suria

Doktor ‘musykil’ hanya isteri yang setia lawat suami di wad, persoalan akhirnya terjawab di pintu lif... pesakit kahwin 4! - “Kami pernah susah bersama”

Dr Ahmad Samhan berkongsi mengenai kisah seorang pesakit yang terlantar di hospital. Gambar hiasan/Foto ZHAR MAHFOF/The Star.

POLIGAMI tidak salah sekiranya berkemampuan, tetapi realitinya ramai yang tidak mampu apabila bertindak berkahwin lebih daripada satu.

Dan kemampuan itu bukan sekadar terletak pada wang ringgit dan keperluan, tetapi juga masa serta tanggungjawab sebagai seorang suami mahupun seorang bapa.

Seperti kata seorang doktor, semasa muda dan gagah juga memiliki harta, sentiasa beringat agar tidak lupa diri terutama bagi mereka yang menjalani kehidupan berpoligami.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?" - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

Dr Ahmad Samhan berkongsi kisah mengenai seorang isteri yang saban hari melawat dan tidak jemu menjaga suaminya yang terlantar di hospital mengundang sebak.



Seorang wanita setia melawat dan menjaga suaminya di hospital setiap hari. Foto Facebook Ahmad Samhan

"Kasihan pula tengok makcik ini setiap hari datang melawat Pakcik Ismail. Sejak Pakcik Ismail masuk wad tak pernah sehari pun dia terlepas datang suapkan makanan, lap badan dan picit Pakcik Ismail.

"Tapi yang peliknya tak nampak pula anak-anak atau orang lain yang datang melawat. Mungkin keluarga Pakcik Ismail tinggal berjauhan," tulis Dr Ahmad Samhan di halaman Facebook beliau tanpa mengulas lanjut penyakit yang dialami Pakcik Ismail.

Pertemuan tanpa dirancang bersama isteri pesakit tersebut menjawab persoalan doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu.

Semuanya bermula ketika berselisih di hadapan lif, sekali gus beliau mengambil peluang untuk menegur wanita berkenaan.

"Makcik tak perlu datang hari-hari kalau makcik tak larat. Kasihan pula saya tengok," kata Dr Ahmad Samhan sambil bertanya tentang anak-anak Pakcik Ismail.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan mengenai pesakit yang hidup berpoligami.

Namun bagi wanita itu, dia tetap setia datang ke hospital melawat suaminya yang tercinta, sambil mendedahkan suaminya mempunyai empat isteri.

"Selagi larat makcik datang. Kami pun sebelum ini pernah susah sama-sama.

"Pakcik Ismail ini dulu orang bisnes dalam syarikat besar. Kahwin empat, anak-anaknya 10 orang," ujar wanita itu.

Kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya dan kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa

DR AHMAD SAMHAN

Menurut Dr Ahmad Samhan, rupa-rupanya isteri-isteri Pakcik Ismail yang lain tidak mempedulikannya selepas dirinya jatuh sakit.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, perniagaan pesakit mengalami kerugian dan tidak banyak harta yang ditinggalkan kerana terpaksa membayar banyak hutang.

"Anak-anak pula hilang hormat pada ayahnya selepas kahwin lain. Rasa benci sebab ayahnya sanggup duakan ibu mereka ketika ayahnya senang.

"Yang tetap setia di sisi ketika susah adalah isteri tua. Isteri yang dulunya sama-sama susah untuk naikkan bisnes hingga ke puncak," ujar Dr Ahmad Samhan.



Dr Ahmad Samhan berharap perkongsiannya dapat memberi kesedaran kepada kaum suami untuk menghargai pasangan.

Menurut doktor itu, kadang-kala seorang suami itu mudah melupakan insan yang setia bersama sewaktu mula-mula susah dahulu, tidak mempunyai apa-apa

"Kita mudah lupa dengan siapa kita bina kehidupan sehingga peroleh apa yang kita dapat hari ini. Apabila kita sudah ada segalanya, kita anggap semua itu hasil usaha kita sendiri.

"Kita tak sedar ada sosok tubuh yang sentiasa menyokong dari belakang untuk kita terus gagah untuk berjaya. Bila dah senang dan kaya jangan lupa pasangan yang sama-sama susah dengan kita dulu. Hargai dia hingga hujung nyawa.

"Benarlah, kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya dan kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa," ujar Dr Ahmad Samhan dengan harapan agar perkongsian tersebut memberi kesedaran supaya lebih ramai kaum suami menghargai isteri ketika susah dan senang.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain