suria

Pemandu lori sanggup mengembek, korbankan kain pelikat solat demi selamatkan kambing ‘menangis’ jatuh parit!

Dari berseluar jeans, Fitri bertukar pakai kain pelikat untuk memudahkan turun ke parit bagi menyelamatkan seekor kambing.

MULA-mula berseluar jeans, tidak lama kemudian berkain pelikat pula.

Begitulah reaksi spontan seorang pemuda yang berusaha menyelamatkan seekor kambing yang terjatuh ke dalam parit.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, bunyi kambing itu dapat didengar sebelum pemuda berkenaan turut membuat bunyi mengembek bagi memujuk haiwan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu salakan sang ibu... Pramugara hilang 'job' pantas capai penyodok sampah selamatkan anak anjing terkapai-kapai dalam parit - "Tugas kru kabin ajar banyak perkara"

ARTIKEL BERKAITAN: "Ada yang nak terjun bot" - 'Bukan pencinta kucing' gigih redah banjir selamatkan si bulus, tapi tugasnya tak semudah disangka!

Pemuda berkenaan, Muhamad Fitri Che Hassan berkata, kejadian berlaku pada petang Jumaat lalu sewaktu mahu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak dekat Pokok Sena, Kedah.



Kambing yang terperangkap dalam parit.

Berkongsi pengalaman itu, katanya, dia memberhentikan lori yang dipandunya di tepi jalan bertentangan dengan stesen minyak sebelum mendengar bunyi kambing.

"Selepas parking lori tepi jalan, tiba-tiba dengar bunyi kambing mengembek. Saya cepat-cepat tengok bawah lori, takut terlanggar kambing atau ada kambing yang tersepit.

"Dah periksa bawah lori tak ada, tapi bunyi kambing masih ada. Bila saya dengar betul-betul, datangnya dari parit sebelum nampak ia dalam lubang parit," kata pemuda berusia 25 tahun itu kepada mStar.

Lebih mesra disapa Fitri, katanya, dia mahu menyelamatkan kambing tersebut dengan turun ke parit tetapi seluar jeans dipakainya agak ketat, menyukarkan pergerakannya untuk membantu.



Kambing berjaya diselamatkan.

"Saya kembali semula ke lori untuk mendapatkan kain pelikat yang selalu saya gunakan untuk solat. Selepas pakai kain pelikat, saya kembali turun ke parit.

"Kasihan saya tengok kambing tu. Nampak matanya berair seperti meminta pertolongan. Bila saya turun, kambing tu macam takut-takut dan berundur beberapa langkah ke belakang," ujarnya yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Selepas parking lori tepi jalan, tiba-tiba dengar bunyi kambing mengembek. Saya cepat-cepat tengok bawah lori, takut terlanggar kambing atau ada kambing yang tersepit

MUHAMAD FITRI CHE HASSAN

Menurut pemandu lori itu, dia kemudian membuat bunyi mengembek seperti kambing bagi memujuk haiwan itu keluar dari lubang.

"Bila saya mengembek, kambing tu seakan faham dan mendekati saya di luar lubang. Saya dukung kambing tu dan bawa naik ke kawasan berumput di tepi parit.

"Tempat kambing tu terperangkap tu lebih cetek dengan air di paras buku lali tapi kalau ke depan sikit airnya sampai paras betis dan lebih deras yang boleh membahayakannya," katanya.



Kambing memakan rumput sejurus diselamatkan.

Fitri yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berkata, tiada kambing lain yang kelihatan di kawasan sekitar ketika kejadian.

"Kambing tu pula tak bertali, jadi tak pasti ia terlepas dari kandang atau tidak. Kawasan sekitar cuma ada hutan kecil dan tanah lapang berdekatan kawasan perumahan.

"Saya tak tahu berapa lama kambing tu terjatuh ke parit, tapi mungkin lama juga sebab ia terus makan rumput selama 10 minit macam lapar sangat," ujarnya.



Fitri berkongsi pengalaman menyelamatkan seekor kambing.

Tambah Fitri, bunyi bising kenderaan yang melalui jalan itu menyukarkan bunyi kambing tersebut didengari selain kawasan itu agak berjauhan dengan laluan orang ramai.

"Kebetulan saya berhentikan lori di tepi jalan dekat parit untuk keluarkan duit di stesen minyak sebelum nak pergi ke arah utara untuk ambil mempelam.

"Sampai sekarang masih teringat mata kambing tu berair membuatkan saya bertambah kasihan untuk selamatkannya," katanya

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain