suria

Kepala berbalut, muka calar balar... budak lelaki ini sempat lagi minta bapa tak pukul kucing liar cakar mukanya - “Ibu tak boleh tidur, anak yang lena”

(kiri) Keadaan Adam yang mengalami kecederaan akibat dicakar kucing liar. (kanan) Adam memberi makanan kepada kucing-kucing di luar rumah. foto ihsan Norkamaliah Nordin

MALANG tidak berbau!

Siapa sangka seorang pencinta kucing juga akan mengalami peristiwa hitam gara-gara si bulus.

Menerusi beberapa foto yang tular di media sosial, wajah seorang kanak-kanak dapat dililhat mempunyai beberapa kesan luka akibat dicakar oleh seekor kucing liar.

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni apartment 'buang' anak-anak kucing, siapa sangka geng pak guard jadi penyelamat - "Gaji mungkin tak banyak, tapi mereka mampu..."

Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Norkamaliah Nordin berkata, insiden yang menimpa anaknya Muhammad Adam Harith Husyazi yang berusia sembilan tahun itu berlaku pada Ahad lalu.



Adam mempunyai kesan luka di muka, kepala dan telinga.

Ketika kejadian, wanita berusia 36 tahun itu memberitahu anaknya sedang bermain dengan seekor anak kucing peliharaan di luar rumah mereka di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

"Ketika itu Adam (panggilan anak) didekati oleh seekor kucing liar. Adik Adam kemudian membawa masuk anak kucing tu ke dalam rumah.

"Sementara itu, Adam pula mahu memberi makanan kepada kucing liar tu. Ketika itulah Adam dicakar dengan kucing jantan," ujar ibu kepada lima anak itu kepada mStar.

Norkamaliah berkata, kemungkinan kucing liar tersebut berasa terancam sebelum bertindak mencakar Adam yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu.



Adam dibawa ke klinik kesihatan untuk mencuci luka.

"Saya berada di dalam rumah ketika itu, manakala suami pergi ke kedai. Anak-anak beritahu Adam kena cakar dengan kucing dan saya ingatkan kena cakar biasa.

"Bila saya tengok muka Adam berdarah, saya yang berteriak dan automatik air mata saya mengalir, rasa nak pengsan. Tapi Adam hanya menangis sekejap dan cuma mengadu rasa pedih di muka," ujarnya sambil menambah anaknya itu segera dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan.

Adam siap berpesan kat ayah dia jangan pukul kucing yang cakar dia sebab dia sayangkan kucing.

NORKAMALIAH NORDIN

Menurut suri rumah itu, anaknya mengalami kecederaan di kepala, muka, telinga dan badan, namun bersyukur kerana keadaannya beransur pulih.

"Tiap-tiap hari kami bawa Adam untuk cuci luka di klinik kesihatan. Risau juga kalau Adam kena jangkitan kuman akibat dicakar oleh kucing liar," tambahnya.



Antara kucing yang dibela Adam di rumah.

Walau bagaimanapun, kata Normaliah, anaknya yang merupakan murid darjah 3 pada tahun ini tidak berasa fobia dengan kejadian yang menimpanya.

"Lepas dapat rawatan di hospital tempoh hari, Adam boleh terus peluk kucing kepunyaan saudara dia. Ingatkan dia fobia, tapi tak langsung.

"Adam siap berpesan kat ayah dia jangan pukul kucing yang cakar dia sebab dia sayangkan kucing. Saya tengok Adam relaks, siap boleh tidur dengan kucing-kucing bela macam biasa.

"Saya yang fobia, takut kejadian berulang sebab mood kucing bela atau liar ni kita tak tahu. Ibu tak boleh tidur, anak yang lena," katanya sambil menambah Adam kini membela tiga ekor kucing.



Walaupun muka teruk dicakar kucing liar, Adam tetap sayangkan si bulus.

Menyifatkan Adam sebagai seorang yang berperwatakan ceria dan manja, ibunya berkata anaknya itu pada masa sama begitu aktif dan berjiwa kental.

"Di kawasan rumah kami memang sentiasa ada kucing-kucing liar berkeliaran. Walaupun Adam ada kucing-kucing yang dijaganya dengan baik, dia tetap beri makan pada kucing-kucing liar.

"Walaupun muka dah teruk kena cakar kucing, dia tetap sayangkan kucing bukan setakat kucing dia sendiri, tapi termasuk juga kucing-kucing liar," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain