suria

Tujuh adik terkesan kakak sulung meninggal selepas kaki kena minyak panas, lebih pilu tengok reaksi anak bongsu arwah di bilik mayat

Anak bongsu arwah tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui berita kematian ibunya.

"PEMERGIAN Kak Long bukan saja memberi kesan kepada suami dan anak-anaknya, tetapi kami adik beradik sebab arwah ibarat ibu kedua kami."

Demikian kata Suryana Abd Rahim ketika bercerita mengenai kisah sedih kehilangan kakak sulungnya pada Rabu lalu.

Menurut Suryana, kakak sulungnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 pagi, 7 April lalu kerana menderita kencing manis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat jemput abang balik kerja, si adik maut digilis lori... rupa-rupanya ada ‘petanda’ sebelum pergi - “Ramai rakan-rakan beri hadiah lebih awal”

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat bersih diri, beritahu ahli keluarga ‘nak mati dah ni’... kakak terkilan adik rebah sebelum makan maggi atas meja - “Dapat tengok macam nyawanya ditarik”

Allahyarhamah yang berusia 45 tahun meninggalkan suami dan enam anak dengan yang bongsu berusia enam tahun.

Salah satu video yang dimuat naik Suryana di aplikasi TikTok memaparkan anak bongsu arwah tidak dapat menahan air mata selepas mengetahui berita sedih mengenai ibunya.

Video tersebut meraih hampir 200,000 jumlah tontonan dengan rata-rata netizen turut sama meluahkan rasa pilu seolah-olah dapat merasai kesedihan yang ditanggung kanak-kanak tersebut.



Allahyarhamah kakak kepada Suryana yang digelar Kaklong bersama ibu mereka.

"Awal pagi kira-kira pukul 2 semasa semua ke hospital, anak bongsu kakak, Nia, tak ikut. Pagi esoknya apabila semua bersiap nak ke forensik, baru kami ambil dia. Urusan memandikan dan mengkafankan jenazah terus dibuat di sana.

"Masa semua keluarga dibenarkan masuk, Nia mula-mula tak mahu... dia tanya 'kita buat apa dekat sini?'. Tapi bila masuk dan lihat wajah ibunya, dia menangis teresak-esak.

"Sepanjang perjalanan dari hospital ke tanah perkuburan, dia tak henti-henti menangis. Kami yang melihatnya pun turut sama sebak," kata wanita berusia 30 tahun ini.

Mengimbas kembali detik sebelum kakaknya meninggal dunia, Suryana berkata tiga minggu sebelum itu arwah terkena minyak panas di bahagian kaki kanannya.



Arwah Kaklong (dua, kanan) gembira ketika meraikan konvokesyen salah seorang anaknya.

"Kesan minyak panas tu kecil saja... macam kita biasa terkena ketika memasak. Kak Long ingat biasa saja, dia pun sapu ubat. Tapi beberapa hari kemudian kesan dekat tempat tu berubah warna hitam.

"Kak Long pergi klinik untuk cuci luka dan dia dirujuk ke Hospital Sultan Ismail. Mungkin agak teruk, doktor cadangkan bahagian atas tapak kakinya dipotong.

"Selepas pembedahan, Kak Long seperti hilang selera makan. Makan saja pasti muntah. Dia okay tapi lemah. Hari kejadian, pagi tu macam biasa pergi cuci luka. Petang tu Kak Long mengadu susah bernafas.

"Tengah malam, Kak Long start kejang. Anaknya call ambulans dan dikejarkan ke hospital tapi tak dapat diselamatkan. Sebelum ini Kak Long pernah jadi macam tu juga... sebab tu tak sangka kali ini dia terus 'pergi'," ceritanya yang menetap di Johor Bahru, Johor.

Kak Long ni sebiji macam mak... cara berpakaian, perwatakan, pandai masak, pandai jahit. Dia jadi pengubat rindu dekat mak yang tinggal di Kelantan.

SURYANA ABD RAHIM

ADIK BONGSU

Merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik, Suryana menyifatkan arwah kakaknya sebagai seorang wanita yang terlalu baik, selalu mementingkan adik beradik, ceria dan sedikit pendiam.

"Sebelum kaklong, abang nombor tiga meninggal tahun lalu... tinggal berlapan. Enam beradik menetap di Johor. Kak Long dekat Pasir Gudang. Kak Long ni sebiji macam mak... cara berpakaian, perwatakan, pandai masak, pandai jahit. Dia jadi pengubat rindu dekat mak yang tinggal di Kelantan.

"Setiap hujung minggu, kami adik-adik wajib berkumpul di rumah Kak Long sebab dia suka menjamu. Dia akan layan permintaan adik-adik dan masakkan makanan kegemaran kami.



Berhimpun bersama keluarga besar di kampung di Kelantan, tahun lalu.

"Kini kalau pergi ke rumahnya, mesti rasa kosong. Kakak saya yang nombor empat beli rumah berdekatan dengan Kak Long sebab nak berjiran dengannya. Tapi dia kini pun rasa tawar hati untuk pindah sebab Kak Long dah tiada," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsian video tersebut menjadi tular, Suryana berkata dia terharu dengan komen-komen positif netizen.

"Saya sekadar mahu abadikan memori... tak sangka ramai yang terkesan. Malah ramai yang mendoakan untuk arwah juga. Terima kasih sangat-sangat kepada yang berdoa dan memberi kata-kata semangat untuk kami sekeluarga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain