suria

Pelajar terkejut beruk! Monyet sempat selfie, rakam video dari atas pokok selepas rembat iPhone miliknya - “Makin jauh ke hutan, makin kuat bunyi”

Seekor monyet sempat merakam swafoto menerusi telefon milik seorang remaja yang dilarikan pada Sabtu lalu.

MISTERI kehilangan telefon pintar milik seorang remaja pada Sabtu lalu akhirnya terjawab pada hari berikutnya.

Apa yang mengejutkan, ia tidak dicuri mana-mana individu sebaliknya dilarikan oleh seekor monyet yang berkeliaran di kawasan kediamannya di Batu Pahat, Johor.

Menurut Muhammad Zackrydz Mohd Rodzi, 20, dia sama sekali tidak menyangka peranti itu akan dilarikan haiwan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelagat sang monyet larikan telefon bekas finalis Dewi Remaja ketika live IG cuit hati netizen

ARTIKEL BERKAITAN: “Ingat dia baik, tapi perangai lagi teruk daripada binatang” - Gadis terkejut kawan 'online' aniaya monyet, mahu dikenakan tindakan

Lebih lucu, monyet tersebut turut 'merakam' beberapa video dan swafoto sebagaimana yang dikongsinya di laman Twitter.

"Telefon hilang sewaktu saya sedang tidur pada pagi Sabtu. Dalam hati memang ingat pencuri. Tapi pelik sebab casing telefon ditinggalkan bawah katil.

"Terfikir toyol, tapi tak mungkin toyol curi telefon. Esoknya pada Ahad, ayah kata ada monyet kat kawasan rumah. Saya macam terfikir, kalau-kalau ia dilarikan monyet.

Zack mengakui terkejut apabila mendapat tahu telefon miliknya dilarikan oleh seekor monyet.

"Saya pusing kawasan belakang rumah, abang saya cuba hubungi dan saya dengar nada dering telefon. Makin jauh ke kawasan hutan, makin kuat bunyi. Memang betul telefon saya, ia ditinggalkan atas pelepah sawit," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Zack, dia yang lega dengan penemuan itu memeriksa keadaan telefonnya sebelum menyemak galeri sehingga terjumpa rakaman video dan gambar oleh haiwan berkenaan.

Biarpun terhibur, dia turut terkejut dan sama sekali tidak menyangka seekor monyet mampu menggunakan fungsi dalam telefon itu seperti manusia biasa.

Memang terkejut, tak sangka benda pelik ni berlaku. Bijak sangat monyet tu.

MUHAMMAD ZACKRYDZ MOHD RODZI

"Masa jumpa tu, telefon saya berlumpur. Syukur dah jumpa, rasa gembira. Bila saya periksa galeri, ada selfie monyet tu.

"Ada video biasa, video slowmotion, video timelapse. Keseluruhan dalam empat video, berbeza-beza durasi. Gambar lebih 20 rasanya.

Antara foto dari atas pokok dan bumbung yang dirakam sendiri oleh monyet itu.

"Memang terkejut, tak sangka benda pelik ni berlaku. Bijak sangat monyet tu. Sebelum ini memang tiada monyet di kawasan rumah saya. Ini kali pertama tengok monyet di kawasan ini.

"Monyet tu masuk rumah saya melalui tingkap belakang. Saya pelik juga, kalau pencuri, banyak lagi benda berharga lain. Tapi semua OK, telefon saya je yang hilang," ujarnya yang juga pelajar bidang Sains Komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Tingkap yang menjadi laluan masuk monyet berkenaan.

Sehingga kini, kisah yang dikongsi Zack mengenai kehilangan telefon model Apple iPhone XS Max yang dibeli kurang setahun lalu menerima hampir 5,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Malah, video yang dikongsi Zack juga turut menerima lebih 200,000 tontonan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain