suria

Baru 2 minggu jual ayam golek, remaja tetap nak bantu orang susah... selamba suap warga emas di kaki lima - “Mula-mula dia gembira, kemudian sebak”

Video Muhammad Hanif menyuap seorang warga emas di kaki lima menyentuh hati netizen.

AMALAN berkongsi rezeki atau bersedekah sememangnya sangat digalakkan tambahan pula ramai yang terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda negara setahun yang lalu.

Memahami situasi tersebut dan dalam masa yang sama berniat untuk memanfaatkan sebahagian daripada hasil bisnes ayam goleknya untuk amal jariah, remaja ini mengambil inisiatif sendiri dengan bersedekah kepada individu kurang berkemampuan yang ditemuinya secara rambang.

Berkongsi kebanyakan aktivitinya di aplikasi TikTok, namun video terbaharu yang dimuat naik memaparkan dirinya sedang menyuap seorang nenek di kaki lima, benar-benar menyentuh hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak tanya lebih, takut hatinya terguris” - Pakcik umur cecah 80 tahun kerah kudrat sendirian jual air tebu, lelaki ini ajak ramai-ramai singgah beli

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai ‘0 pelanggan’ selama 2 minggu... peniaga dapat tempahan besar selepas sedekah secawan air jagung - “Dia mungkin rugi RM3...”

Sehingga kini video tersebut meraih hampir 480,000 tontonan di aplikasi berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Hanif Asyraf Mohammad Ali berkata dia sememangnya berniat di mana setiap hasil jualan ayam goleknya akan disedekahkan kepada mana-mana individu kurang berkemampuan.



Muhammad Hanif tidak kekok menyuap warga emas yang ditemuinya di kaki lima baru-baru ini.

"Macam yang biasa saya buat, saya akan pusing-pusing bandar untuk cari orang yang kurang berkemampuan. Macam nenek ni, saya temuinya sedang duduk di kaki lima dekat bank.

"Usianya saya rasa sekitar 70-an. Saya datang dan tanya sama ada dah makan tengah hari ke belum. Dan dia kata belum, jadi saya bawa makanan untuknya dan seorang lagi makcik yang berniaga buah di situ.

"Saya memang cepat tersentuh kalau bab orang tua. Saya teringat nenek sendiri. Saya memang biasa suap nenek kalau dekat rumah, memang saya cucu dia paling manja," katanya lagi.



Muhammad Hanif baharu membuka bisnes ayam golek bersama abangnya, dua minggu lalu.

Menurut remaja berusia 19 tahun ini, wanita warga emas berkenaan pada mulanya gembira apabila diberikan makanan namun tiba-tiba bertukar sebak tatkala makanan disuapkan ke mulutnya.

"Masa makan sambil bersembang-sembang, tiba-tiba dia tunduk diam. Dia sebak tapi tak pasti kenapa. Dan saya pun tak mahu bertanya lanjut bimbang membuatkannya bertambah sedih atau perasaannya terguris.

"Niat saya memang nak bersedekah sahaja kepada mereka yang mungkin tak berkemampuan. Cuma saya tanya dia dari mana sahaja, dan dia kata dari Terengganu... sudah lebih 50 tahun menetap di Kelantan," katanya yang baru dua minggu mengusahakan bisnes Ayam Golek Galok di Kota Bharu, Kelantan.

Dia sebak tapi tak pasti kenapa. Dan saya pun tak mahu bertanya lanjut bimbang membuatkannya bertambah sedih atau perasaannya terguris.

MUHAMMAD HANIF

PENIAGA

Menurut Muhammad Hanif lagi, selepas beberapa videonya tular, dia ada menerima mesej (DM) daripada netizen yang menyuarakan hasrat untuk turut sama bersedekah kepada individu yang ditemuinya.

"Tapi saya bimbang nak pegang amanah orang... dan dalam masa yang sama sibuk juga berniaga. Jadi saya lebih gemar kalau ada yang membeli ayam golek dan saya beritahu pembeli siap-siap yang wang pembeliannya akan digunakan untuk tujuan sedekah juga.

"Kadang-kadang kalau ada nombor telefon atau alamat, saya berikan terus kepada mereka. Alhamdulillah, majoriti beri komen positif. Hanya seorang dua saja beri komen negatif dan tuduh saya buat content untuk menunjuk-nunjuk.



Remaja ini pernah viral tidak lama dahulu kerana memberikan air jagung secara percuma kepada orang ramai.

"Saya bukan menunjuk-nunjuk, tapi saya berkongsi kisah dan dari situ, orang ramai boleh doakan individu-individu ini serta turut sama menggalakkan untuk sama-sama menyumbang.

"Ada yang kata mereka pun teringin nak sedekah tapi tak ada duit. Sebenarnya sedekah ni boleh melalui pelbagai cara, tak perlu tunggu kita jadi kaya. Yang penting sedekahlah seikhlas hati," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain