Abang Man bukan bilal tapi dah 3 hari laung azan, kali terakhir hanya sempat 2 rangkap sebelum rebah... jemaah sempat kongsi 'petanda akhir' - “Dia tawar diri sediakan kopi O kaw”

Allahyarham Abang Man rebah selepas mengalunkan dua rangkap azan Subuh pada Khamis. Foto: AJK Surau Ar Rayan

KEBIASAANNYA, penghuni di Apartmen Sri Ixora Seksyen 27 di Shah Alam, Selangor akan dikejutkan dengan laungan azan Subuh dari surau kawasan perumahan mereka setiap dinihari.

Namun azan yang berkumandang pada pagi Khamis (semalam) terasa amat berlainan daripada kebiasaannya di mana cuma kedengaran dua rangkap awal sebelum ia terhenti secara tiba-tiba.

Tidak lama kemudian, terdengar pengumuman di corong pembesar suara yang meminta ahli keluarga kepada bilal bertugas untuk segera hadir ke surau.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian yang dicemburui, bilal masjid rebah sejurus turun mimbar - “Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa”

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang asyik nak cepat dalam segala hal, seorang lagi cakap pasal kain kafan... rakan mangsa tragedi lemas baru sedar mereka sebenarnya bagi hint nak ‘pergi’

Rupa-rupanya, bilal yang dikenali dengan nama Rosliman dijemput Ilahi ketika sedang melaungkan azan.

Berita pemergian bilal tersebut dikongsikan dalam laman Facebook Lembaga Zakat Selangor pada Khamis.



Posting yang dimuat naik di laman Facebook Lembaga Zakat Selangor.

"Abang Rosliman atau lebih mesra dengan panggilan Abang Man, telah kembali bertemu PenciptaNya dalam keadaan semua orang beriman impikan.

"Arwah meninggal dunia ketika melaungkan azan pada kalimah Allahu Akbar dan Shahadah.

"Sebak dan bergenang air mata ini jemaah sahabat rapat," demikian perkongsian pada laman tersebut.

Paling terkejut hari ini (Khamis) adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan sangat teruja untuk azan Subuh walaupun beliau bukan bilal surau.

JEMAAH SURAU

Sementara itu, salah seorang jemaah surau berkenaan sempat berkongsi perbualannya dengan Allahyarham pada malam sebelum insiden duka itu.

"Malam tadi baru dia beriya-iya mahu menjayakan majlis kenduri kesyukuran Ustaz Sahari yang baru keluar hospital di surau.

"Dia yang nampak sangat gembira dengan menu yang dicadangkan. Dia yang tawar diri nak sediakan kopi O kaw.

"Rupa-rupanya dia Allah panggil dalam keadaaan sangat-sangat kami cemburu," ujar jemaah berkenaan.



Allahyarham segera dikejarkan ke hospital sejurus ditemui tidak sedarkan diri di dalam surau.

Malah tambah jemaah itu lagi, Allahyarham juga menunjukkan perubahan namun mereka sama sekali tidak menyangka ia petanda Allahyarham akan 'pergi'.

"Paling terkejut hari ini (Khamis) adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan sangat teruja untuk azan Subuh walaupun beliau bukan bilal surau. Beliau merupakan AJK Pemeriksa Kira-kira surau.

"Allah sayang Abang Man lebih dari kami semua bang. Abang Man pernah berseloroh 'Kita jaga amanah surau ni bukan untuk kita sekarang, tapi gunanya bila kita kat sana nanti'," ceritanya.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 6,400 shares selain dibanjiri ribuan komen netizen yang rata-ratanya 'cemburu' dengan Allahyarham.



Antara komen netizen yang cemburu dengan cara pemergian Allahyarham.

"Sangat cantik pemergiannya..Allahuakhbar. Salam takziah untuk keluarga arwah," tulis Reena Mukhtar.

"Allahu.. Bertuahnya saudara kita. Penghujung nyawa arwah yang sangat menguntungkan dirinya. Bertemu Allah tika melafazkan kalimah suci," kata Roslan Nor.

"Allahuakbar... Sebak dada ini...walaupun tidak mengenali arwah, beliau pergi dalam keadaan yang amat dicemburui," kata Rozatul Akmar Bidin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain