suria

Gigih cuci periuk, pengantin merewang kena simbah sebesen kuah kari... angkara siapalah agaknya?

Kenangan disimbah kuah kari tidak akan dilupakan pasangan ini sehingga bila-bila.

SEBUT sahaja majlis perkahwinan di kampung, pasti terbayang suasana yang penuh meriah bukan sahaja dengan kehadiran tetamu, tetapi diserikan dengan pelbagai aktiviti.

Antara aktiviti yang cukup sinonim sudah semestinya rewang atau gotong-royong yang mana ia masih lagi diamalkan di kebanyakan kampung atau desa.

Bukan itu sahaja, ada satu lagi aktiviti yang masih menjadi tradisi di kebanyakan tempat iaitu pasangan mempelai akan turut sama bergotong-royong mencuci periuk belanga usai majlis mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin spontan ‘payung’ taranum semasa majlis kahwin, tak gugup sebab dah biasa... pernah dapat nombor 3 di peringkat negeri

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu asyik layan roti kukus, pengantin perempuan sempat ‘payung’ lagu TokTi atas permintaan ibu - “Orang lain mungkin segan, saya beranikan diri”

Baru-baru ini tular satu video di aplikasi TikTok memaparkan sepasang pengantin baru yang begitu gigih mencuci periuk dibuli oleh rakan-rakan mereka.

Menerusi klip video video tersebut, kelihatan pengantin yang berpakaian santai dan sedang mencuci periuk secara tiba-tiba disimbah kuah kari sehingga tubuh badan 'kuyup'.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih hampir 400,000 tontonan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pengantin lelaki, Nurul Akhbar Jamaludin berkata insiden lucu tersebut berlaku sewaktu majlis di rumah ibu bapanya di Kampung Bukit Katil, Melaka pada 4 Mac lalu.



Nurul Akhbar (duduk, tengah) bersama rakan-rakan yang merewang sewaktu majlis perkahwinannya 4 Mac lalu.

"Masa tu kami baru saja habis shooting untuk outdoor. Sampai rumah tukar baju biasa, kemudian kawan-kawan yang datang merewang kata ada beberapa periuk yang perlu dicuci. Memang menjadi tradisi di mana pasangan pengantin turun padang cuci periuk selepas majlis.

"Sebenarnya, itu hanya helah mereka saja nak prank pengantin. Saya dan isteri, Nurul Najihah Mohd Noor Mohd Noor pun konon nak basuhlah periuk. Memang tak dapat hidu langsung taktik mereka.



Pasangan mempelai bersama keluarga pengantin lelaki.

"Sedang nak mencuci, tiba-tiba dua orang rakan bawak sebesen kuah kari yang dicampur air dan simbah kami. Memang terkejut tapi kelakar... tak sangka kena prank.

"Isteri saya pun tergamam sekejap sebab muka dan rambut dia habis berkari. Mujurlah campur air... taklah pekat sangat kari tu melekat dekat rambut. Tapi baju dan badan memang bau kari," kata lelaki berusia 29 tahun ini.

Tidak langsung ada rasa kecil hati atau sebagainya, Nurul Akhbar malah berkata apa yang dialaminya merupakan satu kenangan manis yang tak akan dilupakan sehingga bila-bila.

Sedang nak mencuci, tiba-tiba dua orang rakan bawak sebesen kuah kari yang dicampur air dan simbah kami. Memang terkejut tapi kelakar... tak sangka kena prank.

NURUL AKHBAR JAMALUDIN

PENGANTIN LELAKI

"Tukang simbah tu kawan-kawan di kampung yang datang rewang. Saya ada terbaca komen yang kata tak elok buat pengantin macam tu. Sebenarnya saya dan isteri okay malah gembira sebab kawan-kawan cipta kenangan pada majlis kami.

"Inilah suasana majlis kahwin di kampung... memang best. Saya rasa kalau di bandar, ramai dah pakai katering dan tak ada rewang. Tak merasalah pengantin mencuci periuk," ujarnya yang bertugas sebagai kakitangan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).



Majlis perkahwinan Nurul Akhbar di kampungnya, Kampung Bukit Katil, Melaka yang dilangsungkan bulan lalu.

Tidak menyangka perkongsian yang dimuat naik oleh adik perempuannya menjadi tular, Nurul Akhbar berkata dia gembira menerima komen positif netizen yang bukan sahaja terhibur malah mendoakan rumah tangga mereka.

"Saya tahu viral pun selepas ada yang share di Facebook dan tag saya. Harap-harap majlis di sebelah isteri lepas raya nanti, tak kena dah prank," ujarnya berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain