suria

Dulu normal, kini berubah sampai tak boleh bercakap, ibu sengaja kongsi penyakit misteri anak di grup ‘orang alim’ - “Dah buat banyak ujian, tak ada masalah langsung”

Hasif dari seorang yang aktif dan peramah tiba-tiba dalam masa setahun tidak boleh bercakap dan bergerak.

BAYANGKAN hati ibu mana yang tidak luluh melihat anak yang pada asalnya seorang yang aktif, peramah kini hilang keupayaan diri serta tidak boleh bercakap dan bergerak.

Lebih menyedihkan, wanita tabah ini bukan sahaja berdepan dugaan anaknya menghidap penyakit misteri malahan turut berbakti menjaga ibunya yang menghidap kanser payudara.

Bagaimanapun, Lili Suhana Anuar tidak sedikit pun mengeluh tetapi lebih kepada bersyukur menjadi insan terpilih untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah Allah kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sakit kepala, leher bengkak... penyakit anak akhirnya dapat dikesan selepas 5 hari - “Kami tak travel mana-mana pun”

ARTIKEL BERKAITAN: "Mama harap doktor tak buang buah pinggang Aryan" - Ibu kongsi derita anak hidap kanser

“Saya minta maaf lari dari topik group ini. Saya cuma mohon budi baik semua doakan kesembuhan anak saya. Moga berkat doa semua Allah makbulkan dan dikembalikan kebaikan kepada anda semua, ” tulisnya di halaman Facebook.

Ketika dihubungi mStar, ibu berusia 39 tahun itu memberitahu, niatnya berkongsi kisah anaknya secara terbuka adalah untuk mendapat doa daripada orang ramai.

Di laman Facebook, status yang pernah dikongsikannya tular dan mendapat perhatian netizen dengan rata-rata bersimpati dengan apa yang sedang dilaluinya.



Lily mula berkongsi kisah anaknya itu di laman Facebook sejak November lalu.

"Saya mula berkongsi tentang Muhammad Hasif yang berusia 15 tahun sejak November lalu. Sebenarnya niat bukan mahukan simpati atau tunjuk apa yang saya lalui tetapi saya perlukan sangat doa orang ramai, mana tahu ada doa di antara mereka yang Allah angkat.

"Saya banyak kongsi kisah anak saya ini di group orang alim ulama seperti Ustaz Ebit Lew dan sebagainya kerana saya mengharapkan doa mereka.

"Kalau viral kisah anak saya pun, saya harap penuh dengan doa yang berpanjangan," ujarnya yang mempunyai tiga anak lelaki.

Selain Hasif, Lily yang turut mempunyai dua lagi putera iaitu Muhammad Zarif Hairil, 16 dan Muhammad Wazif yang berusia sembilan tahun itu berkata dia langsung tidak pernah menyangka anak keduanya akan berdepan dugaan menghidap penyakit seperti itu pada usia muda.



Hasif perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas mengalami masalah pergerakan.

Lily berkata dari kecil sehingga tamat sekolah rendah anaknya itu memang sangat aktif, peramah dan kreatif tetapi apabila memulakan pembelajaran di sekolah menengah tiba-tiba perangainya berubah menjadi pendiam.

"Walaupun saya sedih, tetapi saya selalu bersangka baik. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini biarpun susah untuk percaya apa yang telah berlaku.

"Memang berbeza sangat dia dulu dengan sekarang. Mulanya simptom ringan saja dan saya ingat ada masalah di sekolah sampai saya berjumpa dengan guru kaunseling. Malah, cikgu cakap dia memang tak ada masalah disiplin atau kes buli.

Yang peliknya, pelbagai ujian dah dibuat pada anak saya sampai pihak hospital ambil tujuh tiub darah tetapi semuanya tak ada simptom langsung, normal saja.

LILY SUHANA ANUAR

IBU

"Sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, dia jadi lagi teruk sampai tak nak bercakap langsung, tak nak bangun, makan atau bergerak hingga berat badannya susut 30 kilogram," jelasnya.

Pada mulanya, Lily bersama suaminya, Hairil Hazlan, 45 cuba berubat secara rawatan Islam kerana ketika itu kes Covid-19 masih di peringkat awal lagi.

Selepas kerajaan melonggarkan sedikit kawalan pergerakan dan kes Covid-19 pun semakin reda pada tahun lalu, mereka terus membawa Hasif berjumpa doktor di Hospital Serdang, Selangor.



Lily bersama suaminya, Hairil dan tiga cahaya mata lelaki mereka.

"Yang peliknya, pelbagai ujian dah dibuat pada anak saya sampai pihak hospital ambil tujuh tiub darah tetapi semuanya tak ada simptom langsung, normal saja.

"Dua minggu di Hospital Serdang kemudian dirujuk kepada pakar di Hospital Kuala Lumpur hingga sekarang," ujarnya.

"Saya bukan apa, nak cakap asnaf itu tak tetapi pendapatan saya dengan suami agak tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan anak sepenuhnya.

"Sebab itu saya juga terima jika ada yang baik hati dan doa nak berniat untuk beri sedikit sumbangan, saya terima," akui Lily yang terpaksa menggunakan khidmat swasta untuk rawatan fisioterapi Hasif, selain kos vitamin dan suplemen yang diperlukan anaknya.

Selain itu, jelasnya lagi, ketika ini pakar HKL telah merujuk kes anaknya ke luar negara untuk tujuan kajian.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain