2 wanita cantik ligat hayun pisau pemotong, langsung tak jijik jual daging temankan bapa... punya laris sampaikan mesej masuk non stop!

Fara (kanan) bersama kakaknya, Nor Fisah (kiri) yang membantu perniagaan daging milik bapa mereka di Kepala Batas, Kedah.

KEHADIRAN dua wanita cantik yang kelihatan tidak kekok berniaga daging di sebuah gerai ternyata mencuri perhatian ramai.

Mula tular sewaktu Hari Raya Aidiladha tempoh hari, dua beradik itu kini dihujani pelbagai mesej daripada orang ramai yang mahu tahu lebih lanjut mengenai perniagaan berkenaan.

Kata Farah Hatim, 24, dia dan kakaknya, Nor Fisah, 32, hanya membantu bapa mereka iaitu Mat Saad Abdullah, 79, berniaga daging hanya dua kali setahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mesin rumput je! Turun bersawah, pasang siling pun gadis ni pernah buat... sakit badan ‘no hal’ - “Tak susah pun, cuma berat sikit”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok

"Sebenarnya ayah saya jual buah di gerai tu, rasanya dah 28 tahun ayah berniaga. Cuma dia akan jual daging sewaktu raya haji dan raya puasa je.

"Di sebelah gerai ayah pula, arwah mak saya berniaga makanan. Tapi dah empat tahun mak meninggal dunia. Kiranya kami adik beradik memang dah terbiasa berniaga.

"Sekarang dah tak jual daging. Tapi sampai hari ni kami masih menerima banyak mesej. Orang tanya nak beli daging dan saya terpaksa jelaskan perkara sebenar," ujarnya kepada mStar.

Nor Fisah (kiri) bersama Farah (tengah) dan bapa mereka (kanan).

Mesra disapa Farah, dia yang mengusahakan perniagaan fesyen secara dalam talian mengakui bersyukur apabila kisah mereka sekeluarga menjadi perhatian ramai.

Malah, dia melihat pendedahan itu sebagai satu perkara positif yang membuka ruang dan peluang untuk dia mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

"Bila dah viral, ramai tanya pasal daging. Saya pun ada plan dengan kakak untuk cari satu tapak buat ayah, boleh jaga lembu dan jual daging.

Tak hina pun kerja macam ni. Benda tak jijik pun, antara rajin atau tidak je.

FARAH HATIM

"Jadi tak perlu dia jual buah lagi, fokus pada jual daging je. Kami terfikir untuk luaskan perniagaan tu, bukan setakat waktu raya je.

"Ayah pun memang minat ternak lembu. Sebab rezeki orang dah mula kenal, boleh tolong ayah. Rasa syukurlah, sedikit sebanyak boleh tolong keluarga," katanya lagi.

Bercerita mengenai dia dan kakaknya yang menjadi perhatian ramai, Farah akui tiada apa yang aneh untuk golongan wanita berkecimpung dalam perniagaan daging.

Gerai milik bapa mereka terletak di Kepala Batas, Kedah.

Malah katanya, dia dan adik-beradik sudah diajar berniaga sejak kecil dan cukup faham mengenai kesusahan untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan.

"Saya juga nak tunjuk agar anak muda lain ikut apa yang kami buat. Maksudnya, tak hina pun kerja macam ni. Benda tak jijik pun, antara rajin atau tidak je.

"Saya memang dari dulu keluarga ajar hidup susah, bagaimana caranya untuk berniaga dan sebagainya. Jadi memang tak ada rasa kekok.

Kata Farah, dia langsung tidak segan untuk berniaga daging.

"Dulu zaman belajar, habis sekolah terus terus ke gerai, tak balik rumah. Begitulah kami dididik sejak kecil," ujarnya lagi.

Selain pujian positif atas usaha gigih dia dan kakak, Farah mengakui tidak terlepas menerima teguran mengenai pemakaian mereka.

"Orang tegur mengenai pakaian, aurat... betullah tu. Tak apa, kami ambil secara positif.

Selain Farah, kakak dan abangnya turut membantu perniagaan bapa mereka.

"Ada yang maki-maki pun kami tak kisah, itu mulut orang. Yang penting niat kami nak bantu ayah. Selain saya dan kakak, abang juga ada bantu di gerai," katanya lagi.

Kata Farah, gerai bapanya terletak berhampiran kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kepala Batas, Kedah.

Malah, kediaman mereka juga terletak hanya lima kilometer dari lokasi itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik