suria

Spot paling stabil ‘bawah pokok’... disitulah calon pelajar medik ditemuduga, pensyarah asyik dengar kicauan burung – “Nasihat saya jangan panik, berterus terang...”

Sesi temuduga bagi program perubatan di sebuah IPTA membabitkan seorang calon. Foto twitter DrRozanizam

DENGAN norma baharu akibat pandemik Covid-19, banyak aktiviti perlu dilakukan secara dalam talian termasuk sesi temuduga untuk pekerjaan mahupun melanjutkan pengajian.

Namun, bukan semua mempunyai kelajuan Internet yang pantas dan setara menyebabkan pelbagai insiden dan ragam berlaku ketika sesi temuduga dijalankan.

"Maaf Dr, saya bawah pokok ni," menurut seorang calon yang menjalani sesi temuduga bagi kemasukan program perubatan di sebuah universiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ajak pergi camping, selamba je bapa buat unggun api depan rumah... tapi 'benda' lain di tingkap jiran pula jadi perhatian

"Ada yang interview sambil duduk bawah pokok getah belakang rumah, kerana di situlah spot Internet paling stabil. Susah juga nak abaikan kicauan burung-burung dan angin lalu," tulis Dr Rozanizam Zakaria berkongsi pengalamannya di laman Twitter.



Seorang calon terpaksa menjalani sesi temuduga secara maya di bawah pokok bagi mendapatkan Internet yang stabil.

Bercakap kepada mStar, Dr Rozanizam berkata, beliau menjalani proses temuduga terhadap 12 daripada kira-kira 140 calon pelajar untuk program pengajian Ijazah Sarjana Muda di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan Oktober depan.

Pensyarah berusia 36 tahun itu memberitahu bahawa seorang calon wanita terpaksa melakukan sesi temuduga di bawah pokok dekat rumahnya di sebuah kampung di Besut, Terengganu, pagi Rabu.

"Sesi temuduga secara maya adalah yang pertama bagi saya dan mereka yang lain. Jadi, kalau ada yang line Internet tiba-tiba terputus tu memang kami faham.

"Kita hubungi semula dan sambung atau ulang sesi temuduga. Sememangnya ia merupakan sebahagian buat kita semua melalui pengalaman baharu," katanya kepada mStar.



Perkongsian pengalaman pertama kali Dr Rozanizam melakukan sesi temuduga secara maya.

Dr Rozanizam berkata, terdapat kesungguhan bagi calon berkenaan untuk menjalani sesi temuduga meskipun terpaksa duduk di bawah pokok.

"Walaupun ada gangguan sekali-sekala, tapi proses temuduga membabitkan calon ini berjalan lancar. Calon berkenaan pun kelihatan berkeyakinan sepanjang proses.

"Memang asyik dengar bunyi kicauan burung-burung dan angin lalu sebab calon berkenaan di bawah pokok kan, tapi ia tidak menjejaskan tumpuan calon dan saya sendiri, serta seorang lagi penemuduga," ujarnya.

Ada pelajar sanggup tumpang kantin sekolah dekat rumah, ada yang sanggup tak balik kampung dan kekal di asrama semata-mata mahu mengikuti kelas saya tanpa sebarang masalah Internet

DR ROZANIZAM ZAKARIA

Bagaimanapun, ia bukanlah pertama kali bagi Dr Rozamizam terlibat dalam sesi yang dilakukan secara dalam talian kerana terlebih dahulu menjalankan kelas secara maya bersama para pelajarnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

"Bunyi enjin motor dan kereta dah biasa dengar, sebab ada rumah pelajar berdekatan jalan raya. Bagi saya, dalam keadaan sekarang, tak kisah nak belajar di mana asalkan selamat, selesa, sesuai dan kemudahan Internet yang stabil.

"Ada pelajar saya dari Pasir Mas, Kelantan sanggup tumpang kantin sekolah kebangsaan dekat rumahnya untuk dapatkan kemudahan Internet yang baik.

"Ada juga pelajar saya tinggal di kawasan pedalaman sanggup tak balik kampung dan kekal di asrama semata-mata mahu mengikuti kelas saya tanpa sebarang masalah Internet," katanya.



Dr Rozanizam (kiri) ketika melakukan sesi temuduga bersama calon-calon.

Mengenai calon 'bawah pokok', Dr Rozanizam berkata, tiada apa yang perlu dimaafkan oleh calon tersebut kerana ia adalah di luar kawalan ketika ini.

"Lagipun saya tidak menilai dia berdasarkan internet connection dia. Dan bukannya kita terus interview, tapi bagi dia selesa tanya khabar, raya macam mana sebelum sesi dimulakan.

"Apapun, untuk mana-mana calon yang bakal berdepan dengan sesi temuduga maya ini, saya nasihatkan mereka supaya jangan panik dan berterus-terang dengan keadaan yang berlaku.

"Adalah lebih baik mereka berlatih membuat sesi online lebih awal dengan keluarga atau kawan-kawan untuk membiasakan diri mereka dan situasi," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain