suria

Selalu hadap banjir, mangsa kongsi banyak perkara ramai tak tahu... kenapa tak boleh dekati pokok? - “Makanan bukan masalah utama...”

Seorang pelayar berkongsi pelbagai perkara mengenai situasi banjir berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

UMUM mengetahui beberapa negeri ketika ini sedang dilanda banjir yang teruk susulan hujan lebat yang berterusan sejak dua minggu lalu.

Negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Johor antara yang terjejas teruk sehingga menyaksikan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan.

Sudah pastinya dalam situasi ini, pelbagai kesukaran dan kesulitan terpaksa dihadapi oleh mangsa banjir untuk tempoh yang lama sehingga keadaan benar-benar kembali pulih.

ARTIKEL BERKAITAN: Internet slow ketika banjir, siswi kembar cari jalan ikuti kelas online di beranda... nak keluar rumah terpaksa dayung perahu dahulu - “Alhamdulillah dapat lecturer prihatin”

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Subang Jaya jadi mangsa banjir di Kelantan, perjelas foto ‘seronok main banjir’ siap guna pelampung - “Dulu takut keluar rumah, sekarang saya dah biasa”

Menerusi satu posting yang dimuatnaik oleh Faisal Rahim di Twitter, dia berkongsi pengalamannya yang pernah menghadapi situasi banjir sebanyak tiga kali.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung 'membuka mata' ramai pihak yang mungkin tidak tahu atau terlepas pandang mengenai beberapa perkara ketika situasi banjir.



Golongan penternak adalah antara yang paling mengalami kesulitan ketika banjir kerana mereka perlu memindahkan haiwan ternakan.

"Ini perkara yang mungkin ramai tak tahu bila berlaku banjir. Ini berdasarkan pengalaman tiga kali duduk pusat pemindahan banjir.

"Makanan bukan satu masalah besar. Malah ia berlimpah ruah sampai beberapa bulan tak habis. Semua bagi bantuan makanan.

"Masalah terbesar adalah tandas. Semua tandas tidak berfungsi. Lubang tandas dipenuhi air. Tak boleh flush sebab sekeliling kawasan pusat pemindahan banjir juga digenangi air.

"Kasihan orang tua, ibu mengandung atau yang ada anak kecil. Bayangkan situasi itu. Siksa dan ngeri," tulisnya menerusi satu bebenang.

Tambahnya, satu perkara yang jelas adalah mangsa banjir mengalami kerugian yang bukan sedikit akibat daripada kerosakan harta benda.



Mangsa banjir bukan sahaja menanggung kerugian akibat bencana tersebut, namun turut menanggung bebanan emosi dek ujian bencana berkenaan.

"Penternak binatang paling kasihan. Ada beratus-ratus ekor lembu, kambing, puluh ribu ekor ayam kena pindah ke tempat lain. Tak ada kandang untuk letak, tak ada makanan (rumput tenggelam), banyak binatang lemas. Itu belum ayam, kucing dan lain-lain yang satu dua minggu duduk atas pokok tak makan.

"Banyak perabot rosak dan pintu tak boleh buka. Kenapa? Perabot zaman sekarang semua dari serbuk kayu. Bila terendam air, kitchen cabinet, almari baju, meja makan, perabot dan lain-lain akan kembang dan rosak. Semua kena beli lain.

Ujian banjir ini seksanya hanya yang pernah alami faham. Emosi, fizikal dan kewangan akan terjejas.

FAISAL RAHIM

PELAYAR TWITTER

"Kejadian kecurian berleluasa. Setiap kali musim banjir, banyak rumah kena pecah masuk. Diaorang ambil kesempatan rumah kosong

"Kena jauhi pokok. Semua jenis binatang liar akan panjat pokok untuk berlindung. Ular sawa, ular tedung, biawak, musang dan lain-lain. Binatang dalam tanah semua keluar. Cacing banyak keluar di lantai tanah. Panjangnya dekat satu meter. Takut kalau nampak," tulisnya.

Tambahnya, apa yang dihadapi oleh mangsa pasca banjir juga amat memeritkan, selain daripada terpaksa mengemas rumah dan mengganti barangan yang rosak.



Haiwan seperti ular dan sebagainya turut mencari perlindungan ketika banjir, oleh itu orang ramai dinasihatkan agar menjauhi pokok kerana ia menjadi lokasi haiwan ini.

"Banyak penyakit kulit dan cirit birit berlaku kat mangsa selama berminggu-minggu. Cukuplah setakat ini. Semoga semua tempat yang dilanda banjir di seluruh negara segera pulih.

"Ujian banjir ini seksanya hanya yang pernah alami faham. Emosi, fizikal dan kewangan akan terjejas," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 17,300 retweet serta 14,300 likes.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain