suria

Empat anak anjing comel ditinggal depan rumah, lima beradik tolong jaga sambil cari tuan baharu... akhirnya timbul rasa sayang - “Tak semua orang dapat peluang ini”

Adik-adik Hidayah (gambar kiri) yang turut menjaga anak-anak anjing yang dijumpai di kebun mini mereka. foto ihsan Nur Hidayah Mohd Adam

TANPA disangka-sangka, sekumpulan anak anjing ditinggalkan di hadapan sebuah rumah keluarga Muslim.

"Assalamualaikum semua! Ada orang tinggalkan anak anjing depan rumah kita. Tengoklah ni, comel tapi tak boleh bela. Sangat berharap untuk seseorang datang dan ambil untuk bela," tulis seorang gadis menerusi satu ciapan di laman Twitter.

Gadis berkenaan, Nur Hidayah Mohd Adam berkata, empat anak anjing itu dijumpai oleh adik bongsunya berusia 12 tahun pada Sabtu minggu lalu, dekat kawasan lapang hadapan rumah, yang dijadikan sebagai kebun mini oleh keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni apartment 'buang' anak-anak kucing, siapa sangka geng pak guard jadi penyelamat - "Gaji mungkin tak banyak, tapi mereka mampu..."

"Anak-anak anjing tu ditinggalkan dalam kotak. Masa jumpa, kesemuanya dalam keadaan sihat seperti pernah dijaga orang sebelum ini.

"Mungkin orang tu tinggalkan sebab rasa banyak sangat anjing mereka bela dan tak mampu nak bela lebih banyak," kata gadis berusia 20 tahun itu kepada mStar.



Perkongsian Hidayah mencari mereka yang berminat untuk membela anak-anak anjing.

Lebih mesra disapa Hidayah, dia berkata, perasaan belas kasihan timbul apabila melihat anak-anak anjing yang dianggarkan berusia antara sebulan dan dua bulan itu ditinggalkan begitu sahaja.

"Anak anjing memang comel, jadi rasa kasihan sebab ditinggalkan macam tu je. Anjing-anjing ni pula sangat manja, mana-mana kami pergi mesti ikut je, tapi setakat kawasan kebun tu jelah.

"Saya kemudian post di twitter. Kasihan kalau tinggalkan je anak-anak anjing ni dekat kawasan kebun tu, tapi keluarga saya ada beri makanan kepada keempat-empat ekor haiwan ni.

"Adik-adik saya dah mula sayang dengan anak-anak anjing tu, ada juga cakap nak bela tapi setakat gurau-gurau jelah," ujarnya yang berasal dari Puchong, Selangor.



Antara anak anjing yang cukup manja.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, dia mencuba menghubungi pelbagai pihak termasuk membuat pengumuman mengenainya di beberapa grup Facebook.

"Kami buat macam-macam, rasa nak give up pun ada tapi kami sabar menunggu. Sebenarnya ramai juga yang PM (mesej peribadi) tanya pasal anak-anak anjing tu dan ada yang janji nak ambil, tapi kemudian tak datang ambil.

"Isnin lepas, ayah minta jiran kami berbangsa India, Encik Gana untuk tolong jagakan buat sementara waktu. Encik Gana dah ada anjing peliharaan sendiri, jadi anak-anak anjing tu dia bagi dekat orang lain yang boleh menjaga dengan lebih baik," katanya sambil menambah masing-masing melakukan proses bersuci secara Islam apabila perlu sepanjang menjaga anak-anak anjing itu.



Adik-adik Hidayah sentiasa memantau keadaan anak-anak anjing yang ditinggalkan di rumah mereka.

Hidayah berkata, mereka sekeluarga menerima berita gembira daripada jiran beberapa hari kemudian apabila anak-anak anjing itu akhirnya menemui ‘tuan baharu’.

"Alhamdulillah dah ada yang ambil. Gembira sangat bila dapat tahu, tapi sedih juga terutama adik bongsu sebab dia yang mula-mula jumpa anak-anak anjing tu.

Kami buat macam-macam, rasa nak give up pun ada tapi kami sabar menunggu.

NUR HIDAYAH MOHD ADAM

"Masa masih ada kat rumah kami, adik selalu duduk di luar rumah waktu malam untuk tengok anak-anak anjing tu sama ada dalam keadaan baik atau tak," katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah itu berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana berpeluang merasai pengalaman berjumpa dan mengendalikan anak-anak anjing.



Hidayah gembira apabila anak-anak anjing yang dijumpai itu menemui pemilik baharu.

"Bukan semua orang dapat peluang ini, lebih-lebih kita yang beragama Islam. Kami juga berterima kasih kepada Encik Gana sebab usahakan mencari pemilik baharu untuk anak-anak anjing yang kami jumpa tu.

"Saya harap semua orang dapat melayan haiwan dengan baik tak kira haiwan tu jenis apa pun. Kalau nak buang haiwan, gunakan saluran yang betul seperti NGO (badan bukan kerajaan) yang berkaitan dengan haiwan atau usahakan cari pemilik baru yang boleh jaga dengan baik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain