suria

Penangan nasi lemak PKPB, jual depan rumah pun boleh laku beratus bungkus... yang tak dapat datang beli selamba DM anak tauke minta resipi

Perkongsian Azizi mengenai bisnes nasi lemak ibunya di laman Twitter menjadi tular.

PENGUMUMAN kerajaan pada Jumaat minggu lalu yang memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Tinggi, Johor, sedikit sebanyak memberi kesan kepada para peniaga kecil.

Begitu jugalah kisah pemuda ini dan ibunya, yang mana perniagaan nasi lemak yang diusahakan mereka secara kecil-kecilan di hadapan rumah di daerah tersebut, sedikit terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh baca mesej sedih ibu, baru 2 bulan bisnes dah merudum... tak ada pelanggan langsung sepanjang hari - “Saya yang beri idea, tengok-tengok tak dapat sambutan pula”

ARTIKEL BERKAITAN: Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka ‘pelanggan bertambah’ selepas bantu kerja kebajikan – “Jangan berhenti walau kecewa”

"Hi, ibu dah start niaga nasi lemak malam depan rumah ni. Tolong retweet sampai orang Kota Tinggi tahu. Terima kasih," demikian ciapan pemuda itu di Twitter sehingga ia diulang kicau 5,600 kali.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Azizi Rifaie berkata, ibunya baru dua minggu berniaga nasi lemak dan aneka lauk di hadapan rumah mereka.

"Saya buat perkongsian di Twitter kira-kira seminggu selepas ibu berniaga. Sebelum ini pelanggan memang kurang sebab kami baru... mungkin tak ramai yang tahu. Ditambah pula sekarang ni PKPB.

"Agak mencabar juga dari segi nak mencari pelanggan jadi kami buat keputusan untuk guna kaedah penghantaran (COD) juga. Kemudian saya buat post dekat Twitter, dan dalam masa yang sama post di grup Facebook.



Gerai nasi lemak yang dibuka di hadapan rumah keluarga Azizi.

"Tak sangka, selepas post di Twitter, post tu meletup... ini kali pertama sebab tak pernah pun perkongsian saya viral sebelum ni. Jika sebelum ni ibu hanya masak lebih kurang 50 bungkus tapi jumlah itu meningkat sehingga 200 bungkus selepas viral," kata pemuda berusia 21 tahun ini.

Menurut Azizi, ibunya, Rugayah Rahman bertanggungjawab menyediakan menu manakala dia dan kakaknya membantu di gerai dan juga menghantar pesanan.

Jika sebelum ni ibu hanya masak lebih kurang 50 bungkus tapi jumlah itu meningkat sehingga 200 bungkus selepas viral.

AZIZI RIFAIE

ANAK

"Menu yang paling laris adalah nasi lemak ayam berempah. Sehingga kini, jumlah ayam yang digunakan mencecah 10 ekor. Selain nasi lemak ayam berempah, ada juga lauk rendang ayam, sambal kupang, sambal paru, sambal sotong dan sebagainya. Menu bertukar setiap hari.

"Resipi diwarisi daripada datuk dan nenek sebab keluarga di sebelah ibu memang berniaga makanan dari dulu. Ibu pun berpengalaman buka kedai makan di Kuching, Sarawak sebelum berpindah ke Kluang, pada Julai lalu kerana ayah ditugaskan di sini.



Nasi lemak ayam rempah menjadi antara menu yang yang paling laris di gerai ibu Azizi.

"Kini kedai makan tu diambil alih oleh kakak yang tinggal di sana. Selain itu, nasi lemak yang dijual ibu juga akan disertakan ikan masin. Pernah ada pelanggan minta ikan masin lebih sebab menambat selera," cerita pelajar tahun akhir jurusan kewangan dari Universiti Industri Selangor (Unisel) ini.

Bercerita lebih lanjut, Azizi berkata dia begitu terharu dan mengucapkan terima kasih kepada netizen yang menularkan perkongsiannya sehingga menjadi viral.

"Saya juga terharu bila ramai beri komen positif dan mendoakan perniagaan kecil-kecilan ini. Gembira bila mereka puji semua lauk nampak begitu menyelerakan. Ada yang kata nak datang selepas PKPB. Kawan-kawan pun selalu bertanya perkembangan.



Azizi (dua,kiri) bersama ibu (tengah) dan keluarganya.

"Namun ada juga netizen hantar DM dan bertanya sama ada saya sudi berkongsi resipi sambal paru. Mungkin sebab terlalu teringin tapi jauh nak datang, jadi dia minta resipi.

"Saya belum sempat membalas DM daripadanya tapi InsyaAllah saya pasti akan beri. Ibu pun tak keberatan kerana katanya, biar sama-sama berkongsi. Tak perlu nak berkira.

"Bagi mereka yang struggle cari rezeki, nak membina kembali kehidupan yang terjejas, jangan putus asa. Kalau bisnes down, carilah cara untuk naikkannya semula. Selain itu, kena jaga hubungan sesama manusia juga," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain