suria

Dua insan tersayang pergi selamanya... Covid-19 buatkan keluarga ini sakit menanggung rindu, Buntat pun terkesan!

Ibu Hanisah kini sering sakit serta mengalami kemurungan setelah kehilangan suami dan seorang anaknya akibat Covid-19.

RINDU yang paling menyakitkan adalah apabila kita merindui insan tersayang yang telah pergi untuk selamanya.

Terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan yang kita sayangi terutama apabila melibatkan kematian yang tidak diduga, bukanlah mudah.

Kesannya dirasai bukan hanya manusia, tetapi juga haiwan peliharaan yang sebelum ini ditatang pemilik mereka bagai minyak yang penuh.

ARTIKEL BERKENAAN: Ibu pakar bela haiwan, siap peluk macam cucu... anak kongsi ‘punca’ angsa rasa nak kejar manusia laju-laju - “Angsa kami manja”

ARTIKEL BERKENAAN: Wanita kongsi derita hidup dianggap ‘suka memberontak’, dah 3 anak baru tahu ada anxiety

Bercakap kepada mStar, Hanisah Hamzah, berkata, kehilangan berganda, ayahnya yang berusia 75 tahun serta adiknya akibat Covid-19 baru-baru ini benar-benar memberi kesan kepada mereka sekeluarga, terutama ibunya.

Hanisah, 49 tahun berkata, ibunya yang berusia 67 tahun kini kemurungan serta sering jatuh sakit.

"Ayah meninggal pada 15 Jun manakala adik menyusul pada 21 Jun, usia adik baru 37 tahun dan dia masih belum berkahwin.

"Adik rapat sangat-sangat dengan mak, memang dia kesana kemari dengan mak," ceritanya, mengenai arwah adik perempuannya ke empatnya itu.



Hanisah (dua dari kiri) berkata, ibunya (tengah) kini kemurungan selepas kematian adiknya yang ke empat (pertama dari kiri).

Menurut Hanisah ibunya menerima vaksin yang pertama pada 4 Jun namun dia terpaksa dikejarkan ke hospital apabila terkena serangan jantung pada Subuh hari berikutnya.

Sewaktu di hospital mereka dimaklumkan bahawa kemungkinan ibunya positif Covid-19 dan mereka semua diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga keputusan ujian kedua keluar keesokkannya.

"Esoknya, pegawai kementerian kesihatan call dan minta semua pergi buat swab test, ada tujuh orang dalam rumah, saya tinggal 20 kilometer dari rumah bonda, dan memang sejak dua minggu sebelum puasa sampai hari raya memang tak balik memandangkan tidak boleh rentas daerah.

"Bila adik-adik dan anak saudara saya pegi swab test barulah tahu postif.

"Adik saya dua orang kerja kilang yang berbeza, memang di kilang ada yang bergejala, tapi kami orang susah, kami perlu patuh arahan majikan (untuk masuk bekerja)," katanya.

Selepas dua hari menjalani kuarantin di rumah, dua adik dan dua lagi anak saudaranya di bawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, sementara ayah dan dua adik yang lain di bawa ke Hospital Melaka.

"Abah masuk wad pada 11 Jun, pada 13 Jun iaitu hari lahirnya masa buat video call tu doktor bagi tahu nak tidurkan abah, doktor bagi dua pilihan sama ada nak pakaikan abah oksigen tahap maksimum agar abah boleh pergi dengan rasa sakit yang kurang atau guna ventilator.

"Cara ni memang sakit dan doktor cakap ada risiko sebab abah ada sakit jantung jadi kalau jantung abah berhenti dan doktor buat CPR takut tulang rusuk abah patah, jadi saya terpaksa buat pilihan untuk guna oksigen tahap maksimum dan kurangkan kesakitan," katanya yang menetap di Umbai, Melaka.

Saat akak beritahu arwah ayah dah tak ada dekat mak yang masa tu masih di wad, mak meraung.

HANISAH HAMZAH

Kakak Sulong.

Menurut Hanisah, doktor meminjamkan telefon bimbingnya untuk membolehkan mereka membuat video call dan dia tidak dapat gambarkan perasaannya serta rasa ralat kerana tidak sempat mengucapkan selamat hari lahir buat abahnya pada ketika itu.

"Dalam masa sama saya pun kena buat keputusan untuk adik juga bila doktor call beritahu adik pun nak ditidurkan, saya buat pilihan sama macam abah untuk pakai oksigen pada tahap maksimum.

"Selepas solat Subuh pada 15 Jun doktor call maklumkan abah dah tak ada, doktor minta saya datang untuk buat pengecaman mayat.

"Selepas urusan pengebumian abah saya terus balik, dalam perjalanan dapat panggilan doktor beritahu adik koma dan perlu pakai ventilator.

"Saya menangis, Ya Allah dugaan apakah ini," ceritanya.



Ayah Hanisah (kiri) dan adiknya (kanan) menjadi mangsa virus merbahaya Covid-19.

Menurut Hanisah, doktor memaklumkan buah pinggang adiknya, Norlita Hamzah telah rosak dan mereka disuruh untuk buat panggilan video sebelum adiknya dikomakan.

"Masa tu nampak muka adik bengkak, bibir biru kemudian doktor suruh lambai, tapi dia lemah dan tak boleh bersuara.

"Rasa sedih sangat, macam tak percaya sebab adik boleh lambai lagi dekat kami sebelum ditidurkan tapi tiba-tiba dapat panggilan dia sudah tak ada," ceritanya sambil menambah mereka sekeluarga sememangnya sangat rapat.

Menurut Hanisah lagi, ibunya yang ketika itu turut menjalani rawatan di hospital meraung apabila diberitahu mengenai berita pemergian ayahnya.

"Saat akak beritahu ayah dah tak ada pada mak yang masa tu di wad, mak meraung.. tapi akak dah pakat dengan doktor untuk standby sebelah mak sebab mak ada sakit jantung.

"Hampir sebulan mak di Unit Rawatan Rapi, kadang mak sedar ada hari tak sedar," katanya.

Kini, sesekali ibunya akan menangis apabila teringkatkan suami juga anaknya yang pergi dahulu meninggalkan mereka sekeluarga.

Selain mereka sekeluarga, Buntat, kucing kesayangan peliharaan adiknya turut merasai kehilangan pemiliknya itu.

"Sehari sebelum arwah meninggal, Buntat macam resah, dia pergi tidur dengan adik nombor tiga lepas tu dia gesel-gesel badan dekat adik sampai adik cakap kenapalah dengan dia ni.

"Lepas adik (Norlita) dah tak ada dia selalu keluar masuk bilik dan duduk menyendiri di tilam adik, kemudian dia jadi garang, orang lain nak pegang pun tak nak.

"Mula-mula Buntat memang cari adik (Norlita), tapi sekarang tak dah sebab ramai orang dalam rumah yang ajak dia main kemudian belai dia," katanya.



​​​​​​​Buntat merupakan antara salah satu kucing kesayangan Norlita.

Menurut Hanisah, selain Buntat, adiknya itu juga sering memberi makanan kepada kucing-kucing terbiar di medan ikan bakar Terapung, Kampung Berangan Enam.

Ceritanya lagi, seorang adik lelakinya baru sahaja bernikah pada 10 September lalu.

"Tarikh tu arwah bapa yang pilih dan kami teruskan sahaja. Kami buat nikah sebelah pihak perempuan sahaja," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain