suria

Kuku panjang gadis lepasan SPM jadi bualan, empunya badan relaks je dituduh tak solat - “Saya tak akan berhenti hanya kerana mulut orang”

Balqis menerima komen negatif di TikTok kerana sering bergaya dengan kuku palsu dalam video yang dihasilkannya.

KEMUNCULAN remaja ini di aplikasi TikTok dengan video aksi bersahaja sambil menunjukkan kuku yang panjang telah mencuri perhatian ramai.

Malah, beberapa video yang dikongsi oleh Nur Balqis Amani Syahril, 18, turut meraih ratusan ribu tontonan di plaftorm itu.

Mesra disapa Balqis, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengakui ada segelintir netizen yang salah faham sehingga melemparkan tuduhan tidak berasas kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu terkinja-kinja menari, wanita berhijab ini ‘masyuk’ hanya dengan buat ‘finger dance’ di TikTok - “Jari, kaki sama-sama lenguh”

ARTIKEL BERKAITAN: Dah buat beratus video... nak kutuk, kecam Makcik Tik Tok tak layan!

"Ia sebenarnya kuku palsu sahaja yang saya beli secara online. Ada yang tinggalkan komen dan tuduh saya tak solat kerana kuku panjang.

"Ada juga yang kata solat saya tak sah. Macam-macam yang ditanya, saya rasa soalan tu tak patut ditanya. Kuku palsu boleh dicabut bila-bila masa.

"Saya pun pakai ketika nak keluar atau waktu nak buat video sahaja," ujarnya kepada mStar.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia turut dituduh malas melakukan kerja rumah kerana memiliki kuku panjang.

Namun kata Balqis, dia tidak pernah marah dengan komen netizen, sebaliknya menganggap ia sebagai lumrah dalam menggunakan media sosial.

Balqis memakai kuku palsu hanya untuk tujuan berfesyen.

"Saya tak ada rasa marah. Cuma hairan, kenapa mereka tak boleh berfikir? Ada juga yang tanya bagaimana saya nak makan dan sebagainya.

"Namun mujur ada netizen yang bantu jelaskan di ruangan komen saya kepada segelintir individu yang tak faham. Orang yang kecam tu pun dah padam komen.

"Kadang-kadang ada orang yang tak akan rasa puas dengan kita. Tapi saya tak akan berhenti pakai kuku palsu hanya kerana risau dengan mulut orang," ujarnya lagi.

Kata Balqis, dia memiliki 11 set kuku palsu yang dibeli sejak tahun lalu.

"Saya mula beli kuku palsu sejak tahun lepas. Selalu tengok video orang di luar negara pergi salun untuk buat kuku.

Kalau kita tiada perkara baik nak cakap, lebih baik diam.

BALQIS

"Jadi saya jumpa benda ni, saya beli dan cuba pakai. Mula-mula rasa kekok juga. Selepas dua ke tiga kali, saya rasa OK dan boleh makan seperti biasa walaupun menggunakan sudu dan garfu.

"Walaupun pakai kuku palsu, saya dah tak rasa kekok untuk buat aktiviti seperti menyolek wajah sendiri. Tapi sejujurnya, saya pakai kuku palsu bukanlah berniat nak tiru budaya luar... sekadar fesyen," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Balqis terharu apabila ramai individu di TikTok yang faham akan niatnya itu dan sentiasa memberi sokongan buatnya.

Jelas Balqis, dia juga berharap individu di luar sana menggunakan saluran dan kaedah yang betul jika berniat untuk memberi teguran kepadanya.

Antara video yang dikongsi oleh Balqis menerusi TikTok.

"Saya rasa terharu bila ada yang faham, bukan main sembur je. Kalau kita tiada perkara baik nak cakap, lebih baik diam.

"Kalau nak tegur, boleh mesej saya secara personal. Kalau was-was, selidik dulu. Yang berikan sokongan lebih ramai sebenarnya," ujar Balqis lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Balqis merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan dan berhasrat menjadi jurutera suatu masa nanti.

"Sebelum ni saya nak jadi doktor, tapi saya takut darah," ujarnya berseloroh.

Untuk rekod, Balqis memiliki lebih 36,000 pengikut di TikTok dan 14,600 pengikut di Instagram.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain