suria

Tak perasan ada orang di belakang, si adik terima padah abang hayun joran sampai kail tersangkut di mata... sikit lagi kena kornea! - “Adik minta maaf sebab tak dengar cakap umi”

Kanak-kanak ini cedera pada mata kirinya selepas tertusuk kail ketika mengikuti abangnya memancing.

"JANTUNG saya seperti nak luruh sebaik sahaja tengok mata anak"

Demikian kata Rabiatul Adawiah Yatim menceritakan detik ngeri apabila mata kail joran tersangkut pada kelopak mata kiri anak perempuannya.

Mengimbas kembali tragedi yang berlaku pada 7 September lalu, Rabiatul Adawiah berkata ketika kejadian anak perempuannya, Wan Nur Sumayyah Raihah, 8, mengikut seorang lagi anaknya, Wan Muhammad Solahuddin, 12, pergi memancing bersama rakan-rakan di sebuah paya berhampiran rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beruk tu nak dukung anak saya” - Berlubang dahi diserang monyet liar, ibu menggigil saksi anak nyaris dibawa lari masuk hutan

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi di rumah pengasuh! Doktor simpati nasib ibu hilang anak, tiada jawapan entah berapa lama ‘kepala di dalam baldi, kaki ke atas’ - “Mana tahu pagi itu hari terakhir ibunya lihat dia tersenyum”

"Ketika itu sekitar pukul 5.15 petang dan saya masih belum pulang bekerja. Saya selalu pesan, jangan keluar main selagi umi (panggilan ibu) belum pulang. Tapi bila saya sampai rumah hari tu, anak-anak tak ada.

"Masa saya sedang memasak, tiba-tiba anak seorang jiran datang rumah beritahu mata Wan Nur Sumayyah tersangkut mata kail. Saya masih boleh bertenang lagi ketika itu... saya tutup dapur gas dan nak pergi tengok. Tak lama tu, datang seorang lagi jiran bawa pulang anak saya dengan kereta.



Kail yang tersangkut di mata kiri Wan Nur Sumayyah sehingga hampir mengenai kornea.

"Ketika itu memang nak luruh jantung tengok mata dia, sebab dia terkena kail tiga bilah mata... mata kail tu tertusuk kena mata hitam. Saya tak tunggu lama, terus naik kereta jiran ke klinik. Tapi klinik terus rujuk ke hospital malam itu juga," katanya yang menetap di Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut wanita berusia 36 tahun ini, mata kail tersebut tersangkut ketika Wan Muhammad Solahuddin mahu melempar batang joran tanpa menyedari adiknya berada di belakang.

Cerita Rabiatul Adawiah, hatinya tidak keruan dan sebak apabila mendengar rintihan Wan Nur Sumayyah yang mengadu kesakitan sepanjang perjalanan.

"Ibu mana yang tahan dengar anak merintih... saya nak menangis tapi kalau kita turut lemah semangat, anak pun akan turut sama lemah. Saya hanya mampu berzikir dan mengusap untuk tenangkannya.

"Suami saya juga tak mampu nak tengok... dia tak tahan dan tak sanggup lihat anaknya dalam kesakitan.



Wan Nur Sumayyah terpaksa menjalani prosedur pembedahan yang memakan masa selama enam jam untuk mengeluarkan kali daripada matanya.

"Sepanjang perjalanan tu anak kata 'Umi, adik minta maaf sebab tak dengar cakap umi. Adik minta maaf sangat'. Lagilah sedih," katanya yang merupakan seorang Pembantu Pengurusan Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Gong Badak.

Wan Nur Sumayyah terpaksa menjalani pembedahan memandangkan kecederaan yang dialaminya agak serius yang mana ia memakan masa selama enam jam.

"Menurut doktor, anak saya bernasib baik kerana sedikit lagi mata kail nak kena kornea. Kalau tidak, memang anak saya tak dapat melihat sampai bila-bila. Sepanjang tiga bulan, kami berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan.

Ketika itu memang nak luruh jantung tengok mata dia, sebab dia terkena kail tiga bilah mata... mata kail tu tertusuk kena mata hitam.

RABIATUL ADAWIAH YATIM

IBU

"Pada 3 November lalu, doktor akhirnya menanggalkan jahitan pada mata hitamnya. Keadaan Wan Nur Sumayyah kini beransur pulih tapi dia mengadu tak berapa jelas seperti dulu. Doktor beritahu memang ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

"Sejak kejadian tu, memang mereka berdua serik dan tak ikut orang pergi memancing dah. Si adik pun hanya bermain dekat kawasan rumah saja. Saya pula sampai sekarang jadi fobia kalau nampak orang memancing, apatah lagi kalau ternampak joran," ceritanya.



(Kiri) Wan Nur Sumayyah sebelum menjalani pembedahan. (Kanan) Keadaan mata kiri Wan Nur Sumayyah selepas jahitan di mata hitamnya dibuka.

Dalam pada itu tambah Rabiatul Adawiah, tujuan perkongsiannya di laman sosial adalah untuk berkongsi cerita agar ibu bapa sama-sama boleh mengambil pengajaran.

"Kadang-kadang bila jadi kes seperti ini, ibu bapa dipersalahkan. Namun sebenarnya, saya dan suami tak pernah beli dan miliki joran. Tapi siapa boleh elak kalau benda berlaku di luar kawalan kita.

"Apapun, semoga ibu bapa lebih peka dan ambil iktibar daripada kisah kami. Kepada kaki pancing di luar sana, hati-hati... kalau boleh lihat dulu orang sekeliling sebelum lempar batang joran," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain