Tukang kasut lejen di Ipoh hidup sebatang kara dalam kabin... nak mandi, tumpang bilik air perlu harap ihsan orang awam

Aus berkongsi kisah seorang tukang kasut bernama Pakcik Osman yang hidup sebatang kara di dalam kabin sempit.

"SELEPAS isteri saya meninggal, saya jual semua harta... saya tidur kat kedai ni. Anak pun takde, dik."

Demikian luahan sayu seorang warga emas yang hidup sebatang kara di sebuah kabin sempit yang terletak dalam bandaraya Ipoh, Perak.

Dia hanya menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai seorang tukang kasut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti!

ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk selongkar tong sampah menjelang iftar, pakcik tua ini dapat 2 kerak roti - “Saya sebenarnya malu, datang nak cari makanan”

Kisah lelaki yang dikenali sebagai Pakcik Osman ini dikongsikan oleh seorang pemuda menerusi Twitter, baru-baru ini.

Perkongsian tersebut sehingga kini meraih sehingga 10,100 retweet dan 8,500 likes.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali dengan nama Aus berkata dia mengetahui serba sedikit kisah Pakcik Osman selepas bersembang dengan lelaki berkenaan sewaktu menghantar kasutnya untuk dibaiki.



Posting Aus mengenai Pakcik Osman menjadi tular di Twitter.

"Sebenarnya saya menghantar kasut untuk dibaiki lebih kurang tiga minggu lalu namun kerana sedikit sibuk, saya hanya sempat buat perkongsian di Twitter baru-baru ini.

"Kalau ikutkan, sebelum ini pernah dah hantar kasut tapi baru kali ini saya terdetik untuk bersembang dengannya. Daripada apa yang diceritakan Pakcik Osman, dia hidup sebatang kara selepas isterinya meninggal, beberapa bulan lepas.

"Mereka tiada anak... jadi pakcik ni ambil keputusan untuk terus 'menetap' di sebuah kabin kecil yang dijadikan kedainya. Katanya, ada pemilik syarikat di bangunan berhampiran pelawa dia tinggal di satu ruang kecil dekat pejabatnya.

Walaupun cara dia bersembang tu santai dan sambil tersenyum, namun daripada riak muka dan suaranya, dapat dirasakan dia sedang menyimpan perasaan sedih namun dia cuba untuk sembunyikan.

AUS

"Tapi kebanyakan masanya memang dihabiskan dalam kabin tu... mandi atau tumpang bilik air pun atas ihsan pemilik syarikat tersebut," cerita pemuda berusia 27 tahun ini.

Tambahnya, Pakcik Osman sememangnya seorang tukang kasut 'lejen' di Ipoh kerana dia sudah menjalankan perkhidmatan berkenaan sejak berpuluh tahun lamanya.

"Sebenarnya dari saya kecil lagi Pakcik Osman ni ada di sini menjadi tukang kasut. Orang setempat memang kenal dengan Pakcik Osman. Dulu, dia hanya beroperasi dalam sebuah pondok kayu kecil saja.



Aus sempat bersembang dengan Pakcik Osman ketika menghantar kasutnya untuk dibaiki.

"Harga yang dikenakan sangat berpatutan dan yang penting, hasil kerjanya memang puas hati," ujar Aus yang juga berasal dari bandaraya tersebut.

Tersentuh hati melihat warga emas yang dalam lingkungan usia 60an itu menjalani kehidupan sebatang kara, Aus berkata dia kemudian terfikir untuk membuat perkongsian kisah lelaki berkenaan di media sosial.

"Walaupun cara dia bersembang tu santai dan sambil tersenyum, namun daripada riak muka dan suaranya, dapat dirasakan dia sedang menyimpan perasaan sedih namun dia cuba untuk sembunyikan.



Pakcik Osman merupakan seorang tukang kasut lejen di Bandaraya Ipoh.

"Disebabkan tersentuh selepas dengar kisah Pakcik Osman, saya terfikir apa cara untuk saya bantu dia... jadi saya saja kongsi di Twitter. Tak sangka ia viral.

"Selepas itu saya temui kembali Pakcik Osman dan beritahu pasal perkara ni. Dia senyum gembira bila tahu. Harapan saya moga selepas tular nanti, bisnesnya dikenali lebih ramai orang dan rezekinya terus murah," kata pemuda ini lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain