suria

Spontan sebut ‘ada apa dengan cinta’ pada pensyarah secara online, penuntut politeknik ini jadi sasaran di minggu suai kenal – “Terkejut... saya tutup mic, alihkan kamera”

Eein (kiri) berkongsi kisah lucu ketika sesi taklimat sempena minggu suai kenal di Politeknik Kuching.

PASTINYA pelbagai ragam dan telatah yang dapat dilihat menerusi aktiviti secara dalam talian, sebagai norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Sebuah video merakamkan sesi dalam talian sekumpulan pelajar bersama dua pensyarah, dan salah seorang daripadanya meminta seorang pelajar memuat turun sesuatu.

Kedengaran suara seorang pelajar memaklumkan telah berbuat demikian, 'Ada, ada'.

ARTIKEL BERKAITAN: Spot paling stabil 'bawah pokok'... disitulah calon pelajar medik ditemuduga, pensyarah asyik dengar kicauan burung - "Nasihat saya jangan panik, berterus terang..."

ARTIKEL BERKAITAN: Seram! Pelajar ikuti kelas online gempar 'hantu' intai belakang cikgu

"Ada apa tu?" tanya pensyarah berkenaan.

"Ada apa dengan cinta," ujar pelajar berkenaan dengan selamba dan kelihatan kedua-dua pensyarah ketawa lucu dengan gurauan tersebut.



Reaksi dua pensyarah selepas ungkapan spontan Eein.

Pelajar berkenaan, Ain Hafizzatul Laila Abdul Kadir berkata, insiden berlaku minggu ini ketika sesi taklimat sempena minggu suai kenal melibatkan sekumpulan pelajar baharu di Jabatan Perdagangan di Politeknik Kuching di Kuching, Sarawak.

Remaja berusia 18 tahun itu memberitahu pensyarah meminta mereka memuat turun satu perisian untuk kemudahan di peranti masing-masing.

"Bila saya periksa di komputer riba saya, perisian tu ada. Jadi saya jawablah ada. Pensyarah kemudian tanya ada apa tu. Saya spontan sebut 'ada apa dengan cinta'.

"Pensyarah gelak tapi dia kata semua ini (sesi taklimat) dirakam dan ia akan diserahkan kepada ketua jabatan. Saya terkejut dan terus tutup mikrofon," katanya kepada mStar.



Sebahagian pelajar baharu yang mengikuti sesi taklimat dalam talian.

Lebih mesra dengan panggilan Eein, pelajar dari Kuching itu berkata, tindakannya menutup mikrofon disebabkan berasa lucu dengan respons yang diberikan oleh pensyarahnya.

"Saya tutup mic sebab saya tak tahan nak ketawa. Dalam sesi taklimat online itu ada hampir 100 pelajar termasuk saya. Takut mereka terdengar suara saya ketawa.

"Mujur masa tu cuma dua pensyarah saja yang pasang kamera. Jadi, mereka juga tak nampak riak wajah saya ketawa sebab lucu sangat masa tu," ujar pelajar Diploma Perniagaan itu.

Baris pertama lagu Bicara Rasa ada sebut Ada Apa Dengan Cinta. Saya selalu nyanyi lagu tu, tapi tak adalah sampai nyanyi semasa sesi taklimat online

AIN HAFIZZATUL LAILA

Susulan video taklimat online itu menjadi tular, ramai beranggapan ungkapan 'Ada apa dengan cinta' yang disebutnya itu merujuk kepada lagu popular dari Indonesia yang dinyanyikan oleh Melly Goeslaw dan Anto Head.

Lagu tersebut menjadi runut bunyi filem negara jiran itu dengan tajuk sama pada 2002, lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra yang pernah menjadi kegilaan pengikut filem di Malaysia.



Rakan-rakan baharu Eein di Politeknik Kuching.

Sebaliknya, Eein yang bakal memulakan pengajian pada minggu depan berkata, ungkapan tersebut sebenarnya dipetik daripada bait-bait lirik lagu Bicara Rasa dendangan penyanyi tempatan, Sarah Suhairi bersama Ariff Bahran.

"Baris pertama lagu tu memang ada sebut Ada Apa Dengan Cinta. Saya memang selalu nyanyi lagu tu, tapi tak adalah sampai nak nyanyi semasa sesi taklimat online.

"Sebabkan kejadian lucu tu, pensyarah terus ingat saya dan minta saya pasang kamera, tapi saya alihkan kamera ke tempat lain. Takut kena kecam dengan rakan-rakan.

"Macam sesi taklimat online mengenai disiplin pagi tadi (Jumaat), saya ada berkata sesuatu. Lepas tu pensyarah kata ini yang cakap Ada Apa Dengan Cinta tu? Lepas tu dengar semua kawan-kawan gelak. Malulah saya," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain