suria

Kak Long sarung baju arwah adik masa hantar mak ayah pergi vaksin, reaksi si ibu memang tak disangka - “Saya pernah kena tukar gambar profil WhatsApp”

Hidayu (kiri) memakai baju kegemaran arwah adiknya (kanan) ketika membawa kedua ibu bapanya menerima suntikan vaksin.

KEHILANGAN ahli keluarga sememangnya hakikat yang sangat perit untuk ditelan.

Apatah lagi insan berkenaan membesar bersama-sama sebelum masing-masing mendirikan rumah tangga.

Menerusi satu perkongsian di aplikasi TikTok, seorang wanita berkongsi kisah hiba apabila kehilangan adik perempuannya akibat tumor pada otak, lebih dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh adik terkesan kakak sulung meninggal selepas kaki kena minyak panas, lebih pilu tengok reaksi anak bongsu arwah di bilik mayat

ARTIKEL BERKAITAN: “Kawan tak boleh tidur, kakak bacakan Yasin” - Meninggal selepas demam on-off, adik sebak terbuka Instagram arwah kakak

Dalam salah satu video yang dimuat naik di aplikasi berkenaan, wanita itu turut mengenakan pakaian milik adiknya itu untuk mengubat rasa rindu, namun apa yang lebih hiba, ibunya menangis kerana terbayang kelibat arwah.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 35,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan ucapan takziah daripada netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Hidayu Ibrahim berkata adiknya, Allahyarhamah Nurul Izzati meninggal dunia pada usia 29 tahun, selepas lapan bulan menderita tumor pada otak.

"Saya anak sulung daripada lima beradik, dan arwah adalah anak kedua. Kami sekeluarga panggil arwah sebagai Angah. Arwah mula jatuh sakit pada November tahun lalu.

"Angah mula-mula tak sihat dan nak dijadikan cerita, satu hari tu dia tiba-tiba rebah. Suaminya bawa ke rumah ibu kami di Kangkar Pulai untuk ibu jaga sekejap. Masa itu saya sempat ke rumah ibu untuk menjenguknya.

"Angah baring, dia kata pening sangat dan tak boleh nak buka mata. Saya sempat bergurau 'Angah mengandung kot'. Kami pun tak fikir apa-apa yang serius.. fikir mungkin darah tinggi. Tapi beberapa hari kemudian, dia muntah-muntah setiap kali makan.

adik baru 1

Allahyarham Nurul Izzati meninggalkan dua anak yang masih kecil berusia dua tahun dan empat tahun.

"Terus angah dibawa ke hospital. Mulanya doktor di sebuah hospital syak ada darah beku tapi sebab tiada kelengkapan, angah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA). Dekat sana buat imbasan (CT Scan), barulah tahu Angah ada tumor," cerita wanita berusia 33 tahun ini.

Menurut Hidayu, adiknya menjalani tiga pembedahan sepanjang tempoh rawatan sebelum akhirnya doktor menyampaikan berita yang sangat perit untuk diterima mereka sekeluarga.

"Doktor beritahu keadaan angah seperti tiada harapan untuk sembuh dan seeloknya dibawa pulang ke rumah agar dapat sama-sama habiskan masa bersama keluarga. Kali terakhir saya bertem angah ketika Ramadan lalu.

adik baru 3

Antara gambar kenangan Hidayu (dua, kiri) bersama Allahyarhamah Nurul Izzati (dua, kanan).

"Hinggalah tanggal 22 Julai, angah tenat dan dikejarkan semula ke hospital. Masa tu ibu call, beritahu doktor cakap keadaan angah 50-50 dan apa yang berlaku kami semua kena reda. Macam tak percaya adik sendiri lalui keadaan ni.

"Akhirnya 3.15 pagi, angah hembuskan nafas terakhir. Kaki saya rasa longlai sangat saat ke hospital untuk urusan menuntut jenazah. Alhamdulillah, saya dan ibu berpeluang untuk mandikan dan uruskan jenazah. Syukur, semua urusan mudah sangat. Sebelum pukul 10 pagi, jenazah angah dah selamat dikebumikan," ujarnya yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Hidayu, dia dan ibunya merupakan individu yang paling terkesan sejak pemergian arwah.

Alhamdulillah, saya dan ibu berpeluang untuk mandikan dan uruskan jenazah. Syukur, semua urusan mudah sangat.

HIDAYU IBRAHIM

KAKAK SULUNG

"Hari pertama dan sepanjang minggu pertama, memang cepat sangat sebak lebih-lebih lagi kalau bersendirian. Saya akui sangat down. Kami membesar sama-sama, tapi akhirnya seorang pergi terlalu awal.

"Apa yang ada untuk ubati rindu adalah barang-barang arwah. Saya sentiasa bawa sehelai selendang miliknya ke mana-mana saja saya pergi. Dan kebetulan hari temu janji vaksinasi ibu dan ayah, saya saja pilih nak pakai baju kuning milik angah.

"Masa sampai di rumah ibu, ibu pandang dua kali dan dia terus menangis. Ibu memang cam baju arwah. Sebak kerana dia terbayang kelibat angah.

adik baru 2

Gambar keluarga Hidayu ketika majlis perkahwinan adik ketiganya.

"Ada sekali tu, saya tukar gambar profil di WhatsApp, saya letak gambar saya dan arwah pakai baju kuning sebelah menyebelah. Tak lama tu salah seorang adik saya mesej, minta tukar sebab ibu menangis bila tengok gambar tu," ceritanya dalam nada sebak.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Hidayu berkata dia sekadar memuat naik video arwah di media sosial untuk diabadikan sebagai kenangan.

selendang

Selendang milik Allahyarhamah yang kini disimpan Hidayu.

"Tak sangka, ramai komen dan DM nak tahu lebih lanjut mengenai kisah arwah. Saya bukannya apa, mudah sebak bila buka cerita mengenainya. Namun bersyukur ramai yang mendoakan arwah.

"Sememangnya kehilangan ini sangat pahit... bukan tak reda tapi pemergiannya terlalu cepat dirasakan. Ujian ini sangat berat, namun bagi saya, mereka yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 jauh lebih hebat dugaannya kerana tak boleh nak menatap, mencium dan mandikan jenazah.

"Apa yang boleh saya katakan, jagalah hubungan kita sesama adik beradik selagi hayat masih ada sebab kita tak tahu bilakah ajal akan datang menjemput," akhirinya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tumor otak, adik kedua, angah, baju arwah

Artikel Lain