suria

Sempat bersih diri, beritahu ahli keluarga ‘nak mati dah ni’... kakak terkilan adik rebah sebelum makan maggi atas meja - “Dapat tengok macam nyawanya ditarik”

Aqil disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.53 tengah malam Rabu lalu.

AJAL maut itu ketentuan Tuhan dan kita hanya menyedari perlakuan pelik seseorang itu selepas dia pergi selama-lamanya.

Begitu jugalah kisah seorang pemuda yang turut memberikan 'hint' kepada ahli keluarganya dan rakannya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 3 Jun lalu.

Perkara itu didedahkan kakak arwah menerusi satu bebenang di Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku penatlah esok aku nak tidur“ - Bangun sahur awal, selera lain macam... rider ‘tutup mata’ selamanya selepas beli baju raya 4 adik

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut rasa masin, takut tidur seorang petanda ajal! Gadis sedih seorang demi seorang adik beradiknya terlalu cepat tinggalkan keluarga - “Dia asyik tenung saya”

Menurut Asilah Amanina, adik bongsunya, Aqil Ahda, 19, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah malam Rabu lalu selepas rebah dan tidak sedarkan diri di rumah nenek mereka dekat Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, Pahang.

"Masa tu saya dengan ayah nak pergi dapur, nenek pun ikut sekali. Saya buatkan maggi untuk dia dan letak atas meja.

"Dia elok je masa tu, tengah main rambut sambil nyanyi-nyanyi. Lepas tu dia pergi basuh tangan.



Gambar kenangan raya Aqil bersama kakaknya, Asilah.

"Masa nak pergi ambil sudu, dia slow-slow rebah ibarat macam ada orang papah dia. Saya dapat tengok macam nyawanya ditarik,” katanya kepada mStar.

Panik dengan keadaan itu, Asilah berkata adiknya segera dibawa ke Hospital Temerloh untuk tindakan susulan.

"Sebenarnya masa kat dapur tu saya dah rasa dia dah putus nyawa tapi kami nak juga bawa ke hospital sebab nak dengar juga keputusan doktor.

"Saya bawa dia ke hospital dengan ayah dan seorang lagi cousin saya. Masa ribakan dia tu saya dapat rasakan muka dia sejuk, tangan dia pun sejuk.

"Tapi masa tu saya nak sedapkan hati ayah yang tengah drive. Saya cakap masih ada nadi lagi. Sampai hospital doktor terus buat CPR depan kami.

"Bila tekan dada guna tangan tak boleh barulah doktor bawa masuk bilik buat CPR guna mesin tapi tak boleh juga. Masa tu saya dah reda, saya dapat rasakan dia dah pergi," katanya.

Jelas gadis berusia 24 tahun, punca kematian adiknya masih belum diketahui tetapi beberapa hari sebelum itu adiknya ada mengadu sakit perut.



Aqil rebah selepas mengambil sudu untuk menikmati maggi dimasak kakaknya.

"Buat masa ini doktor pun tak beritahu lagi punca kematian dia. Tadi doktor cakap dua minggu kemungkinan baru keluar result. Tapi dua tiga hari sebelum tu dia ada cakap sakit perut.

"Cuma hari kejadian tu dia tak ada pula cakap sakit perut ke apa. Empat hari terakhir Ramadan tu memang dia tak puasa sebab muntah, tak boleh nak makan dan sakit perut.

"Tapi kami bawa dia pergi klinik sehari sebelum raya cuma masa tu silap kami tak buat scan. Tapi doktor check beriya masa tu cakap tak ada apa-apa," katanya.

Abah ada beritahu dalam minggu tu juga, Aqil cakap jangan kacau dia tidur. Dia nak tidur lama-lama. Dengan mak pula dia cakap ‘Aqil tak ada tempat selesa nak tidur dalam rumah ni’.

ASILAH AMANINA

Kakak

Namun Asilah mendedahkan adiknya itu turut menunjukkan tanda-tanda pelik tanpa disedari mereka.

"Sehari sebelum tu dia ada call saya pukul 5 pagi beritahu nak minta bawakan maggi yang saya pernah masak dulu. Dia kata teringin nak makan, jadi saya belilah.

"Lepas dia mandi, dia sempat bergurau dengan ayah. Tak lama lepas tu dia cakap jomlah angah, ayah kita pergi dapur makan... Aqil nak mati dah ni.

"Tak lama lepas tu dia rebah. Benda tu berlaku terlalu cepat. Dia tak sempat pun makan maggi yang saya masak tu. Rasa terkilan sangat-sangat," katanya.



Asilah mendedahkan adiknya sempat bergurau dengan ayah mereka sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Pada masa sama, Asilah berkata adiknya itu turut sudah mempersiapkan diri untuk bertemu penciptaNya.

"Malam tu dia siap cukur misai semua, seolah-olah dia bersihkan diri dia. Memang nampak muka dia bersih sangat lepas dia mandi malam tu.

"Dia pun langsung tak makan satu hari tu. Cuma dia minta saya masakkan maggi tapi itu pun dia tak sempat nak makan. Ustaz cakap baguslah sebab dia bersihkan perut dia sebelum meninggal," katanya.

Sementara itu, Asilah yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu turut terkejut apabila dimaklumkan ibu bapanya mengenai sikap pelik adiknya itu.

"Abah ada beritahu dalam minggu tu juga, Aqil cakap jangan kacau dia tidur. Dia nak tidur lama-lama. Dengan mak pula dia cakap ‘Aqil tak ada tempat selesa nak tidur dalam rumah ni’.

"Dia macam dah tahu-tahu nak pergi tapi kami tak terfikir pun yang pelik-pelik. Sejak bulan April lalu dia memang selalu cakap pasal akhirat," katanya.



Jenazah Aqil dikebumikan di kampung halaman neneknya di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh Pahang.

Meskipun sedih dengan pemergian adik bongsunya itu, Asilah berkata mereka sekeluarga lega apabila ramai bercerita kebaikan adiknya itu ketika hayatnya.

"Memang sedih dan terkejut tapi lega sebab cara dia pergi begitu mudah. Ramai kawan dia jumpa famili minta kami jangan sedih sebab Aqil kawan yang baik.

"Sepanjang mereka berkawan sejak sekolah rendah mereka kata Aqil tak pernah sakitkan hati sesiapa. Malah Aqil jadi tempat mereka untuk dapatkan nasihat.

"Mereka juga ada beritahu Aqil sempat hantar mesej minta maaf pada kawan-kawan pada April lalu. Mereka tanya kenapa minta maaf... mengadalah. Tapi Aqil jawab ‘aah mengadalah, nanti tak mengada dah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ajal, petunjuk, meninggal, pelik, akhirat, petanda

Artikel Lain