suria

Dua ‘opah hot’ semangat ke pasar pakai baju Kedah, tak sangka ramai sinis... seorang je pakcik yang positif! - “Sumpah takut terlucut kain tu”

Yana (kiri) dan rakannya Farrah memakai baju Kedah untuk ke pasar.

"BAJU opah tu comellah," itulah salah satu komen yang ditinggalkan pada perkongsian video dua gadis pergi ke pasar memakai baju Kedah.

Video yang dimuat naik oleh salah seorang gadis berkenaan menunjukkan dia dan seorang rakan memakai baju tersebut sambil membeli barang di pasar.

Video tersebut setakat ini meraih sebanyak 160,000 tontonan dan hampir 30,000 tanda suka di aplikasi TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar pulang selepas 2 tahun berjauhan, isteri jimat RM400 suami buat sendiri je rak idaman... ‘upahnya’ candle light dinner di hotel!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cemas bangun tidur mulut senget, mata dan hidung tak bergerak... rupa-rupanya hidap Bell's Palsy - “Sehari telan 17 biji ubat, tercekik rasanya”

Berkongsi cerita kepada mStar, Liyana Mohamad, 21, berkata, rakan sekelasnya, Farrah Noor Fazwany Mohd Fawzy yang sama umur dengannya baru selesai kelas virtual dan mahu membeli bahan masakan di sebuah pasar di Kota Tinggi, Johor.

Jelas gadis itu lagi, rakannya memberi idea untuk keluar membeli barang dengan memakai baju itu yang sering dipakai oleh golongan 'opah-opah' dan dipadankan dengan kain batik.

"Masa tu baru habis kelas online dan stres kerana baru masuk universiti, jadi kami berdua bercadang nak masak ayam madu. Farrah ajak saya pergi pasar pakai 'baju opah', ini memang betul-betul plan last minute.

"Sebab dia ada beli baju tu secara online Ramadan lalu dan tak pernah pakai lagi. Katanya kita perlu keluar dengan memakai sesuatu yang baru, maka tercetuslah idea untuk pakai 'baju opah' itu.

IMG_8662

Farrah (kiri) yang memberi idea kepada Yana untuk memakai 'baju opah'.

"Video tu saya rakam untuk suka-suka je guna TikTok, mula-mula pakai rasa malu sangat sebab tak pernah nampak lagi orang muda yang keluar pakai macam kami.

"Lebih-lebih lagi dengan kain batik, sumpah takut terlucut je kain tu. Nasib baiklah Farrah meyakinkan saya dan ajar cara bagaimana nak pakai kain batik," katanya.

Mesra disapa Yana, katanya, beberapa individu di pasar mula memandang mereka berdua sebaik sahaja tiba di sana.

Bagaimanapun dia tidak faham apabila ada yang menyindir mereka sedangkan pakaian yang dipakai jelas sekali kelihatan sopan.

"Tiba sahaja di pasar, orang dekat sana semua macam kritik pemakaian kami. Pakcik dan makcik dekat pasar tu macam riuh, ada yang kata budak kampung keluar bandar dan entah apa-apalah pakai macam ni, tak malu ke?

"Saya pun tak faham kenapa orang berpandangan macam tu, sedangkan baju tu cantik, selesa dan sopan. Waktu itu saya diam je dan tak beri respons apa-apa pun, sebab dah malu sangat.

Saya berharap agar remaja sekarang berani untuk tampil dalam memakai pakaian tradisional.

LIYANA MOHAMAD

"Rasanya lebih banyak yang kritik daripada puji. Cuma ada seorang pakcik jual waffle yang positif... dia cakap pakaian kami berdua cantik serta nampak sopan, orang zaman sekarang dah tak nak pakai macam ni.

"Saya rasa tak salah pun nak pakai baju macam ni, tapi tak tahu kenapa orang dekat pasar tu macam perli kami berdua," ujarnya yang merupakan pelajar Diploma Industri Logistik di sebuah universiti awam yang terletak di Pasir Gudang, Johor.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, dia bagaimanapun menerima komen yang membina di TikTok berbanding apa yang berlaku di pasar.

Tambahnya lagi, dia berharap agar lebih ramai generasi muda yang berani untuk memakai baju seperti ini atau pakaian tradisional Melayu lain dan tidak malu jika dikritik orang ramai.

"Saya dapat banyak komen yang mengatakan baju ni dipanggil kurung Kedah dan bukannya 'baju opah'. Saya tahu nama sebenarnya, cuma memilih untuk panggil 'baju opah' sebab biasanya nenek-nenek yang selalu pakai baju ni.

"Selain itu, ada juga yang tag kawan-kawan mereka untuk ajak pakai baju ni. Malah ada juga komen mengatakan kami berdua 'hot opah', 'opah TikTok' dan 'hot makcik'.

IMG_8663

Yana berharap agar lebih ramai lagi generasi muda yang berani untuk memakai pakaian tradisional.

"Saya rasa ini merupakan sesuatu yang bagus sebab kita masih ingat tentang pakaian orang zaman dahulu supaya baju ni tak lapok ditelan zaman.

"Saya berharap agar remaja atau generasi muda sekarang berani untuk pakai baju tradisional dan jangan malu dengan kritikan orang," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain