suria

Macam musim luruh, so real! Hakikatnya dalam kebun getah, semuanya spontan je - “Mulanya saya tolak... terbayang semak, nyamuk”

Gambar hasil bidikan Fardaus (gambar kecil) ketika photoshoot pasangan mempelai di kebun getah, menjadi tular.

UMPAMA perkahwinan ketika musim luruh.

Begitulah gambaran terhadap hasil bidikan seorang jurufoto yang mengabadikan detik bersejarah sepasang mempelai di dalam kebun getah.

Gambar yang merakamkan momen-momen indah pasangan pengantin tersebut bersama keluarga mereka berlatarbelakangkan pepohon getah dan dedaunan kering rona coklat begitu mengkagumkan ramai sejak ia mulai tular beberapa hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca bukan penghalang, jurufoto hasilkan magis ketika gerimis... Wow bagai hujan kristal! - “Kita cuma usaha bagi yang terbaik”

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis terganggu, juruvideo ‘bad mood’ lensa kamera dijadikan gelas sirap, tak lama kemudian jadi makanan semut - “Mak dia langsung tak minta maaf”

Berkongsi pengalaman ketika merakamkan momen tersebut, Fardaus Yahaya berkata sebenarnya ia adalah sesi penggambaran outdoor selepas pasangan pengantin selesai diijabkabulkan di pejabat kadi pada sebelah pagi.

"Pasangan mempelai sebenarnya dah bernikah di pejabat kadi waktu pagi, memandangkan sekarang musim pandemik. Mereka mahu mengabadikan kenangan dan mencadangkan untuk melakukan outdoor di rumah sahaja.



Lokasi photoshoot diadakan di kebun getah yang terletak di belakang rumah pengantin perempuan.

"Pengantin perempuan yang juga kenalan saya mencadangkan agar buat outdoor di dalam kebun getah yang terletak belakang rumahnya di Bukit Gambir, Johor. Tapi saya menolak pada mulanya.

"Saya fikir mesti rumput-rumput tinggi, semak dan mesti banyak nyamuk. Tapi sebaik saja sampai di rumahnya, saya tak sangka kebun tu cantik dan suasananya sangat 'naik'. Dengan daun-daun getah yang kering, seolah-olah musim luruh," kata jurugambar berusia 30 tahun ini.



Lakon semula upacara ijab dan kabul ketika sesi photoshoot yang hanya melibatkan keluarga terdekat kedua-dua mempelai.

Justeru, dia menyuarakan idea kepada pasangan pengantin untuk melakonkan semula babak 'ijab kabul' di dalam kebun getah yang akhirnya berjaya direalisasikan sebagaimana diinginkannya.

"Ketika itu cahaya matahari pun cantik, suasana redup... dan tak banyak nyamuk pun. Keluarga pengantin sangat sporting, mereka yang gigih mengangkat props ke kebun getah belakang rumah.

"Alhamdulillah, saya bersyukur pengantin gembira dengan hasilnya... malah tak disangka jadi tular dan dapat banyak komen positif.

Seronok bila ramai yang terinspirasi dan nak abadikan kenangan dengan tema suasana kampung untuk majlis mereka pula.

FARDAUS YAHAYA

JURUGAMBAR

"Ada juga komen negatif seperti pertikai warna kerusi... tapi ini bukan rancangan awal, semuanya spontan. Ada juga yang pertikai pasal prosedur operasi standard (SOP) tapi sebenarnya ia hanya lakonan semula, yang bergambar pun keluarga terdekat kedua mempelai saja," kata Fardaus menjelaskan situasi sebenar.

Sudah lebih lima tahun bergelar jurufoto perkahwinan secara sambilan, Fardaus berkata hasil bidikannya di kebun getah itu adalah kali pertama mendapat perhatian ramai.



Suasana dalam kebun getah ibarat musim luruh menaikkan lagi seri gambar photoshoot.

"Seronok bila ramai yang terinspirasi dan nak abadikan kenangan dengan tema suasana kampung untuk majlis mereka pula. Situasi sekarang pandemik, jadi jurufoto perlu memainkan peranan untuk lebih kreatif untuk memberikan hasil terbaik.

"Bagi mereka yang mahu abadikan kenangan masa hari bersejarah, jangan berkira. Bukan apa, ada sesetengah yang pilih harga. Momen seperti ini adalah momen untuk kenangan seumur hidup, usah lah berkira," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain