suria

“Saya senyap bukan bermakna tak buat apa-apa” – Aktivis Syed Azmi tuntut keadilan untuk Bella

Kesan kecederaan yang dialami oleh remaja OKU sindrom Down, Bella. foto Facebook Mona Din

KES seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai didera di sebuah pusat asuhan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur baru-baru ini menggemparkan negara.

Dilaporkan, remaja perempuan berusia 13 tahun yang menghidap sindrom Down itu ditemui melecur teruk pada dada, tangan dan leher serta mempunyai kesan luka pada paha.

Susulan kejadian itu, masyarakat bersimpati dengan nasib mangsa yang bernama Bella dengan memohon keadilan terhadap anak istimewa itu menerusi tanda pagar #JusticeForBella.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil" - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya sanggup lakukan apa saja demi Ain" - Siswa UKM tolak tuduhan sebar kisah mangsa dera sebab nak popular

Malahan aktivis Syed Azmi Alhabshi turut menyokong usaha murni berkenaan, lebih-lebih lagi kerana ia seiring kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan yang sering dilakukan beliau.

Siapa tidak kenal Syed Azmi kerana kes-kes yang dikendalikannya mendapat perhatian banyak pihak, bermula dengan kes menyentuh isu kekeluargaan sehingga memperjuangkan hak dan nasib kanak-kanak dan remaja, termasuk isu buang bayi dan remaja hamil serta pedofilia yang hangat diperkatakan.

bella 4

Remaja menghidap sindrom Down itu ditemui melecur teruk di beberapa bahagaian badan.

"Saya menyokong semua platform untuk mendapatkan keadilan terhadap Bella. Kita ada pelbagai cara untuk melihat hasil dan akhirnya adalah hasil yang jujur.

"Dan saya akan menerima keputusan itu dengan terbuka. Namun begitu, saya senyap bukan bermakna saya tidak berbuat apa-apa.

"Cumanya saya senyap untuk mendapatkan satu dapatan yang boleh kita pelajari dan menggunapakai untuk mengelakkan perkara seperti ini tidak berlaku lagi, " katanya kepada mStar.

Nama Syed Azmi turut terpalit disebabkan tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap individu yang merupakan pengasas Rumah Bonda berkaitan penderaan dilakukan terhadap Bella, berikutan Syed Azmi adalah penasihat kepada rumah kebajikan itu.

Dilaporkan, peguam cara bagi pihak Pengasas Rumah Bonda, Razif Abz Aziz & Partners dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya tohmahan dan tuduhan berkenaan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Syed Azmi berkata, Bella bukanlah salah seorang daripada penghuni di Rumah Bonda, sebaliknya beliau difahamkan bahawa remaja itu tinggal bersama penjaganya di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak tidak mengaitkan Rumah Bonda sebagai institusi yang terlibat dalam kes tersebut, sambil menambah kekeliruan timbul mungkin disebabkan oleh penjaga kepada remaja itu merupakan pengasas rumah kebajikan itu.

"Sepertimana ramai rakyat Malaysia, saya juga amat terkesan melihat gambar-gambar penderaan Bella dan mendoakan kesembuhan segera beliau. Sebagai seorang pelindung kanak-kanak dan juga penasihat mahkamah kanak-kanak, saya memandang serius perkara ini dan berharap #JusticeForBella dapat dicapai, " katanya yang turut memuat kenyataan itu di Facebook.

syed azmi bella

Kenyataan media oleh Syed Azmi.

Menurut Syed Azmi, beliau turut membuat laporan polis bagi menjelaskan kedudukan serta pendiriannya dan Rumah Bonda yang sama sekali tidak terlibat dalam kes Bella.

Sementara itu, pengguna laman sosial yang sebelum ini tular menerusi pendedahan mengenai nasib yang menimpa Bella iaitu Mona Din berharap agar Syed Azmi sebagai aktivis masyarakat dapat bersama-sama menggerakkan kempen #JusticeForBella.

"Syed Azmi dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan nasib wanita dan kanak-kanak. Beliau perlu mengambil tanggungjawab untuk menunjukkan kepada dirinya, penghuni-penghuni rumah tu bahawa beliau sesekali tidak akan berkompromi ke atas penderaan yang berlaku kepada Bella yang sesunggguhnya tidak diketahuinya langsung, " katanya.

Saya senyap untuk mendapatkan satu dapatan yang boleh kita pelajari dan menggunapakai untuk mengelakkan perkara seperti ini tidak berlaku lagi

SYED AZMI ALHABSHI

Mona Din turut menggesa pihak polis supaya menyegerakan siasatan terhadap kes Bella dan turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perlindungan kepada kanak-kanak lain yang menghuni di unit kondominium berkenaan.

"Pihak polis dan JKM serta pihak berwajib perlu mengambil serius terhadap kes Bella kerana melibatkan kes dera OKU dan telah menjadi kepentingan awam, " katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kelulusan untuk menjadikan remaja OKU itu sebagai anak angkat sebelum ini diberikan kepada individu, bukannya rumah kebajikan itu.

bella 9

Keadaan Bella yang menerima rawatan.

Beliau berkata, remaja perempuan itu kini diserahkan penjagaannya kepada pusat perlindungan di bawah JKM yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan dan dipantau dari aspek kesihatan dan emosi supaya kembali sihat seperti sedia kala.

Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dilaporkan berkata, mangsa menghidap sindrom down mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain