suria

Anak pelik dengan sikap ibu, dah lama bercerai tapi tetap ‘tuntut’ duit belanja daripada bekas suami - “Saya dimaki, digelar anak derhaka”

Seorang anak perempuan berkongsi luahannya digelar sebagai 'anak derhaka' oleh ibu kandung sendiri. -gambar hiasan

SEGELINTIR anak hidup menderita akibat penceraian ibu bapa. Kesan emosi, fizikal dan mental mungkin dirasai anak-anak dalam jangka panjang.

Seorang anak perempuan dilabelkan sebagai anak derhaka oleh ibu sendiri, selepas ibu bapanya berpisah pada 2017.

"Saya dari kecil duduk dengan nenek. Tapi saya terkilan digelar anak derhaka sebab ibu marahkan ayah tak bagi duit belanja setiap bulan untuk ibu sendiri selepas bercerai.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis lepas geram, ibu 'demand' 18 pek susu formula untuk sebulan... dah lupa cara susu badan - "Tak tahu macam mana nak mula balik"

ARTIKEL BERKAITAN: Dah banyak bantuan diberi, ibu 4 anak mahu pinjam RM20 pula nak tunaikan janji beli khemah mainan... aktivis minta maaf, ada sebab terpaksa kata tidak

"Bukankah selepas bercerai si ayah hanya perlu bagi nafkah untuk anak sahaja? Setiap kali ibu marah dengan ayah, ibu maki hina saya walhal tak pernah saya melawan atau maki ibu," ujar seorang anak yang berkongsi luahannya kepada aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi di Facebook beliau.



Mesej yang diterima seorang anak daripada ibu kandung.

Mengabaikan mesej dan panggilan telefon susulan kejadian tersebut, anak malang itu turut memaklumkan bahawa ibunya tidak menghalalkan segala wang yang dibelanjakan buat dirinya dan adik-beradik.

"Padahal saya dan adik yang lain anak kandung dia. Ibu tak pernah nak tanya khabar saya. Ibu cari saya untuk lepaskan geram, maki saya dan gelar saya anak derhaka.

"Berdosa ke saya abaikan ibu saya? Saya anak derhaka ke tuan? Saya tak ada niat jahat cuma saya pun perlu sayang diri saya, saya penat selalu bandingkan diri sendiri dengan keluarga orang lain," katanya.

Mengulas lanjut, anak perempuan yang tidak diketahui umurnya dan jumlah adik-beradiknya, menjelaskan bahawa nenek menjaganya sejak lahir, sambil menambah bapanya turut tinggal bersama.

"Saya terkena tempias sebab saya paling rapat dengan ayah. Ibu tak dapat hubungi ayah jadi dia hubungi saya. Saya tak pernah melawan dia, balas WhatsApp dia pun saya tak pernah, dia kata saya derhaka waktu tu sebab saya abaikan chat dia walhal saya sedang cari tempat intern (latihan praktikal) dan ketika itu dia bergaduh dengan ayah," ujarnya.



Perkongsian Syed Azmi di Facebook.

Sementara itu, Syed Azmi berkata, kepincangan dalam institusi kekeluargaan menyebabkan penceraian boleh berlaku dalam masyarakat.

"Kalau boleh selamatkan kita selamatkan. Kalau akhiran tidak baik kita doakan.

"Tapi yang paling penting adalah jangan kita tepis atau menidakkan hak seseorang, menyatakan apa yang berlaku pada diri seseorang apabila kita bukan berada pada keadaannya. Di sini, berdiam diri lebih baik," katanya kepada mStar.

Syed Azmi bagaimanapun berkata, pengakuan anak perempuan tersebut hanya sebahagian sahaja, tanpa penjelasan ibunya.

"Adalah lebih baik kita mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Apa pun, kita doakan yang terbaik dan keadaan keluarga ini dibaik pulih," ujar beliau.

Jangan kita tepis atau menidakkan hak seseorang, menyatakan apa yang berlaku pada diri seseorang apabila kita bukan berada pada keadaannya.

SYED AZMI ALHABSHI

Susulan perkongsian luahan 'anak derhaka' itu, Syed Azmi berkongsi pengalaman salah seorang pengikut di Facebook yang memberikan respons turut mengalami nasib yang sama, dimaki oleh ibu kandung sejak kecil.

Pengikutnya itu yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, hidupnya ibarat kisah 'bawang putih bawang merah' yang mana hanya akan dilayan dengan baik apabila bapanya di rumah.



Syed Azmi Alhabshi.

"Itu pun nasib, kalau ibu buat drama dia, habis lunyai badan saya dibelasah oleh ayah, tanpa sepatah kata dapat saya keluarkan untuk bela diri," ujarnya sambil menambah hanya dia seorang dalam kalangan adik-beradik yang diperlakukan sebegitu hingga merasakan dirinya adalah anak angkat.

Pelbagai kisah duka yang dilalui, namun semakin menginjak usia, dia memaafkan ibu bapanya dan meredai segala ujian yang dilaluinya selama ini, malah tetap menjaga mereka.

"Sejak mereka balik dari umrah mereka berubah 180 darjah. Ibu dan ayah menangis mohon maaf daripada saya. Itulah tangisan ikhlas mereka, pertama kali saya dipeluk dan dicium sebagai seorang anak selama seumur hidup saya.

"Allah gantikan segala kesabaran saya selama ini, ibu ayah sangat menyayangi saya. Mereka sangat berusaha untuk menebus masa lalu saya.

"Saya dapat suami yang baik dan penyayang, anak-anak yang comel, bijak dan sangat taat dan hormatkan saya dan orang tua. Saya dikurniakan rezeki yang melimpah ruah.

“Bukan mudah untuk melupakan, reda dan ikhlas. Tapi itulah yang saya belajar hari demi hari. Alhamdulillah semua hikmahnya telah Allah anugerahkan buat saya sekarang ni. Tiada tempat kita bergantung dan mohon pertolongan melainkan Dia," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain