suria

Beruk merajuk tahu nak kena tinggal, tuannya berjurai air mata tinggalkan kampung - “Tak tahu berapa lama saya boleh bertahan”

(kiri) Video TikTok yang menunjukkan seekor beruk kelihatan seperti merajuk. (kanan) Danil begitu sayangkan beruk bernama Roky.

SEEKOR anak beruk yang memakai lampin menjadi perhatian di media sosial kerana gelagatnya seolah-olah merajuk dengan tuannya.

Video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok danil_abl123 itu menunjukkan anak beruk berkenaan mendekati seorang pemuda sebelum memeluknya.

Namun, video tersebut disusuli pula rakaman drama air mata seorang pemuda yang mengangkut sebuah beg yang membawa anak beruk tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar terkejut beruk! Monyet sempat selfie, rakam video dari atas pokok selepas rembat iPhone miliknya - "Makin jauh ke hutan, makin kuat bunyi"

"Saja aku jalan kaki, tak guna motor pun sebab aku nak habiskan masa lebih lama dengan Roky. Kalau aku dah balik KL, aku tak tahu bila nak balik Pahang untuk tengok Rocky," kata pemuda berkenaan sambil mengalirkan air mata di dalam rakaman itu.



Tangkapan skrin video TikTok menunjukkan Danil menangis untuk meninggalkan Roky.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Danil mendedahkan bahawa dia menjaga seekor anak beruk jantan yang diberi nama Roky.

Danil yang berusia 25 tahun itu turut menjelaskan bahawa lelaki di dalam video 'beruk merajuk' itu merupakan sepupunya.

"Roky (nama panggilan beruk) tu saya dah jaga dia sejak empat bulan lalu. Masa tu, saya masih berada di rumah keluarga di Kuantan, Pahang.

"Tapi minggu ini saya perlu kembali ke Kuala Lumpur untuk menguruskan bisnes secara kecil-kecilan. Kami dah terlalu rapat, jadi mungkin dia merajuk sebab tahu saya nak tinggalkan dia," katanya kepada mStar.



Roky dibela Danil sejak empat bulan lalu.

Danil yang juga berasal dari Kuantan berkata, dia sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur sebelum diberhentikan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

"Jadi, saya bekerja di sebuah kedai makan di Kuantan dan berdekatannya ada tempat penempatan beruk. Tapi Roky selalu datang ke kedai makan.

"Saya kemudian jaga Roky, beri dia makan minum. Bila dah terlalu rapat dan jaga dia dengan baik, sudah tentu saya sayangkan dia," ujanya.



Roky seekor beruk yang jinak.

Menurut Danil, dia pernah menghantar semula beruk belaannya ke tempat asal haiwan itu beberapa kali, tetapi ia masih kembali ke kedai makan untuk menemuinya.

"Sejak sebulan lalu hingga ke seminggu terakhir sebelum saya balik ke Kuala Lumpur, saya ada lepaskan Roky ke tempat asalnya untuk ajar dia berdikari, tetapi dia masih datang semula.

Saya sayang sangat dengan dia tapi saya perlu ke Kuala Lumpur untuk cari duit.

DANIL

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk menyerahkan Roky kepada sepupu untuk menjaganya. Saya rakam Roky merajuk tu, tapi dia ni sebenarnya mudah jinak," tambahnya.

Mengakui sukar untuk berjauhan dengan beruk kesayangan itu, Danil berharap sepupunya dapat menjaga haiwan tersebut dengan baik sebagaimana dia menjaganya sebelum ini.



Danil (kiri) begitu sayangkan Roky.

"Tak tahulah berapa lama saya boleh bertahan tanpa perlu bersedih fikir pasal Roky. Tapi sepupu ada juga hantar video-video Roky untuk mengubat rindu saya.

"Apa pun, saya berharap Roky sentiasa sihat dan lebih berdikari selepas ini. Jujurnya, saya sayang sangat dengan dia tapi saya perlu ke Kuala Lumpur untuk cari duit.

"InsyaAllah bila tiba masanya nanti, saya akan pulang ke Kuantan untuk berjumpa dengan Rocky," katanya yang menjual produk tenaga batin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain