suria

Ramai terhibur tengok gelagat lelaki ini tidur sambil dibawa arus banjir, tapi hakikatnya dia sedang kecewa! - “Tak boleh buat apa, layan sajalah”

Video dan gambar lucu yang dimuat naik oleh Muhamad Faris di Twitter mencuit hati netizen.

SEBAGAIMANA yang diketahui umum, beberapa negeri dilanda banjir yang teruk susulan hujan lebat berterusan sejak lebih seminggu lalu.

Negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Johor antara yang terjejas teruk sehingga menyaksikan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan.

Sudah pastinya dalam situasi ini, pelbagai kesukaran dan kesulitan terpaksa dihadapi oleh mangsa banjir untuk tempoh yang lama sehingga keadaan benar-benar kembali pulih.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu hadap banjir, mangsa kongsi banyak perkara ramai tak tahu... kenapa tak boleh dekati pokok? - “Makanan bukan masalah utama...”

ARTIKEL BERKAITAN: Internet slow ketika banjir, siswi kembar cari jalan ikuti kelas online di beranda... nak keluar rumah terpaksa dayung perahu dahulu - “Alhamdulillah dapat lecturer prihatin”

Jika disoroti di laman sosial, banyak perkongsian yang dimuat naik oleh pelayar bagi menggambarkan situasi banjir di kawasan masing-masing.

Namun begitu, perkongsian seorang pelayar di Twitter baru-baru ini benar-benar mencuit hati netizen, apabila dia memuat naik aksi lucu dan luar biasa ketika rumahnya turut dilanda banjir yang teruk.

Meraih lebih 14,000 retweet, video berdurasi kurang 20 saat itu memaparkan dirinya sedang 'nyenyak' tidur di atas tilam sambil memeluk bantal ketika dibawa arus banjir.

"Kalau dah penat, dekat mana pun aku boleh tidur," tulisnya pada kapsyen video berkenaan.



Muhamad Faris dan keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Bercerita kepada mStar, Muhamad Faris Sulaiman berkata tindakan spontannya itu tercetus kerana mahu menghilangkan rasa kecewa selepas rumah yang siap dikemas, ditenggelami air bah semula.

"Tilam tu saya jemur untuk keringkan... tapi bila air naik, alih-alih ia terapung pula. Spontan saya pun saja naik atas tilam tersebut dan ibu rakam gelagat ketika itu.

"Salah satu sebabnya, untuk hilangkan rasa kecewa dan penat... sebab tak boleh nak buat apa-apa jadi 'layan' sajalah," kata pemuda yang menetap di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor ini.

Saya gembira bila orang lain pun terhibur. Tapi ibu marah juga, dia kata tak payah la nak viral-viral ni. Tapi apa salahnya kalau menghiburkan orang.

MUHAMAD FARIS SULAIMAN

MANGSA BANJIR

Pemuda itu yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bersama keluarganya berkata, kampungnya sudah dua kali dinaiki air dalam tempoh dua minggu ini.

"Banjir kali ini sama teruk seperti tahun 2006 di mana air pernah mencecah siling rumah. Sebelum ini selalu saja berlaku banjir tapi tak teruk... hanya perlu cuci lantai saja.

"Lokasi kampung kami memang mudah ditenggelami air. Sebenarnya sudah ada beberapa keluarga dah berpindah ke penempatan yang disediakan kerajaan, tapi keluarga saya belum ada rezeki. Harap-harap la perkara ini dapat perhatian pihak yang sepatutnya," katanya.

Pemuda berusia 24 tahun yang juga peniaga char kuew teow ini berkata, ketika ini keadaan banjir di kampungnya semakin pulih namun mereka masih belum dibenarkan pulang kerana cuaca masih tidak menentu dikhuatiri mengundang bahaya.



Beginilah keadaan rumah keluarga Muhamad Faris ketika banjir surut kali pertama, awal bulan baru-baru ini.

Dalam pada itu mengulas perkongsiannya yang tular, Muhamad Faris berkata dia sedikit teruja namun gembira kerana ramai yang turut terhibur.

"Siap ada yang edit video tu macam Titanic, dekat sungailah, dan macam-macam lagi. Ini adalah perkongsian kedua saya yang viral. Sebelum itu, gambar acah-acah 'work from home' ketika banjir beberapa hari lalu pun viral juga.

"Saya gembira bila orang lain pun terhibur. Tapi ibu marah juga, dia kata tak payah la nak viral-viral ni. Tapi apa salahnya kalau menghiburkan orang. Setakat ni tak ada lagi dapat komen negatif," katanya lagi sambil turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan NGO yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain