerita kepada mStar, Muhamad Sahir Jalal, 31, memberitahu ibunya, Rohaya Mohd Ali menggunakan mesin basuh yang dibeli pada September lalu.

Hampir sebulan mereka menghabiskan RM21 untuk mencuci dan mengeringkan pakaian di kedai dobi yang terletak kira-kira 10 minit dari rumah mereka di Balakong, Selangor.

"Dalam sebulan jugak tak ada mesin basuh, jadi pakaian semua hantar ke dobi je. Bila orang delivery hantar mesin basuh baharu, dia cuma letak di dapur dan terus balik.

"Mesin basuh tu baru sehari, jadi malam tu jugak mak guna untuk basuh pakaian kotor.

IMG_1131

Mesin basuh itu baru sahaja dibeli oleh Rohaya (tudung ungu).

"Perasan mesin tu bergerak sebab macam ada bunyi orang main gendang di dapur," katanya sambil menambah, mesin baharu itu menggantikan mesin basuh yang sudah lima tahun digunakan.

Terkejut dengan apa yang didengarinya di dapur, pemuda yang mesra disapa Sahir segera menutup suis utama mesih basuh berkenaan.

Perasaan bercampur baur apabila melihat mesin basuh jenama LG yang dibeli dengan harga RM3,600 bergerak dengan sendirinya.

Video berdurasi 22 saat itu meraih lebih daripada 100,000 tontonan di aplikasi TikTok.

"Memang tak sangka mesin basuh tu boleh jatuh dan kelihatan seperti berjalan sendiri. Sebab mesin basuh sebelum ni pun mak letak atas kaki batu juga tapi tak pernah pula jadi macam tu.

"Dia suka tinggikan mesin basuh supaya senang nak cuci bahagian bawah mesin. Mak rakam apa yang telah berlaku dan letak dalam grup WhatsApp famili untuk minta pendapat mereka.

Ye la sayang kot benda baru je beli, tak sampai sehari guna macam-macam yang terjadi.

MUHAMAD SAHIR JALAL

"Abang dengan kakak bagitahu ada bolt di bahagian kat belakang tak buka lagi, komen di TikTok pun cakap yang benda sama.

"Mula-mula tengok YouTube cara nak buka bolt tersebut tapi ketat dan tak berani nak tarik kuat-kuat sebab takut patah. Jadi kakak saya dari Bukit Jalil datang naik grab terus settle!," katanya yang bekerja sebagai pelatih di sebuah syarikat telemarketing di Bukit Bintang.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu berkata, kini ibunya sudah serik untuk meninggikan mesin basuh mereka.

Sahir juga menyarankan agar pengguna belajar cara menggunakan peralatan elektrik terlebih dahulu sebelum suis dihidupkan.

"Selepas daripada kejadian itu, mak dah tak nak letak dah mesin basuh atas kaki batu. Nasib baiklah tak ada sebarang kerosakkan pada mesin basuh tu.

"Ye la sayang kot benda baru je beli, tak sampai sehari guna macam-macam jadi.

IMG_1129

Rohaya (dua, kanan) mendapatkan bantuan daripada anak-anaknya untuk menyelesaikan masalah berkenaan emsin basuh baharu.

"Saya nak ingatkan pada orang ramai supaya bacalah dahulu manual atau tengok video berkenaan mesin basuh anda sebelum nak guna.

"Jangan jadi macam kami, main lenjan je pakai," katanya berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain