suria

Dah nak akhir tahun, ibu miskin kalut cari guru kelas hanya kerana RM50... sikap kakak cleaner buat cikgu tabik - “Yang kaya, berada mengelak bayar”

Cikgu Fadli (kiri) kagum dengan seorang ibu yang berusaha membayar yuran PIBG sungguhpun hidup susah.

"MAAF, cikgu. Akak lambat bayar"

Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh seorang ibu tatkala bertemu dengan guru ini, semata-mata mahu membayar yuran anaknya yang tertunggak hampir setahun lamanya.

Menurut guru bernama Mohd Fadli Salleh ini, kisah berkenaan dikongsikannya di Facebook kerana kagum dengan sifat wanita berkenaan yang tetap mahu melunaskan yuran sungguhpun kehidupannya diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ikut dialah nak jadi apa pun” - Guru dedah perlu hadap sisi buruk penerima bantuan, tak semua orang miskin jujur!

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terkejut! Pelajar bijak dan cantik pandai ‘cover’ kemiskinan, baju kedut bongkar kisah menyayat hati - “Mereka tinggal di stor cleaner”

"Sewaktu aku jadi guru kelas 2 Amanah lapan tahun lepas, seorang ibu mencari aku dah hampir akhir tahun hanya untuk melangsaikan duit PIBG RM50 setahun.

"Bila jumpa, dia dengan rendah diri meminta maaf. 'Maaf cikgu. Akak lambat bayar. Dah lama kumpul, baru je nak cukup, gas habis.... guna dulu. Kumpul lagi, baru je cukup, beras habis. Sekarang alhamdulillah, tiada keperluan mendesak yang lain untuk digunakan, boleh la bayar'," tulis guru berkenaan mengimbas kembali peristiwa berkenaan.



Cikgu Fadli kagum dengan sikap seorang ibu yang bersungguh-sungguh mahu membayar yuran yang tertonggak sungguhpun hidup susah.

Mohd Fadli menolak secara baik kerana maklum mengenai kesempitan hidup keluarga wanita berkenaan tambahan pula dia hanya bekerja sebagai seorang 'cleaner'.

Bagaimanapun menurutnya, wanita itu tetap bertegas mahu melunaskan bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM50 setahun itu bagi membalas lembali jasa persatuan tersebut terhadap sekolah tempat anaknya menuntut ilmu.

"Terharu dan teruja sebenarnya bila jumpa mereka yang punyai semangat berdikari begini.



Menurut Cikgu Fadli, sikap ibu tersebut nyata lebih baik berbanding sesetengah ibu bapa yang berada namun liat membayar yuran.

"Mereka yang tidak mengambil kesempatan, mereka yang ingin membuktikan mereka berusaha untuk pendidikan anak-anak.

"Memang wujud golongan sebegini. Golongan yang sangat tidak mampu, namun tetap bertanggungjawab untuk pendidikan anak-anak," tulisnya.

Dalam pada itu, Mohd Fadli turut menitipkan nasihat terutama buat ibu bapa agar memberikan kerjasama kepada pihak sekolah demi pembangunan pendidikan anak-anak mereka.



Selain bertugas sebagai seorang guru, Cikgu Fadli juga sering terlibat dengan aktiviti kebajikan.

"Tidak dapat dinafikan juga wujud golongan yang mengambil kesempatan. Yang mengelak bayar apa-apa sumbangan meski pun mereka orang yang lebih senang, kaya dan berada.

"Sokonglah pendidikan anak-anak kita. Cuba berikan yang terbaik. Cuba berikan hak anak-anak kita. Cuba tunaikan hak pihak sekolah juga.

"InsyaAllah akan ada keberkatan dalam menuntut ilmu. InsyaAllah akan memudahkan anak-anak kita berjaya dan cemerlang," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 343 shares.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
miskin, yuran, Mohd Fadli Salleh, cleaner

Artikel Berkaitan

Artikel Lain