suria

Sama-sama sertai misi bantuan banjir, Ustaz Ebit terharu Agong belanja ikan patin - “Semua memang berdoa je teringin nak bergambar”

Ustaz Ebit berkongsi pengalaman manis ketika menyampaikan misi bantuan banjir bersama Agong dan Pemangku Raja Pahang. Foto: Facebook Ebit Lew

KEPERIBADIAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu merendah diri dan berjiwa rakyat sememangnya dikagumi ramai.

Lihat sahaja ketika beberapa buah negeri dilanda banjir teruk ketika ini, kelibat baginda berdua dengan diiringi anakanda-anakanda kerap kelihatan di kawasan terjejas bagi meninjau dan memberi bantuan.

Maka tidak hairanlah seluruh rakyat di negara ini begitu menyayangi dan mengkagumi baginda, termasuklah pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi, air mata sulami perjuangan Ebit Lew sepanjang PKP 2020... bagai adiwira hulur bantuan di kala perlu

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut tengok orang beratur! Ustaz Ebit beli 2 lori tangki air bantu rakyat Selangor, padahal rumah sendiri pun terjejas

Menerusi satu posting di Facebook, Ebit berkongsi pengalaman manis ketika bersama-sama dengan baginda menyampaikan bantuan banjir di Pahang.

"Terharu sebak sangat. Selepas misi bantuan, rezeki Tuanku YDPA belanja makan ikan patin di Temerloh. Ya Allah. Malu sangat rasa sebab dari mula sampai akhir Tuanku YDPA layan dan jemput makan. Dari mula minta baca doa sebelum makan," cerita Ebit.

Malah cerita Ebit, baginda juga tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sering turun padang menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir di negeri tersebut.



Ustaz Ebit aktif turun padang membantu mangsa banjir.

"Allahuakbar. Sebenarnya sikit sangat bantuan kami berikan di Pahang ini. Selalu nampak rombongan Tuanku YDPA setiap hari beri bantuan banjir. Pecah tiga lagi. Tuanku YDPA, Permaisuri Agong, dan Pemangku Raja.

"Supaya dapat cover setiap ceruk kawasan banjir. Dari pagi sampai lewat malam. Saya ikut sekejap terasa penat. Tak terkejar dengan bantuan Tuanku," tulis Ebit.

Malah tambah pendakwah ini, paling membuatkannya terkejut dan segan adalah baginda sendiri mengajaknya dan rakan-rakan sukarelawan lain untuk bergambar bersama sebagai kenang-kenangan.

Semua memang berdoa je teringin nak bergambar. Allah kabulkan doa kami. Kata Tuanku ini semua takdir Allah atas pertemuan ini.

USTAZ EBIT LEW

PENDAKWAH

"Lagi rasa malu bila tiba-tiba Tuanku bangun ajak team saya semua bergambar. Semua memang berdoa je teringin nak bergambar. Allah kabulkan doa kami. Kata Tuanku ini semua takdir Allah atas pertemuan ini.

"Ya Allah inilah Raja kami yang teramat baik dan mulia. Berilah kebaikan dan rahmat kepada Tuanku dan keluarga. Terima kasih ya Allah temukan kami dengan Tuanku YDPA kami yang mulia. Daulat Tuanku," tulisnya lagi.



Antara komen netizen yang memuji dan teruja apabila Ustaz Ebit berganding bahu bersama Agong.

Sehingga kini posting Ebit meraih sehingga 1,100 shares dan dibanjiri ratusan komen netizen yang memuji kedua-dua figura tersebut.

"Gandingan yang terbaik. Membantu tanpa melibatkan politik. Hanya untuk kepentingan rakyat semata-mata. Alhamdulillah Syukur Ya Allah. Masih ada lagi mereka yang berhati mulia ini," komen Hanisah Hassan.

"Alangkah bagusnya kalau orang-orang politik semua macam ni, tapi sayang, harapkan pagar, pagar makan padi. Terima kasih Allah, Kau kurniakan kami insan hebat ni," tulis Shukri Shuk.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain