suria

Minat bola sepak, cita-cita jadi jurutera... kagum lihat rider tunjuk sisi lembut menari tarian inang - “Kalau K-Pop setakat tengok OK la”

Za'im menunjukkan bakatnya dalam tarian inang.

LEMAH gemalai lenggok tarian seorang penghantar makanan tak ubah seperti penari profesional.

Video tarian inang menjadi taruhannya dalam menyahut cabaran seni tari di laman sosial.

Siapa sangka di sebalik tugasnya menghantar makanan, anak muda ini begitu yakin mempamerkan bakatnya dalam tarian tradisional.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini 'tiada masalah' wajahnya dikata iras Sari Yanti, patutlah ayu... rupa-rupanya pegang gelaran Ratu Lepa 2019

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - "Kami masih dipandang sebelah mata"

Pemuda berkenaan, Muhammad Za'im Imadi Mohd Asri memberitahu, dia menyahut cabaran tarian inang itu sekadar suka-suka kerana meminatinya sejak kecil.

Penghantar makanan berusia 22 tahun itu mula belajar tarian tradisional sejak berusia 14 tahun di sekolah menengah, malah mengikuti kelab kesenian ketika menyambung pengajian di universiti.

"Saya memang minat menari sejak di bangku sekolah. Guru kebudayaan iaitu Cikgu Zack Zaideen yang memperkenalkan saya kepada bidang tarian hingga saya jadi minat.

"Tapi saya lebih meminati tarian tradisional. Kalau tarian moden seperti K-Pop confirm saya menari macam 'kayu', setakat tengok orang menari okay la," katanya kepada mStar.

rider tarian inang 7

Za'im mula menjadi penghantar makanan sejak awal tahun.

Lebih mesra disapa Za'im, katanya, penglibatannya dalam tarian ditonjolkan dalam beberapa pertunjukan pentas, selain kenduri kahwin dan majlis keraian.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, dia mengakui berjiwa seni tradisional dan berkebolehan menari dalam tarian asli, joget, inang dan zapin.

"Tarian paling saya suka adalah inang kerana gerak tari dan beat lagunya yang lebih mudah untuk diingat," ujarnya yang mula berkhidmat sebagai penghantar makanan sejak awal tahun ini dan kini melakukannya secara sambilan.

rider tarian inang 5

Za'im (tengah) bersama kumpulan penari membuat persembahan untuk program IMTGT di Thailand, pada 2019.

Berkongsi pengalaman, Za'im yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) pernah ke Kuala Lumpur semata-mata kerana cintanya dalam tarian tradisional.

"Saya belajar mendalami tarian dengan seorang guru tari, Khairulazhar Mohtar. Beliau bukan sahaja guru tari, malah saya anggap sebagai mentor. Beliau sebagai sumber rujukan saya dalam tarian tradisional," tambahnya.

Saya tidak terfikir untuk menjadikannya sebagai satu kerjaya, tapi minat terhadap tarian tradisional cukup kuat. Saya sanggup belajar dari zero sampai mahir

MUHAMMAD ZA'IM IMADI MOHD ASRI

Za'im berkata, antara pencapaian dalam tarian adalah tempat kedua dalam Festival of Colours of the World 2019 dan tempat kelima Kategori Solo Virtual Intervarsity Traditional Dance Competition 2020, kedua-duanya mewakili Kumpulan Kesenian Adikarma USM serta tempat ketiga Festival Tari Rakyat Johor 2020 (Nyala Dance Theatre).

Pemuda ini turut menyertai Jalinan Anak Seni Teater Tari dan Sastera Kelantan (Jastera) dengan bimbingan guru tari, Allahyarham Mohd Zamani Md Zain dan Mohd Haizatul Farhan Ab Rahman.

rider tarian inang 4

Za'im (kanan) bersama mentor, Khairulazhar.

Zai'im yang turut mencari rezeki di gerai menjual pisang goreng cheese di Kota Bharu bagaimanapun berkata, tarian tradisional yang dilakukannya sekadar hobi dan minat.

"Saya tidak terfikir untuk menjadikannya sebagai satu kerjaya, tapi minat terhadap tarian tradisional cukup kuat. Saya sanggup belajar dari zero sampai mahir," ujarnya.

Selain tarian, pemuda yang bercita-cita untuk bergelar jurutera itu turut meminati sukan bola sepak dengan menyokong kelab Manchester United dan pemain terkemuka, Cristiano Ronaldo.

rider tarian inang 3

Za'im (tiga dari kiri) bersama kumpulan penari untuk program Vokal Mania pada 2020.

Dalam pada itu, Za'im mengakui kebiasaannya penari tradisional akan mengenakan busana baju Melayu untuk kelihatan lebih menarik.

"Saya pakai baju Foodpanda sekadar untuk menampilkan kelainan. Biasanya saya memang pakai baju Melayu pun.

"Nak pakai baju biasa tu terlalu biasa. Tapi tak ada kostum pula. Cukuplah tarian inang yang saya persembahkan kepada mereka yang menonton video," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain