Gara-gara tweet hadiah birthday disalah erti, pemuda terkejut tengok baki akaun bank... akhirnya jadi rezeki keluarga B40!

Imran (kiri) menyerahkan sumbangan kepada dua keluarga B40 termasuk seorang ibu tunggal (kanan). Foto ihsan Imran Shah Misman

SEORANG pemuda tidak menyangka menerima kejutan pada hari ulang tahunnya yang mana sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Semuanya gara-gara ciapannya di laman Twitter yang menyertakan nombor akaun banknya sehari sebelum hari ulang tahunnya yang ke-23.

"Wah ada antara kamu benar-benar memberikan wang sempena hari jadi saya yang saya post sebagai gurauan. Berbanyak terima kasih di atas kebaikan kamu," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru dikecam beri sumbangan snek, coklat mahal untuk orang susah! "Aku letak diri aku sebagai penerima"

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak pelawaan lauk 'free', duit dihulur ambil pula! Guru terkejut acik cleaner lebih sibuk fikir 'hal sampah' orang lain, tak hirau susah sendiri

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Imran Shah Misman berkata, ciapan yang dimuat naiknya itu sebenarnya dibuat denga niat untuk bergurau.



Ciapan yang menyertakan nombor akaun bank Imran untuk tujuan gurauan.

Namun, anak muda itu tidak menyangka menerima kejutan yang tidak disangka-sangka apabila segelintir netizen memberi respons terhadap ciapan tersebut.

"Tweet tu sekadar bergurau. Tapi ada rakan-rakan yang benar-benar memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank saya. Paling terkejut ada juga individu yang tidak dikenali berbuat demikian.

"Saya anggap apa yang mereka lakukan sebagai hadiah sempena hari jadi saya. Tapi saya sedar tidak sepatutnya letak nombor akaun bank dan saya telah padamkannya di laman Twitter supaya tiada yang mengambil serius atau memasukkan wang ke akaun saya," katanya kepada mStar.



Imran menjelaskan bahawa duit yang diterimanya digunakan untuk tujuan kebajikan.

Menyedari kesilapan itu meskipun dengan niat bergurau, Imran berkata, dia tidak mengambil wang tersebut untuk kegunaan peribadi, sebaliknya dibelanjakannya untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

"Duit yang saya dapat itu saya beli barang-barang keperluan di pasar raya untuk saya sumbangkan kepada dua keluarga yang lebih memerlukan.

"Satu keluarga merupakan seorang ibu tunggal yang tinggal bersama anak dan ibunya, manakala sebuah keluarga lagi adalah anak-anak yatim yang tinggal bersama nenek mereka," katanya sambil menambah kedua-dua rumah tersebut di Meru di Klang, Selangor.



Imran menjadi sukarelewan menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada masyarakat. Foto instagram imranshah_

Tidak keseorangan, pemuda berasal dari Klang itu ditemani ibunya dari proses membeli barang-barang keperluan sehingga penyerahan sumbangan kepada dua keluarga yang dipilih.

"Kami hanya datang sekejap ke rumah mereka. Tak sampai 30 minit pun untuk setiap ke rumah. Saya dan ibu datang memperkenalkan diri, memaklumkan tujuan kami dan serahkan sumbangan kepada mereka, itu saja.

Sebahagian anak muda masih belajar dan tak ada duit, mereka boleh menjadi sukarelawan dengan mana-mana NGO untuk membuat kebajikan.

IMRAN SHAH MISMAN

"Mereka tersenyum terima sumbangan hasil wang disumbangkan oleh rakan-rakan dan pengikut di Twitter serta sebahagiannya menggunakan wang saya sendiri," tambahnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu sebenarnya berpengalaman sebagai sukerelawan dalam aktiviti kebajikan bersama badan bukan kerajaan (NGO), selama beberapa tahun.



Imran (kiri, belakang) membantu seorang kanak-kanak Orang Asli dalam pelajaran. Foto instagram imranshah_

Bagaimanapun, Imran yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam itu belum pernah terlibat memberikan sumbangan sendiri kepada keluarga yang kurang bernasib baik.

"Syukur kerana tak sangka gurauan sempena hari jadi ini memberi peluang untuk saya melakukan kebajikan. Satu peluang yang amat berharga dan bermakna.

"Saya menggalakkan anak-anak muda untuk turut sama melakukan kerja-kerja kebajikan walaupun dengan hanya sumbangan kecil.

"Sebahagian mereka masih belajar dan tak ada duit, mereka boleh menjadi sukarelawan dengan mana-mana NGO untuk membuat kebajikan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain