suria

Terkurung lebih 7 jam! Baru pindah rumah, 3 beranak alami detik cemas dalam bilik air sampai tertidur... anak sulung tiba-tiba gemar pakai sweater - “Saya blur tengok suami”

Seorang wanita berkongsi detik cemas mengenai dirinya bersama dua anak perempuan terkunci dalam bilik air di rumah baharu mereka. foto FB Safra Hussain

IBARAT mimpi ngeri apabila terkurung dalam bilik air di rumah selama lebih tujuh jam!

Namun, bagi seorang ibu yang berkongsi pengalaman buruk itu di Facebook sehingga tular, ternyata situasi itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Sebaliknya, wanita berkenaan memanjatkan kesyukuran kerana dirinya dan anak-anak terselamat dalam kejadian yang berpunca daripada masalah tombol pintu bilik air.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah detik cemas terkunci dalam tandas hotel ketika kuarantin wajib, minum air paip - "Aku jerit selama ni tak ada orang dengar"

ARTIKEL BERKAITAN: Papa terperangkap di siling gara-gara anak 'larikan' tangga, rupa-rupanya pernah terkunci pintu - "Dulu gelak, sekarang senyum-senyum"

Wanita itu, Safra Hussain berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu di bilik air dalam bilik tidur utama di kediamannya di sebuah kondominium di Damansara Damai, Selangor.



Luahan Safra di Facebook.

Berkongsi pengalaman, ibu dua anak itu memberitahu, dia sekeluarga sebenarnya baru berpindah ke rumah baharu itu selama hampir tiga bulan.

"Kami baru pindah dan pada hari kejadian, saya nak mandikan anak-anak perempuan selepas sarapan pada waktu pagi, sebelum anak yang sulung masuk tadika tengah hari. Suami pula sudah ke tempat kerja.

"Selepas selesai semuanya, pintu bilik air tiba-tiba tak boleh dibuka. Baru sedar terkunci dari dalam, macam-macam usaha dilakukan untuk buka pintu sampai penyangkut tuala pun saya cabut untuk ketuk tombol, tapi sia-sia," katanya kepada mStar.

Safra berkata, semakin lama terkurung dalam bilik air itu membuatkan anak sulungnya yang berusia lima tahun kesejukan dan kelaparan.



Keadaan pintu susulan kejadian.

"Anak sulung saya ni memang suka sejuk, sampai tidur tak pakai selimut walaupun dipasang aircond (penyaman udara). Katanya tak sejuk. Tapi bila dia cakap sejuk, luluh hati saya sebab itu tandanya dia betul-betul sejuk.

"Tangan dia pun dah nampak putih, jari-jaripun dah kecut. Bila dia lapar, saya suruh dia minum air heater dulu. Anak bongsu saya berusia dua tahun menyusu dengan saya dalam bilik air," ujarnya yang berasal dari Segamat, Johor.

Selain mencuba pelbagai cara untuk keluar termasuk memecah pintu bilik air, suri rumah itu turut menjerit bagi mendapatkan pertolongan.

"Tapi rumah saya tu masih di kawasan baru, jadi tak ramai orang tinggal. Kebanyakan rumah pun tengah buat pengubahsuaian, dan bunyi bising orang bertukang.

"Saya jerit sekuat hati dengan harapan ada yang dengar. Sampaikan saya dah penat dan rasa mamai kerana terlalu letih sebelum tertidur," katanya yang juga ejen penapis air.



Safra bimbang keadaan dua anaknya. Foto ihsan Safra Hussain

Menurut Safra, ketika kejadian, telefon bimbitnya sedang dicas dalam bilik dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan suaminya berusia 34 tahun yang sedang bekerja.

"Rutin saya adalah menghantar mesej kepada suami setiap kali menghantar anak ke tadika. Tambahan pula saya ni meniaga, jadi selalu buka WhatsApp dan update story di Instagram.

"Sudahlah saya senyap dari pagi, mesej tak hantar, suami telefon banyak kali tak jawab. Pukul 4.30 petang suami pergi nak ambil anak di tadika tapi anak tak ada jadi dia sangka saya tertidur, tapi cikgu kata anak tak datang sekolah... suami saya jadi risau, cepat-cepat balik rumah," katanya.

Saya senyap dari pagi, mesej tak hantar, suami telefon banyak kali tak jawab. Pukul 4.30 petang suami pergi nak ambil anak, tapi cikgu kata anak tak datang sekolah... suami saya jadi risau, cepat-cepat balik rumah

SAFRA HUSSAIN

Safra berkata, dia hanya terjaga dari tidur akibat kepenatan sebaik mendengar bunyi ketukan pintu bilik tidur yang terkunci dari dalam, dan mendengar suara suami memanggil namanya.

"Suami pecahkan pintu bilik air sebab memang tak boleh buka dari luar pun. Bila pintu terbuka, saya jadi blur dan tercengang tengok wajah suami sebab penat sangat.

"Syukur alhamdulillah, saya dan anak-anak selamat. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila terkurung lebih tujuh jam. Apa yang saya fikir adalah risaukan anak-anak yang menangis selepas itu," tambahnya.



Safra (belakang, kiri) bersama suami (belakang, kiri) dan anak-anak mereka. foto ihsan Safra Hussain

Susulan kejadian itu, dia dan suami membuat aduan kepada pemaju yang datang membuat pemeriksaan ke rumah pada hari berikutnya.

"Tapi buat masa ini, kami biarkan saja pintu bilik air itu tidak bertombol. Masing-masing trauma. Paling kasihan anak sulung saya, mula-mula takut nak mandi dan trauma nak masuk bilik air.

"Selepas tu masuk bilik air pun pakai sweater (baju sejuk) sebab dia tiba-tiba takut sejuk. Selain berdoa kepada Allah, memang kena bawa telefon sekiranya berlaku kecemasan," katanya sambil menambah berharap keadaan anak-anaknya bertambah baik.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain