suria

Ngeri! Lelaki kongsi kejadian ‘pinggang meletup’ ketika angkat sofa, dua hari tak boleh bangun - “Salah langkah, memang dapat sakit”

(kiri) Muhamad Hafiz sebelum insiden 'pinggang meletup'. (kanan) Muhamad Hafiz terpaksa dimasukkan ke wad selama dua hari dan kini masih belum pulih sepenuhnya.

SAKIT pinggang boleh terjadi disebabkan pelbagai keadaan, antaranya duduk terlalu lama atau tersalah posisi ketika mengangkat barang.

Namun ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai posisi atau postur badan yang betul ketika mengangkat barangan berat.

Padahal akibatnya amatlah buruk dan memberi kesan jangka panjang kepada tulang belakang terutama bahagian pinggang, sebagaimana yang menimpa lelaki ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau jangan pandai-pandai, pinggang aku ni dah tak nak kawan” – Ayah bertukang perabot macam beli di kedai, ramai DM tanya harga

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri”

Terdahulu, kisah lelaki tersebut dikongsikan oleh rakannya menerusi laman Twitter, sehingga meraih 10,100 retweet dan lebih 7,000 tanda 'suka'.

"Nak pesan dekat kawan-kawan yang selalu angkat barang berat. Tolong amalkan cara angkat yang betul. Bercangkung, bukan bongkok kalau nak angkat barang. Tak kira ringan atau berat. Member aku baru kena tadi. Meletup pinggang. Belum tahu result. Tapi langsung tak boleh bangun atau duduk," demikian ciapan yang ditulis di laman berkenaan.



Perkongsian yang dimuat naik oleh rakan Muhamad Hafiz yang tular di Twitter.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Muhamad Hafiz Abdul Kadir berkata ketika kejadian, dia sedang mengangkat sofa yang sudah dibersihkan untuk dibawa masuk semula ke dalam rumah salah seorang klien.

"Saya buat 'part-time job' kerja pembersihan dengan kawan. Ketika itu dah selesai membersihkan sofa dan tinggal nak angkat masukkan ke dalam rumah.

"Masa sedang angkat sofa yang terakhir, saya tersalah langkah ketika nak letakkan sofa. Masa itu terdengar bunyi 'letupan' kecil daripada bahagian pinggang.

"Serentak dengan itu, saya tak boleh berdiri mahupun berjalan. Memang hanya mampu duduk sambil menahan sakit. Kawan-kawan yang tolong angkat, bawa masuk dalam kereta dan hantar ke hospital," imbas Muhamad Hafiz mengenai kejadian yang berlaku Ahad lalu.



Muhamad Hafiz menjadikan insiden yang berlaku minggu lalu itu sebagai pengajaran untuknya lebih berhati-hati selepas ini.

Menurut Muhamad Hafiz, hasil pemeriksaan yang dilakukan, doktor mengesahkan bahawa tiada tulangnya yang patah, dan ia hanya berkaitan dengan urat saraf.

"Namun begitu, dua hari juga saya terlantar dalam wad. Hanya hari kedua baru saya boleh bangun dan berjalan perlahan-lahan untuk ke bilik air dan sebagainya," kata pemuda berusia 28 tahun ini.

Masa sedang angkat sofa yang terakhir, saya tersalah langkah ketika nak letakkan sofa. Masa itu terdengar bunyi 'letupan' kecil daripada bahagian pinggang.

MUHAMAD HAFIZ ABDUL KADIR

Bercerita lebih lanjut, Muhamad Hafiz yang juga pemilik sebuah kedai aksesori kereta berkata, sungguhpun insiden berkenaan sudah hampir seminggu berlaku, dia masih lagi belum pulih sepenuhnya.

"Saya sudah boleh uruskan diri sendiri perlahan-lahan namun pergerakan sangat terhad. Begitu susah, sukar dan sakit. Inilah pengalaman pertama sakit sehingga dimasukkan ke wad. Ini betul-betul pengajaran untuk saya. Selepas ini kena lebih hati-hati.



Antara komen netizen yang turut berkongsi pengalaman hampir serupa dengan insiden yang menimpa Muhamad Hafiz.

"Saya tak tahu pada mulanya kisah saya viral dekat Twitter sebab tak ada akaun di laman sosial itu. Hanya selepas keluar wad, baru kawan beritahu.

"Saya harapkan perkongsian tersebut boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain terutama yang terlibat dalam kerja-kerja berat ni agar berhati-hati dan praktikkan posisi yang betul. Salah langkah, memang dapat sakit," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain