suria

Pandainya pujuk! Lelaki ini berjaya tenangkan wanita stres dilabel mandul, rupa-rupanya ada kisah hampir sama - “Nak dapat anak bukan macam buat kek”

Seorang pekerja wanita berkongsi luahan dikatakan mandul gara-gara tidak mempunyai zuriat selepas 11 tahun berkahwin. -gambar hiasan

RIAK wajah seseorang boleh berubah sekelip mata sekiranya perihal sensitif dibangkitkan sehingga mengundang rasa sebak.

Biarpun sering berperwatakan ceria, namun hanya Tuhan saja yang tahu apa kesedihan yang terbuku dalam hatinya.

Begitulah yang dialami oleh seorang lelaki yang menyedari seorang pekerja wanita kelihatan muram di tempat kerja, sehingga menimbulkan tanda-tanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun PKP, suami cari rezeki di Singapura beri 'kredit' sepenuhnya kepada isteri... sayu lihat air mata ibu 2 anaknya tumpah - "Maafkan honey sebab dah tak cantik"

ARTIKEL BERKAITAN: Suami muntah depan pagar, isteri cepat-cepat masuk rumah sebelum meraung gembira dalam tandas - "Dia tak berhenti ketuk pintu"

"Saya dapati ada satu kakak yang saya selalu tegur ni muram je. Saya pun peliklah sebab setahu saya kakak ni seorang yang ceria. Saya pun ringankan mulut tegur, Morning kak. Masam je muka hari ni, dah breakfast?

"Haah dik, tak ada mood. Dah makan tadi. Kenapa tak ada mood pula kak? Entahlah, semua kawan akak cakap akak mandul sebab tak dapat bagi anak lagi. Tiba-tiba mata kakak tu berkaca," tulis lelaki itu menerusi Facebook Eddie Diana.



Mana-mana wanita pasti mengimpikan zuriat selepas berkahwin. -gambar hiasan / foto AZLINA ABDULLAH/The Star

Lelaki berkenaan, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh dimaklumkan oleh wanita itu bahawa usia perkahwinannya memasuki tahun ke-11.

"Oh, baru 11 tahun. Akak ipar saya 17 tahun kahwin baru dapat anak. Saya pun sembilan tahun tunggu baru dapat anak. InsyaAllah, akan tiba masanya nanti. Akak sabar ye.

"Mendengar jawapan daripada saya barulah akak tu tersenyum sedikit. Betul ke dik, dah 17 tahun baru dapat anak. Betul, buat apa saya nak tipu," katanya sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada pekerja wanita itu untuk memaklumkan sesuatu berkaitan kakak iparnya.

Shahruddin yang berusia 35 tahun itu memberitahu, wanita itu kemudian mengesat air mata dengan wajah penuh berharap.

"Maknanya akak ada peluang lagi la kan. Ada, akak sabar je okay. Terima kasih dik, sebab bagi akak semangat dan harapan semula.

"Akak dah macam putus harap dari malam tadi. Sampai rasa nak suruh laki akak kahwin lain je supaya dia dapat anak," ujarnya yang mengimbas semula perbualan itu sambil menambah hanya mampu tersenyum dan terus beredar.



Shahruddin (kiri) dan isteri dikurniakan cahaya mata selepas sembilan tahun berkahwin.

Susulan luahan 'kakak' berkenaan, dia yang bekerja di Singapura melihat situasi tersebut sebagai realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat.

"Ada perkara yang kita boleh cakap dan ada yang kita tidak boleh cakap. Benda ni adalah perkara penting yang kita sebagai manusia harus tahu.

"Kita tak boleh sewenang-wenangnya tanya soalan-soalan sensitif kepada kawan atau sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga kita. Contoh soalan yang kita tak boleh tanya ialah, berapa gaji kau kerja dekat situ? Bila kau nak dapat anak? Kenapa kau tak kahwin? Berapa simpanan kau sekarang? Ini semua termasuk dalam soalan-soalan yang kita tak patut tanya," ujar bapa dua anak itu.

Bukannya nak dapat anak tu macam kita nak buat kek. Masuk perisa tu, masuk tepung penaik ni. Masuk gula itu ini. Tup tup jadi kek. Hanya Allah sahaja yang tahu

SHAHRUDDIN HAEAL HELMY MOHD NOH

Tanpa mengira rakan baik atau tidak, jelasnya, soalan sebegitu tetap sensitif melainkan empunya badan yang bercerita atau bertanyakan pendapat.

"Benda ni nampak macam remeh, tapi besar kesannya kepada orang yang hendak menjawab soalan tersebut. Ia boleh menyebabkan mereka hilang mood dalam melakukan tugas seharian mereka," ujarnya.

Shahruddin yang dikurniakan cahaya mata selepas sembilan tahun berkahwin turut diajukan pelbagai soalan seumpama itu tanpa rasa segan daripada pihak yang bertanya.



Sebahagian perkongsian Shahruddin berkaitan dengan zuriat.

"Bila kau nak dapat anak. Rugi dapat anak lambat ni. Nanti kita dah tua anak sekolah lagi? (Masa ni saya belum ada anak lagi).

"Benda ni ialah soalan yang kita tak mampu nak jawab. Bukannya nak dapat anak tu macam kita nak buat kek. Masuk perisa tu, masuk tepung penaik ni. Masuk gula itu ini. Tup tup jadi kek.

"Hanya Allah sahaja yang tahu bila dan ketika kita layak untuk mendapat anak. Jika soalan tu datang kepada saya, mungkinlah tak terasa sangat sebab orang laki ni memang sifat dia tak endah sangat dengan soalan-soalan macam tu. Tak terasa sampai ke hati.

"Tapi jika soalan tu datang kepada isteri saya. Di hadapan orang yang bertanya dia akan senyum dan gelak. Tapi di belakang orang yang tanya, dia akan bersedih," katanya sambil menambah kesannya akan menimbulkan pelbagai soalan yang pelik yang boleh menjejaskan mood hubungan rumah tangga.

Sehubungan itu, Shahruddin yang kini mendirikan rumah tangga selama kira-kira 10 tahun meminta semua pihak menjaga sensitiviti untuk tidak bertanya soalan yang tidak wajar.

"Letak dalam diri kita macam ni. Sebelum kita nak tanya orang tu. Kita fikir apa impak atau kesan yang jadi pada orang tu kalau kita tanya.

"Letak diri kita dekat orang tu dulu sebelum nak tanya apa sahaja soalan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain