suria

Kecoh! Insiden motosikal bersepah terbaring di tepi jalan didakwa ditendang polis cetus pelbagai spekulasi... Ini penjelasan polis trafik

Gambar motosikal yang terjatuh didakwa ditendang polis, tular di media sosial.

PELBAGAI tanggapan dibuat apabila tular gambar motosikal terbaring di tepi jalan.

Malahan senario itu membuatkan netizen meninggalkan komen berbaur kecewa terhadap pihak polis, semuanya gara-gara kejadian ketika Op Samseng Jalanan yang dijalankan polis trafik baru-baru ini.

Bagi mendapatkan kepastian, mStar menghubungi salah seorang remaja berusia 18 tahun yang terbabit dalam kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis suruh berhenti tepi, gadis pakai mask bawah hidung gelabah fikir mana nak cari RM1,000... rupa-rupanya ditahan sebab lain - “Peluh menitik kat muka abang polis trafik”

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih abang polis! Dah habis waktu kerja, tapi sanggup hantar pelajar duduki peperiksaan

Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Razali, remaja itu mendakwa motosikal yang dilihat terbaring di tepi jalan itu kerana ditendang oleh pihak polis pada hari kejadian.

Malah, dia yang berasal dari Semenyih, Selangor itu, mengakui terkejut dan terkilan dengan tindakan anggota pasukan keselamatan itu.

"Ketika itu, saya dari rumah nak keluar berjalan-jalan dengan rakan-rakan, semua sekali tujuh motosikal.

"Dalam perjalanan, tiba-tiba ada operasi yang dilakukan pihak polis dan kami ditahan beramai-ramai.

"Kalau boleh lihat dalam gambar itu, motosikal yang terbaring di tepi jalan itu adalah disebabkan ditendang pihak polis, manakala kami diarahkan untuk duduk dan tidak boleh mengeluarkan telefon.

"Saya tak sangka pihak polis boleh buat macam tu," dakwanya lagi.

Ditanya mengenai kesalahan yang dilakukannya, remaja itu mengaku tidak mempunyai sebarang lesen dan sudah sering kali ditahan polis dalam sekatan jalan raya.



Pihak polis didakwa menendang motosikal pada hari operasi samseng jalanan dilakukan.

"Saya ditahan kerana tidak mempunyai lesen. Sebenarnya dah banyak kali saya kena tahan, tapi kali ini lain macam sikit caranya," ujarnya sambil menambah mereka yang ditahan diarah menolak motosikal mereka ke balai polis berhampiran sejam selepas ditahan kira-kira pukul 5 petang pada 6 Disember lalu.

Dakwanya lagi, susulan kejadian itu, terdapat beberapa kerosakkan pada motosikalnya seperti brek patah dan cover set di permukaan hadapan pecah.

"Setelah saman dikeluarkan kepada saya kira-kira pukul 11 malam kami dibenarkan pulang," jelasnya.

Itu hanya provokasi sahaja, dan sudah menjadi kebiasaan menerima komen-komen negatif seperti itu.

ASISTEN SUPRITENDAN MOHD HAFIDZAL ZAINAL ABIDIN

KETUA BAHAGIAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK IPD NILAI

Menurut laporan di akaun Facebook Polis Daerah Nilai, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di Negeri Sembilan telah menjalankan Op Samseng Jalanan di Tasik Senangin, Lenggeng di negeri berkenaan, Ahad lalu.

Hasil operasi tersebut, polis mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar undang-undang, selain menahan beberapa motosikal dan individu di atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.

"Sebanyak 76 motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan, 327 saman telah dikeluarkan, empat remaja lelaki berumur dalam lingkungan 15 sehingga 18 tahun ditahan, manakala tiga remaja lain juga ditahan kerana positif dadah jenis methaphetamine.

"Daripada jumlah ditahan, sebanyak 18 motosikal disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai untuk tindakan lanjut," laporan Polis Daerah Nilai.

Bagaimanapun mStar turut mendapatkan pengesahan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai, Asisten Superitendan Mohd Hafidzal Zainal Abidin yang memberi penjelasan mengenai hal sebenar pada hari kejadian.



Gambar motosikal Razali atau nama gelaran Ejad di Balai Polis Nilai sebelum dibernarkan pulang.

"Tidak berlaku sebarang kejadian tendang-menendang motosikal pun pada hari operasi tersebut.

"Itu hanya provokasi sahaja, dan sudah menjadi kebiasaan menerima komen-komen negatif seperti itu," jelasnya.

Tambahnya lagi, motorsikal yang dilihat terbaring di bahu jalanan itu adalah disebabkan mereka ingin melarikan diri dan melanggar sesama mereka kerana semua jalan tikus telah ditutup oleh pihak polis.

"Mereka yang langgar sesama mereka, bila dah jatuh, kami biarkan sahaja motosikal itu.

"Buat apa kami nak susahkan diri nak tendang motosikal itu semua," katanya.

Pihak polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang awam, dan tindakan sewajarnya perlu diambil, kerana penunggang motosikal yang melakukan aksi-aksi seperti itu boleh membahayakan orang awam di jalan raya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain