suria

Berhabis ribuan ringgit, malangnya dapat anak bulus baka BSH sakit... suami isteri geram sikap lepas tangan breeder - “Dah sayang, lagi pun bukan beli barang elektrik”

Kucing baka BSH yang diberi nama Yuki yang dibeli Fendi dan isterinya dari seorang breeder mengalami masalah kesihatan sebelum disahkan menghidap FIP.

BAGI pencinta kucing khususnya yang meminati baka tertentu, sudah pastinya tidak kisah menghabiskan ribuan ringgit untuk memiliki si bulus.

Bagi pasangan suami isteri ini yang biasa memelihara kucing baka import, pengalaman yang dialami baru-baru ini cukup membuatkan mereka kecewa dek sikap tidak bertanggungjawab pembiak kucing (breeder).

Segala-galanya bermula apabila mereka membeli kucing baka British Short Hair (BSH) daripada seorang 'breeder' yang dihubungi menerusi Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali jadi mangsa buli kucing sendiri, tuannya terpaksa ambil cuti kecemasan... sampai sekarang tak tahu mana satu ‘dalangnya’

ARTIKEL BERKAITAN: “Mama minta maaf ya” - Kerana percayakan petua TikTok dari seberang... kutu hilang, kucing pun ‘bertukar’ jadi lebah

Berkongsi cerita dengan mStar, pasangan yang mahu dikenali sebagai Fendi dan isterinya, Roslina dari Kulim, Kedah berkata mereka menghubungi 'breeder' dari Ipoh, Perak itu kerana tertarik dengan anak kucing baka berkenaan dan mahu menambahkan bilangan si bulus peliharaan.

"Isteri yang jumpa di Facebook dan minta pendapat saya... selepas 'deal' akhirnya kami dapat memiliki anak kucing baka BSH itu dengan harga RM1,400.

"Nak dijadikan cerita, hari pertama kucing yang kami beri nama Yuki ni sampai rumah dengan 'pet taxi' iaitu pada 20 Jun lalu, kami dah perasan perut dia agak panas dan macam bulat. Misai pun pendek.

yuki baru 1

Pasangan suami isteri ini kecewa apabila mengesan banyak fungus pada badan Yuki sebelum si bulus tersebut disahkan menghidap FIP.

"Esoknya isteri mesej tanya breeder dan beritahu keadaan Yuki. Breeder tu beritahu kucing kami sihat je tapi baru baik dari fungus. Tapi masa mandikan kucing, rupa-rupanya banyak fungus kami jumpa.

"Mula-mula kami okay saja sebab nak rawat sendiri fungus ni. Tapi hari ketiga, Yuki ni lain... tak aktif dan demam. Kami bawa jumpa vet, tapi demamnya on-off... kami bawa lagi jumpa vet dan akhirnya doktor sahkan Yuki terkena Feline Infectious Peritonitis (FIP)," kata lelaki berusia 40an ini.

Menurut lelaki ini lagi, mereka kemudian menghubungi bredeer berkenaan sekali lagi dengan tujuan mahu pihaknya bertanggungjawab kerana menjual kucing tanpa memaklumkan status kesihatan sebenar.

"Kami harapkan adalah sedikit 'common sense' daripada breeder ini. Kalau dia minta maaf dan setidak-tidaknya beri jaminan untuk tanggung kos rawatan, pasti hati kami sejuk sikit.

yuki baru 3

Roslina memuat naik kisah Yuki di Facebook (kiri), komen daripada salah seorang pengguna Facebook mendakwa turut menjadi mangsa kepada breeder yang sama.

"Tapi alangkah kecewanya, dia balas dan kata dia mahu gantikan anak kucing yang baharu kalau apa-apa berlaku dekat anak kucing kami. Sekarang ni Yuki dah pun terkena FIP, adakah maksudnya dia nak ganti kalau kucing kami mati?

"Kami bukan beli perkakas elektrik yang boleh diganti sesuka hati kalau rosak. Kami berhasrat mahu minta refund sebab dah keluar kos yang bukan sedikit. Lagipun Yuki sebenarnya dah tak sihat sejak dalam tangan breeder itu lagi.

"Mungkin ada yang persoal kenapa tak setuju dan tukar sahaja dengan kucing lain. Bukanlah semudah itu, lagipun masa tu, dah tiga minggu Yuki bersama kami dan dah sayang. Ini soal kita beli 'benda hidup'," ujarnya yang turut memiliki tujuh anak bulus lain daripada baka Maine Coon, British Short Hair, American Short Hair dan Parsi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Fendi, dia dan isterinya membangkitkan isu ini di media sosial kerana kecewa dengan sikap lepas tangan breeder berkenaan dan mahu membuka mata ramai agar tidak mengalami nasib yang sama.

Kalau dia minta maaf dan setidak-tidaknya beri jaminan untuk tanggung kos rawatan, pasti hati kami sejuk sikit.

FENDI

"Kami bukan baru sekali, sebelum ini dah banyak kali berurusan beli kucing dengan breeder namun ini adalah pengalaman pertama seumpamanya terjadi. Daripada maklumat yang saya tahu, rupa-rupanya ada kes lain seperti kami melibatkan breeder yang sama.

"Kos yang dikeluarkan pun bukan sikit apatah lagi termasuk kos rawatan FIP yang perlu berterusan untuk tempoh tiga bulan. Tambah-tambah lagi sekarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bisnes kami sangat terjejas," ceritanya yang menjalankan bisnes 'corporate gift service'.

Tambah lelaki ini, Yuki yang berusia empat bulan kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan.

yuki baru 2

Keadaan Yuki semakin pulih selepas menjalani rawatan yang ditanggung sendiri oleh pasangan suami isteri berkenaan.

Bagaimanapun ujarnya, dia dan isteri sudahpun membuat laporan polis dan membawa isu berkenaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna.

"Kami mengharapkan mana-mana yang jadi breeder, usahlah lepas tangan jika ada isu seperti ini. Sebenarnya, ramai lagi yang dah terkena malah jumlah yang mereka belanjakan pun lebih besar daripada kami. Ada yang sampai RM3,000 malah RM5,000 seekor.

"Satu lagi, sekarang ni musim PKP... ramai yang cari kucing nak pelihara, mungkin sebagai terapi. Oleh itu, hati-hati jangan sampai jadi mangsa breeder tak bertanggungjawab dan scammer," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain