suria

Cucu tak sangka, telekung baharu mampu ceriakan nenek ‘tak banyak cakap’ selepas datuk tiada - “Malam-malam, dia jahit telekung koyak”

Arif dan Daniel (gambar kanan). Nenek mereka tertidur ketika memakai telekung baharu (gambar kiri)

"SAMPAI tidur pun tak tanggal," begitulah kata-kata seorang pemuda apabila neneknya tertidur sewaktu memakai telekung baharu pemberiannya.

Rakaman tersebut menunjukkan bagaimana reaksi warga emas itu apabila menerima hadiah itu daripada dua cucunya.

Perkongsian tersebut setakat ini meraih hampir 70,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berani pujuk mak ayah nak pakai baju nikah hitam, tapi malu habis diusik atas pelamin - “Kita kahwin, biarlah kita buat pilihan”

ARTIKEL BERKAITAN: Minat bola sepak, cita-cita jadi jurutera... kagum lihat rider tunjuk sisi lembut menari tarian inang - “Kalau K-Pop setakat tengok OK la”

Bercerita kepada mStar, Muhammad Arif Farhat Abdul Rahaman, 20, berkata, dia membeli telekung itu secara online setelah sepupunya, Muhammad Daniel Aiman Sharum, 18, ternampak nenek mereka menjahit telekungnya yang sudah koyak.

Sedih dimaklumkan mengenai perkara itu, dia segera membuat pembelian sepasang telekung berwarna biru tua untuk neneknya, Zainun Hussein yang berusia 82 tahun.

"Ada satu malam itu, sepupu saya ke bilik nenek untuk berbual dengannya. Dia ternampak nenek sedang jahit telekung, dia terus keluar dari bilik dan jumpa dengan saya untuk beritahu apa yang dia nampak.

"Waktu dia beritahu tu saya rasa sebak dan sedih sebab nenek sanggup jahit semula telekung dia. Kemudian kami berpakat untuk membeli sepasang telekung baru untuk nenek.

IMG_8632

Zainun sangat gembira menerima telekung baharu daripada dua cucunya.

"Tanpa berfikir panjang saya pun order telekung baru secara online. Wajah nenek sangat ceria bila kami berikan telekung baru, katanya 'terima kasih sangat-sangat sebab ingat dekat nenek'.

"Dia punya suka tu sampai tidur pun pakai telekung baru," katanya yang menetap bersama keluarganya di Pekan, Pahang.

Mesra disapa Arif, katanya, dia sudah dua minggu tidak berjumpa dengan neneknya kerana terpaksa berkuarantin di rumah sejak 3 September lalu.

Jika tidak, dia semestinya akan berkunjung ke rumah sepupunya itu untuk menjenguk nenek.

"Sebenarnya sudah lebih dua minggu saya tak jumpa dengan nenek kerana kami sekeluarga berkuarantin di rumah.

"Ayah merupakan kontak rapak kepada anak saudaranya yang positif Covid-19, jadi kami semua kena kuarantin di rumah selama 14 hari.

IMG_8629

Arif (kiri) sering melawat neneknya di rumah Daniel.

"Kalau tidak, setiap minggu saya akan ke rumah mak saudara untuk meluangkan masa dengan nenek. Sejak datuk saya meninggal disebabkan serangan angin ahmar pada 2008, nenek tinggal bersama mak saudara," katanya sambil menambah jarak antara kedua-dua rumah tidak jauh.

Anak ketiga daripada empat beradik itu tidak akan melupakan kenangan sewaktu neneknya bercuti bersama mereka sekeluarga pada 2017.

Ketika itu Arif dapat melihat neneknya kembali ceria seperti waktu dahulu selepas pemergian datuknya.

Kadang-kadang mereka bukan nak apa pun, cuma hanya mahukan perhatian daripada keluarga je.

MUHAMMAD ARIF FARHAT ABDUL RAHMAN

"Kami bawa dia berjalan-jalan seminggu ke Kuala Lumpur dan Melaka, waktu itu saya tengok nenek seronok sangat bila dia dikelilingi insan tersayang. Dah lama saya tak tengok nenek ceria macam tu.

"Sebab selepas arwah atuk dah tak ada, nenek jadi pendiam dan tak banyak bercakap dengan orang. Mungkin sebab dia terlalu sunyi kerana teman hidupnya sudah tiada," ujarnya yang merupakan pelajar Diploma Reka Bentuk di Kampus Pahang Skills, Kuantan, Pahang.

Arif berharap agar mereka di luar sana dapat menghargai datuk dan nenek selagi mereka masih lagi ada.

Tambahnya lagi, golongan yang berumur ini lebih cenderung untuk menjadi lebih sensitif terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

"Bagi mereka yang masih mempunyai nenek tolonglah hargai mereka selagi mereka ada. Sebab orang tua ni sensitif sikit, kita kenalah jaga hati mereka.

sf

Arif (dua, kanan) sudah dua minggu tidak berjumpa dengan neneknya kerana mereka sekeluarga berkuarantin di rumah.

"Kadang-kadang mereka bukan nak apa pun, cuma hanya mahukan perhatian daripada keluarga je.

"Walaupun ada sesetengah individu tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan nenek mereka, tetapi percayalah nenek juga adalah insan yang bermakna dalam hidup kita," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain