suria

Video dikejar geng monyet raih lebih 3 juta tontonan, pelajar mengaku ada buat sesuatu kepada anak monyet sebelum insiden – “Saya serik, dah insaf”

Seorang pelajar melalui detik cemas dikejar sekumpulan monyet di kolej kediaman di sebuah institusi pengajian tinggi di Nilai, Negeri Sembilan.

KECOH video yang memaparkan seorang gadis dikejar sekumpulan monyet ketika mengambil pakaian di ampaian di sebuah kolej kediaman pelajar.

Keadaan yang huru-hara itu bukan sahaja mencemaskan gadis berkenaan yang cuba untuk menyelamatkan diri, bahkan kedengaran jeritan perakam video dan penghuni sekitar.

"Yang penting baju kat tangan tak lepas," komen seorang netizen terhadap video yang meraih lebih tiga juta tontonan dalam masa kurang 24 jam selepas dimuat naik di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Beruk merajuk tahu nak kena tinggal, tuannya berjurai air mata tinggalkan kampung - "Tak tahu berapa lama saya boleh bertahan"

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar terkejut beruk! Monyet sempat selfie, rakam video dari atas pokok selepas rembat iPhone miliknya - "Makin jauh ke hutan, makin kuat bunyi"

Individu yang membuat rakaman itu, Majidah Wan Salleh berkata, kejadian berlaku di kolej kediaman pelajar di Nilai, Negeri Sembilan, pada petang Selasa lalu.



Beberapa ekor monyet dikesan berkeliaran di sekitar kolej kediaman pelajar.

Gadis berusia 22 tahun itu berkata, kolej kediaman yang terletak bersebelahan dengan hutan menyebabkan lokasi itu sering didatangi sekumpulan monyet setiap hari terutama waktu petang.

"Tiap-tiap petang memang ada monyet-monyet yang berkeliaran. Tapi hari tu lebih banyak daripada kebiasaan. Terkejut juga saya.

"Ketika itu, saya dari koridor dekat bilik rakan dan rakam secara spontan kemunculan monyet-monyet tu. Masa tu baru nampak rakan saya di ampaian baju sebelum dikejar monyet-monyet tu," katanya kepada mStar.



Seekor monyet di tepi tingkap sebuah bilik.

Mengulas lanjut, Majidah berkata, dia tidak pernah diganggu oleh monyet-monyet tersebut tetapi mengambil langkah untuk tidak berada di kawasan sekitar ampaian baju ketika haiwan tersebut berkeliaran dalam jumlah yang banyak.

"Tak pernah kena ganggu, tapi bilik saya pernah diceroboh masuk oleh monyet-monyet menerusi tingkap, mungkin nak cari makanan. Tapi kami tak dikacau," katanya.

Sementara itu, gadis yang dikejar monyet dalam video yang tular, Auji Fathiah Ahmad Tarmizi pula mendedahkan kisah sebenar sebelum insiden berlaku.



Antara tumpuan sekumpulan monyet pada waktu petang.

Menurut pelajar berusia 22 tahun itu, dia sebelum itu terlebih dahulu bertindak menyergah seekor anak monyet tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

"Masa tu saya tengah ambil baju di ampaian. Macam berani, tapi takut-takut juga. Saya sergah anak monyet tu sampai terkejut dan terguling sebelum ia masuk ke kawasan hutan.

Macam berani, tapi takut-takut juga. Saya sergah anak monyet tu sampai terkejut dan terguling sebelum ia masuk ke kawasan hutan

AUJI FATHIAH AHMAD TARMIZI

"Tidak lama kemudian, tak sampai 10 minit, ada seekor monyet dewasa yang dipercayai bapa kepada anak monyet yang saya kacau tu datang dekat saya. Bapa monyet tu tenung saya semacam sebelum mengeluarkan bunyi yang menakutkan saya.

"Ketika itu, saya seorang diri hanya mampu menjerit dan lari menyelamatkan diri masuk ke kolej kediaman. Masa tu tak fikir apa dah sampai tak perasan masih pegang baju bawa naik ke bilik," katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.



Majidah (kiri) dan Auji berkongsi pengalaman.

Anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun mempunyai alasan sendiri mengapa dia berada di ampaian baju ketika waktu 'puncak' sekumpulan monyet berkeliaran.

"Dekat rumah, mak ayah berpesan angkat baju di ampaian sebelum Maghrib. Jadi, saya amalkan perkara yang sama di kolej kediaman. Tak sangka monyet tu lebih agresif hari tu.

"Saya serik, lepas ni tak nak kacau monyet dah. Itulah buat-buat berani tapi sebenarnya penakut. Saya dah insaf," kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Kaunseling itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak