suria

Nak beli topeng muka tapi penuntut IPT ini dilarang masuk farmasi sebab tak pakai ‘face mask’... nak marah ke kelakar? – “Saya malas nak cakap banyak”

Liana (kanan) berkongsi pengalaman tidak mempunyai topeng muka ketika hendak memasuki sebuah kedai untuk membeli bahan-bahan bagi membuat biskut raya.

SEBELUM ini kecoh apabila ada pasar raya yang 'menghalau' pelanggan disebabkan tidak memakai topeng muka atau face mask.

Namun, apa yang berlaku pada seorang gadis ini berbeza apabila mendakwa dia tidak dibenarkan masuk ke sebuah farmasi kerana tidak memakai topeng muka.

"Saya pergi ke sebuah farmasi untuk membeli topeng muka tapi staf tidak benarkan saya masuk kerana saya tak pakai topeng muka," tulisnya di laman Twitter hingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasar raya tak boleh suka-suka halau pelanggan tak pakai topeng muka, Ismail Sabri beri cadangan bernas!

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor popular dihalang masuk pasar raya, pulang 'kosong' kerana tak ada topeng - "Kenapa masih wajibkan? Bukan senang nak cari face mask sekarang"

Berkongsi kisah kepada mStar, gadis berkenaan, Liana Sowi berkata, insiden berlaku di sebuah farmasi di Kota Bharu, Kelantan beberapa hari lalu.



Orang ramai kini memakai topeng muka di tempat awam sebagai langkah berjaga-jaga. Foto Bernama

Mengenai kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, katanya, pada awalnya dia mahu ke sebuah kedai di sebelah farmasi tersebut bagi membeli bahan-bahan untuk membuat biskut raya.

"Dah sampai depan kedai baru perasan face mask habis. Biasanya face mask memang simpan dalam kereta sebab nak pergi mana-mana dengan kereta.

"Kebetulan sebelah tu ada farmasi, jadi saya pergilah. Kat pintu farmasi tu dah tulis (notis) kalau pakai face mask baru boleh masuk, jadi staf kat dalam pun tak bagi saya masuk," ujar gadis berusia 23 tahun itu kepada mStar.

Liana yang juga berasal dari Kota Bharu memberitahu, tanpa berfikir panjang, dia mendapatkan topeng muka di kedai serbaneka bersebelahan dengan farmasi berkenaan.

"Saya berkomunikasi dengan staf farmasi tu menerusi pintu kaca saja, tunjuk isyarat nak beli face mask. Tapi dia tak kasi masuk, mungkin dia tak faham apa yang saya kata.

"Tapi saya malas nak cakap banyak sebab ramai orang beratur di hadapan farmasi untuk masuk ke kedai lain, tambahan pula cuaca tengah panas dan saya pun puasa," katanya sambil menambah orang ramai beratur bagi mematuhi peraturan untuk penjarakkan sosial.



Liana dapat membeli topeng muka di kedai serbaneka bersebelahan dengan farmasi.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu bagaimanapun bernasib baik apabila kedai serbaneka tersebut menjual topeng muka.

Namun, Liana menjelaskan bahawa luahannya di laman sosial itu bukan disebabkan tanda protes atau marah tetapi lebih kepada mahu berkongsi pengalaman yang dirasakannya lucu.

"Mula-mula rasa clueless. Masa beratur nak masuk kedai untuk beli barang buat biskut raya baru rasa kelakar, sebab saya nak masuk farmasi nak beli face mask tapi tak boleh masuk sebab tak pakai face mask.

"Lagipun saya tak suka buat kecoh, sebab sekarang ni orang suka rakam. Nanti muka saya kat media sosial pula kalau saya buat drama depan farmasi," ujarnya secara berseloroh.

Atau kalau tak ada face mask, boleh buat transaksi kat pintu masuk walaupun cadangan ini mungkin kurang praktikal

LIANA

Tambah Liana, dia kemudian beratur selama kira-kira 30 minit sebelum memasuki ke sebuah kedai untuk mendapatkan bahan-bahan untuk membuat biskut raya.

"Nasib baik mood saya OK walaupun cuaca panas, dan nasib baik juga kedai serbaneka sebelah farmasi tu ada jual face mask. Kalau tak... nak masuk kedai biskut pun tak boleh sebab memang kena pakai face mask," kata pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu.



Biskut raya yang dihasilkan Liana.

Liana berkata, idea bernas yang dicadangkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pasar raya supaya menjual topeng muka di pintu masuk boleh digunapakai di kebanyakan premis sebagai kemudahan buat pelanggan.

"Atau kalau tak ada face mask, boleh buat transaksi kat pintu masuk walaupun cadangan ini mungkin kurang praktikal," tambahnya.

Susulan syarat pemakaian topeng muka yang dikenakan oleh sebahagian pasar raya, Ismail Sabri menerusi sidang media pada 8 Mei lalu menjelaskan bahawa pemakaian topeng muka bukan satu kewajipan dan bukan satu kesalahan sekiranya tidak memakainya, mengikut peraturan-peratuan dibawah akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Namun, beliau mencadangkan pasar raya supaya menjual topeng muka sekiranya mahu menggalakkan orang ramai memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan orang awam terutama bagi mereka yang bergejala.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain