suria

Apa saja demi ilmu, termasuk berkelambu dalam hutan! Pelajar IPT harap ada pihak buka mata - “Saya kurang berkemampuan”

Penuntut bernama Rose dari Pakan, Sarawak berkongsi pengalamannya yang terpaksa 'berkampung' di dalam hutan untuk mendapatkan akses internet. Foto: FB Rose ED

JIKA sebelum ini tular mengenai kisah seorang pelajar yang sanggup bermalam di atas pokok demi mendapatkan akses internet untuk menjawab peperiksaan, kini situasi yang hampir serupa turut dilalui oleh seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Penuntut yang dikenali sebagai Rose ED dan berasal dari Pakan, Sarawak ini terpaksa 'berkampung' di dalam hutan demi mendapatkan akses internet yang stabil untuk membuat pembentangan (presentation) secara online.

Berkongsi kisah menerusi satu coretan di Facebook, gadis ini berkata pemilihan lokasi itu dibuat ekoran capaian internet di kawasan hutan berkenaan adalah lebih baik berbanding kediamannya di rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup bermalam atas pokok, nyaris disengat tebuan demi akses Internet untuk jawab peperiksaan

ARTIKEL BERKAITAN: Manis berkebaya... pelajar tular gara-gara panjat pokok untuk jawab peperiksaan dapat perhatian Yayasan Nur Jauhar, jadi tetamu di Istana Negeri

"Hari ini 24 Jun 2020 (Rabu), selesai sudah presentation group online melalui system MyGuru. Sepatutnya presentation ini sudah selesai pada minggu lepas tetapi terpaksa ditunda kerana diri ini gagal untuk menghadirkan diri ekoran daripada capaian internet yang sangat lemah di kawasan pedalaman.

"Hari ini saya memilih tempat ini kerana dekat dengan kebun ayah dan selapas habis kelas, saya dapat menolong ayah baik pulih pondok di kebun untuk kegunaan kelas online saya pada hari seterusnya," katanya di dalam perkongsian tersebut.



Rose 'berkampung' di dalam hutan untuk mendapatkan akses internet yang baik bagi mengikuti pembelajaran secara online.

Sebagai persediaan, gadis ini membawa sehelai kelambu untuk mengelakkan gigitan nyamuk dan serangga lain, kanvas untuk dijadikan tikar, laptop, telefon bimbit serta alat tulis.

Tambah gadis yang merupakan penuntut tahun akhir dalam jurusan Pengajian Malaysia dengan Pendidikan ini, kawasan kampungnya tidaklah jauh dari pekan Pakan namun kos yang diperlukan untuk perjalanan ulang alik setiap hari adalah di luar kemampuannya.

"Untuk pergi ke pekan memerlukan kos dan kenderaan yang baik untuk ulang alik setiap hari. Saya orang kurang berkemampuan jadi saya tidak mampu untuk pergi ke pekan hari-hari tambahan pula keadaan cuaca yang kerap hujan.



Rose merupakan penuntut tahun akhir jurusan Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di salah sebuah IPTA.

"Sebagai seorang pelajar penggal akhir saya sangat memerlukan capaian internet yang bagus untuk akses maklumat final year project (FYP).

"Saya berharap coretan ini dapat sampai kepada pihak-pihak tertentu bagi memudahkan urusan pelajar yang betul-betul memerlukan capaian internet yang bagus," tulisnya lagi.

Posting gadis ini sehingga kini meraih 4,500 shares selain dibanjiri dengan komen-komen netizen yang kagum dengan kegigihannya.

Malah mereka turut memberi kata-kata semangat buatnya agar tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk menuntut ilmu.



Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah mencuri tumpuan gara-gara videonya yang terpaksa bermalam di atas pokok bagi menjawab peperiksaan, menjadi tular minggu lalu.

"Teruskan capai cita-cita. Line bukan masalah bagi kita," komen seorang netizen.

"Semoga dipermudahkan. Tidak dinafikan ramai pelajar terjejas melalui pembelajaran dalam talian. Semoga tercapai... Asal ada langit ada internet," komen seoran netizen lain pula.

"Tahniah... teruskan berusaha, mudahan terus cemerlang," komen seorang lagi netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hutan, berkampung, internet, pedalaman, kelambu

Artikel Lain