Pak Udin ubah persepsi pengasas syarikat ini... dulu tak endah langsung, kini OKU tanpa kaki paling utama - “Ia tamparan hebat kepada anggapan saya selama ini”

Pesara, Abdullah Mad Yunus menubuhkan syarikat membuat kaki palsu, Kedidi Global Enterprise sejak tiga tahun lalu demi membantu golongan yang memerlukan.

PERTEMUAN dengan seorang lelaki warga emas bernama Pak Udin benar-benar mengubah tanggapan insan ini mengenai kehidupan.

Sejak pertemuan tersebut, Abdullah Mad Yunus bertekad untuk meneruskan empayar yang baru dimulakannya, Kedidi Global Enterprise, khusus bagi membantu insan yang benar-benar memerlukan kaki palsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor tak akan lupa kisah wanita OKU diperkosa hingga lahirkan anak, bengang wanita dipersalahkan - “Mereka yang dirogol adalah mangsa, titik”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan – “Kalau ada yang cancel beli, kami faham...”

"Sebelum asaskan syarikat ini, saya ada tanggapan yang sedikit berbeza. Contohnya, bila saya lihat orang yang menggunakan kerusi roda atau kaki palsu, saya rasa itu bukan hal saya.

"Sebab kita rasa, orang seperti ini sudah ada yang menjaga misalnya keluarga, jabatan kebajikan dan sebagainya.

"Bila anak saya suarakan idea ini, pada awalnya saya fikir kita masuk pasaran yang tak ada demand (permintaan). Tapi tak apalah, kita cuba juga.

"Hinggalah pertemuan dengan pesakit pertama kami yang bernama Pak Udin. Dia orang susah, sebelah kakinya dipotong, tiada keluarga dan sebatang kara. Pertemuan dengannya memberi satu tamparan hebat kepada anggapan saya selama ini," ujarnya kepada mStar.



Antara orang kuat Kedidi Global Enterprise.

Bertitik tolak daripada kisah tiga tahun lalu itu, Abdullah yang merupakan seorang pesara kerajaan, lantas nekad mahu meneruskan syarikat yang khusus untuk menghasilkan kaki palsu.

"Pak Udin ditinggalkan isteri sejak kakinya dipotong. Anak-anak pula ikut isterinya. Memang sebatang kara. Dengan keadaannya tak boleh bergerak, mana dia mampu nak beli kaki palsu. Rupa-rupanya, ramai orang yang macam Pak Udin," ceritanya lagi.

Bercerita serba sedikit mengenai Kedidi yang diasaskan pada 2017, lelaki berusia 64 tahun ini berkata matlamat utama untuk membantu individu yang benar-benar memerlukan kaki palsu, termasuk memberinya secara percuma.

"Kos untuk sebelah kaki palsu anggarannya RM5,000 hingga RM10,000 ikut kepada kecacatannya bawah lutut atau atas lutut. Kalau atas lutut, boleh sampai RM20,000.



Golongan sasaran Kedidi adalah mereka yang datang daripada keluarga yang daif serta kurang berkemampuan.

"Tapi saya tekankan, daripada awal lagi, Kedidi bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak. Bagi sesetengah individu yang amputasi, mereka mungkin mencarum atau dibantu oleh syarikat tempat bekerja.

"Jadi, kita fokus kepada orang kampung atau orang yang memang tak mampu. Hanya hantar maklumat peribadi dan kita akan bantu mereka. Sebahagiannya kita jual separuh harga ikut situasi mereka," katanya lagi.

Alhamdulillah, pada 2018, PruBSN approach dan menjadi penaja untuk Kedidi. Kerjasama ini masih lagi berterusan sehingga sekarang

ABDULLAH MAD YUNUS

PENGASAS KEDIDI

Setahun penubuhannya, misi Kedidi untuk membantu mereka yang memerlukan semakin dipermudahkan apabila berkolaborasi dengan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menerusi program Mobility is Life.

"Alhamdulillah, pada 2018, PruBSN approach dan menjadi penaja untuk Kedidi. Kerjasama ini masih lagi berterusan sehingga sekarang," katanya.

Menurut Abdullah, sehingga kini sebanyak 240 kaki palsu berjaya disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.



Bengkel Kedidi yang terletak di Seri Kembangan, sedia beroperasi tujuh hari seminggu demi memenuhi keperluan para pesakit.

"Bagi Kedidi, kami mahu meringankan dan memudahkan dalam erti kata sebenar. Ini kerana kita tahu kesukaran yang mereka tanggung.

"Ada yang datang dari jauh, keluarkan belanja banyak... kita ukur dan adjust dalam masa yang minima jadi mereka tak payah datang dua kali.

"Bengkel kita cuba beroperasi tujuh hari seminggu, 24 jam sehari... kita cuba comply dengan keperluan pesakit. Bagi yang tahu mana-mana asnaf atau orang susah yang perlukan kaki palsu, kunjungilah Facebook kami," ujarnya mengakhiri bicara.



Kedidi juga berkunjung ke rumah pesakit untuk memasang kaki palsu demi memudahkan mereka.

Terdahulu, perkongsian mengenai Kedidi menjadi tular selepas ia dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter.

Menerusi perkongsian tersebut, pelayar bernama Farhan yang juga merupakan partner syarikat berkenaan mewar-warkan mengenai bantuan yang ditawarkan.

"Kita tahu selepas Covid-19 ni ramai yang susah, jadi bagi sesiapa yang tahu mana-mana asnaf, bantu kami untuk cari mereka yang memerlukan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik