suria

Sering makan ‘buah kembar’, tak sangka pun boleh dapat anak triplet! Wanita imbas saat manis perbualan dengan arwah ibu - “Ma kata doanya didengari Allah”

Bayi kembar tiga Nor Haniffah Omar menjadi perhatian ramai selepas wanita itu berkongsi kisahnya di Facebook.

"SAYA tak pernah terfikir langsung untuk dapat anak kembar, apatah lagi kembar tiga."

Demikian kata Nor Haniffah Omar ketika bercerita mengenai kisahnya yang dikurniakan tiga cahaya mata kembar, kesemuanya perempuan.

Wanita ini memuat naik satu perkongsian di laman Facebook sekadar mengimbas kenangannya bersama arwah ibu sebelum dia disahkan mengandung kembar tiga.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah! Rezeki dikurniakan 7 puteri, suami isteri tetap tak putus asa nak timang 'hero'... kalau tak tunggu menantu je - “Orang kata curi senduk di rumah ramai anak lelaki”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kembar seiras 'hot' gembira sambut 'birthday' berempat! Kuatnya naluri... demam bersama, seorang dibuli, dua lagi tak sedap hati

"Sebelum mengandung kembar, selalu je makan buah yang kembar-kembar macam pisang, petai, jambu. Arwah Ma selalu je cakap, 'makan la, nanti dapat anak kembar'. Dalam hati cakap 'mengarut je, tak mungkin la makan benda macam tu dapat anak kembar... mitos je'. Tup tup dapat kembar, arwah Ma la paling happy," tulisnya pada posting tersebut yang sehingga kini meraih 11,000 perkongsian.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita ini berkata dia sememangnya sering terjumpa buah-buahan yang bersifat kembar secara kebetulan, namun langsung tidak terniat untuk memperoleh cahaya mata kembar apabila memakannya.

"Sebetulnya, sebelah keluarga saya dan keluarga suami, masing-masing ada keturunan kembar. Tapi memang tak jangka kami pun dapat kembar. Anak pertama dan anak kedua saya pun dilahirkan bukan kembar.



Nor Haniffah bersama suami, si kembar tiga dan anak keduanya.

"Tapi semuanya sebab ketentuan Allah... makan buah-buahan kembar itu hanya kebetulan saja, nak mengimbas cerita. Janji Allah itu pasti... rrezeki, jodoh, ajal, maut semua di tangan Allah," katanya lagi.

Mengimbas kembali kisah kandungan ketiganya itu, wanita berusia 31 tahun ini berkata ketika kali pertama membuat pemeriksaan sewaktu kandungannya berusia 14 minggu, dia dan suami dikhabarkan bakal menimang kembar dua (twin).

"Masuk 19 minggu, ketika buat pemeriksaan, doktor kesan bukan dua, tapi tiga. Kemudian terus buat scan detail, memang rupa-rupanya ada lagi seorang dekat bawah. Scan detail kali kedua juga sahkan saya hamil kembar tiga.

"Memang terkejut, suami pun terkejut tapi dan seronok. Namun insan yang paling gembira adalah arwah Ma saya... dia kata doanya didengari oleh Allah," ujar wanita yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan.



Si kembar kini sudah berusia lebih setahun.

Menurut Nor Haniffa, sewaktu kehamilannya kali ini, dia berdepan dengan alahan yang sangat teruk.

"Saya terlalu lemah kerana kerap muntah... memang banyak masa dihabiskan dengan tidur sahaja. Ketika itu berat badan daripada 78kg susut menjadi 58kg sahaja. Alahan berterusan sehingga kandungan berusia 6 bulan," ujarnya.

Ceritanya, dia kemudian terpaksa dimasukkan ke wad selama sebulan memandangkan kandungan kembar tinggi dengan risiko.

Insan yang paling gembira adalah arwah Ma saya... dia kata doanya didengari oleh Allah.

NOR HANIFFAH OMAR

IBU

"Alhamdulillah, proses kelahiran berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Cabarannya adalah selepas melahirkan kerana saya terpaksa menjaga anak bersendirian kerana suami bekerja di Kuala Lumpur.

"Hanya sebulan sekali dia dapat pulang ke Kelantan, tapi sekarang sudah PKP, mungkin dapat balik dua atau tiga bulan sekali. Namun saya bersyukur, abah dan keluarga ada untuk membantu. Anak sulung yang berumur 10 tahun pun sudah boleh diharap," ujar anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Nor Haniffah turut meluahkan rasa terharu apabila ramai netizen memberikan komen positif di samping mendoakan anak-anaknya.



Si kembar tiga ini masing-masing mempunyai karakter berlainan.

"Saya ucapkan terima kasih sangat, tak mampu nak balas satu demi satu. Cuma apa yang boleh saya kongsikan, kepada mereka yang teringin dan berhajat nak dapat anak kembar, kena kuat mental dan fizikal.

"Seronok bila tengok wajah-wajah comel mereka tapi sebenarnya sangat mencabar dari segi penjagaan, tambahan pula kembar tiga. Tapi anggaplah ia rezeki dan amanah dari Allah... memang masa mereka kecil ni mencabar, insyaAllah besar-besar nanti boleh senangkan kita pula," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain