suria

Rasa lain macam... Pemuda terkenang mak ayah patah balik bantu warga emas terkandas, satu tayar pecah tapi kesemua 4 dah uzur - “Tak tanya banyak takut menangis”

Seorang pemuda berkongsi kisah hiba apabila terserempak dengan pasangan warga emas yang tersadai di tepi jalan kerana tayar kereta pecah.

SUSAH kita susah lagi orang lain.

Itulah yang dilalui seorang penyedia kandungan (content creator) apabila melihat pasangan yang berusia dalam lingkungan 60-an itu berdepan situasi tayar pecah hinggakan rim kereta mencecah ke jalan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Aqqiyudden Md Yahya, berkata ketika dalam perjalanan ke Tanah Merah, Kelantan atas urusan kerja, dia melihat sebuah kereta Kancil berdepan dengan masalah tayar pecah yang memerlukan pertolongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi tayar meletup di jalan lengang, sebelah petang wanita terkejut dapat panggilan daripada lelaki beri bantuan - “Saya nak hulur sagu hati, dia tolak”

ARTIKEL BERKAITAN: Polis suruh berhenti tepi, gadis pakai mask bawah hidung gelabah fikir mana nak cari RM1,000... rupa-rupanya ditahan sebab lain - “Peluh menitik kat muka abang polis trafik”

"Saya sedih tak terkata bila lihat pakcik dan makcik dalam keadaan begitu, lebih-lebih lagi saya membayangkan jika hal sama berlaku kepada mak dan ayah saya.

"Masa tu saya perlu ke Tanah Merah untuk menghadiri mesyuarat. Sebelum ini saya ada juga lihat kereta lain yang tayar pecah di tengah jalan, tetapi kali ini lain macam sikit, sehinggakan saya terpanggil untuk pusing balik dan beri pertolongan," ujar pemuda berusia 30 tahun itu.

Lebih mesra disapa Que Yahya, dia berkata, sebelum itu, tidak ada satu kereta pun yang berhenti untuk memberi pertolongan kepada pakcik dan makcik ini.



Perkongsian yang dibuat menerusi akaun Instagram Que Yahya.

Sebaik sahaja dia tiba di situ, pemuda ini memperkenalkan diri dan menghulurkan pertolongan.

"Jika dilihat dari video yang saya muat naik itu, apa yang dialami pakcik dan makcik ini sangat kesian.

"Saya niat nak tolong, saya terus kenalkan diri, takut pula pakcik dan makcik ini terkejut dengan kehadiran saya.

"Saya terus bawa mereka ke kedai kereta berdekatan untuk tukar keempat-empat tayar walaupun satu yang pecah tetapi berdasarkan pemerhatian saya, semua tayar sudah teruk," ujarnya.



Que Yahya membantu pasangan warga emas berkenaan menukar keempat-empat tayar kereta mereka.

Dalam pada itu, Que berkata, pakcik ini sememangnya ingin teruskan perjalanan dalam keadaan tayar begitu sehingga sampai ke rumahnya.

Dek kerana terlalu susah dan berpendapatan kecil, pakcik itu berkata dia tidak mampu untuk menukar tayar tersebut.

"Masa saya sampai di situ, pakcik tu kata dia ingin pulang ke rumahnya dengan memandu perlahan-lahan.

Saya sedih tak terkata bila lihat pakcik dan makcik dalam keadaan begitu, lebih-lebih lagi saya membayangkan jika hal sama berlaku kepada mak dan ayah saya.

QUE YAHYA

"Mereka sebolehnya tidak mahu menyusahkan saya. Mulanya, pasangan itu hanya senyum ketika menolak pelawaan saya untuk membantu mereka.

Kata Que lagi, dia tidak begitu tahu latar belakang pakcik dan makcik itu kerana takut jika banyak bertanya, dia pula yang akan mengalirkan air mata.

"Apa yang saya tahu, mereka bekerja menggaul simen sahaja dan masih mempunyai anak yang masih bersekolah.

Bagaimanpun, Que berkata dia tidak mengharapkan video itu diviralkan kerana baginya cukup sekadar apa yang dilakukannya itu dapat dicontohi.



Wanita warga emas ini sebak kerana terharu di atas pertolongan Que Yahya.

"Saya rasa video itu tak perlu diviralkan, itu perkara biasa yang patut ada dalan diri semua orang apabila melihat orang susah.

"Ikutkan saya tak mahu muat naik video itu, tetapi apabila saya rasa sedikit terkilan bila melihat motor dan kereta sebelum saya sampai tak ada rasa simpati, sebab tu saya kongsi cerita pasangan itu," ujarnya.

Dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada netizen yang banyak memberi komen-komen positif atas pertolongan yang dihulurkannya itu.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
warga emas, tayar pecah, Kancil, Que Yahya

Artikel Lain