suria

Pelukan terakhir penuh makna di KLIA, anak tak sabar nak ziarah pusara bapa di Makkah - “Dengar suara mak menangis, baru saya percaya”

Zahid (kanan) mengimbas kembali mengenai bapanya (kiri) dijemput Ilahi ketika menunaikan umrah di tanah suci Makkah.

KITA hanya mampu merancang, tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Itulah pengalaman yang dilalui oleh seorang pemuda yang mengimbas semula insiden menyayat hati, membabitkan salah seorang ahli keluarganya.

Berkongsi kisahnya, pemuda berkenaan, Mohd Zahid Baharom berkata, kejadian berlaku pada 2013 ketika dia menjadi calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

ARTIKEL BERKAITAN: Balik sehari awal, rupa-rupanya kepulangan terakhir... video call sebelum bapa ditimpa musibah undang sebak - "Ayah susah nak senyum, tapi masa tu berbeza"

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

Dia yang kini berusia 25 tahun memberitahu, keluarganya telah membuat tempahan awal untuk mengerjakan umrah di Makkah, tanpa menyedari ia dilakukan sepanjang tempoh peperiksaan percubaan SPM.



Bapa Zahid (kanan) bersama ibu (belakang) dan kakak.

"Saya dan keluarga baru tahu tentang tarikh peperiksaan percubaan tu. Segala tempahan untuk pakej umrah melibatkan kira-kira 10 ahli keluarga termasuk hotel telah dibuat.

"Takkan sebab saya, mereka perlu batal atau tunda umrah. Jadi, saya buat permohonan bertulis kepada warden dan pihak sekolah untuk diberikan pelepasan kira-kira dua minggu bagi menyertai rombongan umrah bersama keluarga," katanya kepada mStar.

Zahid yang ketika itu merupakan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh berkata, permohonan tersebut bagaimanapun tidak diluluskan atas sebab tertentu, dipercayai mempunyai kaitan dengan prestasi sekolahnya.

"Dengan hati yang berat, saya terpaksa akur dengan keputusan itu. Keluarga seramai kira-kira 10 orang termasuk mak abah serta adik-beradik lain meneruskan rancangan mereka menunaikan umrah," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu.



Arwah bapa Zahid (kiri) bersama sebahagian keluarga ketika menunaikan umrah.

Namun, di akhir rombongan tersebut, pemuda yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu menerima berita yang tidak disangka-sangka dari tanah suci Makkah.

"Masa tu saya sedang belajar di asrama waktu petang. Warden datang ke kelas dan panggil saya keluar untuk maklumkan sesuatu secara private.... warden kemudian beritahu yang abah saya baru saja meninggal dunia di Makkah.

Di balai berlepas, abah sempat berbisik pada saya sebelum pergi. Abah pesan belajar rajin-rajin dan banggakan abah.

MOHD ZAHID BAHAROM

"Saya macam tak percaya apa yang saya dengar, langsung tak terfikir abah meninggal dunia kat sana. Sejam kemudian, saya dapat bercakap dengan mak yang call dari sana, bila dengar suara mak menangis, barulah saya percaya.

"Saya menangis teruk sangat masa tu sebab sedih dengan pemergian abah. Pengebumian juga terpaksa disempurnakan di sana, dan saya seorang saja ahli keluarga yang tidak berada di sana sehingga abah dikebumikan," tambahnya.



Zahid merupakan penyelidik dalam bidang marin.

Menurut Zahid, diai terkilan kerana tidak berada di samping bapanya ketika detik-detik terakhirnya sebelum meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat penyakit jantung.

Menyifatkan bapanya seorang yang garang tetapi pada masa sama mempunyai sikap lemah-lembut, Zahid sehingga kini mengingati momen terakhirnya bersama arwah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke tanah suci Makkah.



Zahid mengimbas semula kenangan bersapa arwah bapanya.

"Abah saya ni susah untuk tunjukkan dia sayang depan-depan anak-anak, tapi abah begitu mementingkan pendidikan anak-anak dia. Abah juga begitu percayakan saya.

"Semasa di balai berlepas, arwah abah peluk saya kuat-kuat dan usap belakang saya, malah sempat berbisik pada saya sebelum pergi. Abah pesan belajar rajin-rajin dan banggakan abah.

"Saya dan abah jarang berpeluk walaupun masa Hari Raya, tapi itulah pelukan saya dengan abah yang tak dapat saya lupakan sampai bila-bila," ujarnya yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Sains Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu.

Zahid yang juga bertugas sebagai penyelidik dalam bidang marin berharap agar wabak Covid-19 segera berakhir bagi menziarahi pusara arwah bapanya Makkah.

"Sehingga kini, saya belum ada rezeki untuk ke Makkah. Tapi saya dan keluarga merancang untuk menunaikan umrah apabila keadaan kembali pulih, dan masa tu nanti saya akan ziarah pusara abah buat pertama kali," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain