suria

Sibuk selongkar tong sampah menjelang iftar, pakcik tua ini dapat 2 kerak roti - “Saya sebenarnya malu, datang nak cari makanan”

Seorang lelaki asyik mencari sisa-sisa makanan di tong sampah di tepi jalan. Foto Facebook Mizan Dmhba

BAGAIKAN suratan takdir, sebuah kenderaan dalam perjalanan untuk menyalurkan sumbangan selepas mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf, berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Walau tempoh yang cukup singkat, deria penglihatan mereka di dalam kenderaan itu cukup tajam apabila terlihat seorang warga emas asyik menyelongkar tong sampah di tepi jalan.

Barangkali lelaki berkenaan sibuk mencari kotak, tin mahupun botol terbuang yang boleh dikitar semula sebagai upah demi sesuap nasi.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun tinggal di longgokan sampah, keluarga daif dapat kehidupan baharu selepas 2 jam Ebit Lew tiba - "Kita satu bakul sampah cepat buang ke luar"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak teringin makan lauk telur, ibu bawa keluar kutip tin... 'kakak tin' jujur beritahu ada berapa ringgit dalam simpanannya!

Namun sangkaan itu meleset, demikian luahan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan, Persatuan Generasi Malaysia (iSejahtera) selepas perkongsiannya mengenai insiden itu di halaman Facebook miliknya menjadi tular.



Seorang lelaki berusia 50-an (kanan) mengutip bungkusan yang mengandungi dua kerak roti.

Bercakap kepada mStar, Pengerusi iSejahtera, Datuk Muhammad Hamizan Amzah berkata, kejadian pada petang Khamis itu dilihat ketika beliau dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa di Kelantan untuk mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf di Ketereh.

"Semasa kereta yang dinaiki saya berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Pasir Hor, saya nampak seorang lelaki sedang menyelongkar tong sampah di tepi jalan, kira-kira pukul 6.10 petang.

"Saya minta driver saya berhenti di tepi jalan sekejap untuk saya berjumpa dengan lelaki berkenaan. Ini kerana kebiasaannya saya akan mendekati mereka yang mengutip sampah di tepi jalan untuk memberikan bantuan," katanya kepada mStar.

Namun, sebaik mendekati lelaki bertubuh kurus yang memakai topeng muka itu, Muhammad Hamizan mendapati tiada botol, kotak atau tin yang dikutip.

"Pelik, biasanya mereka yang datang ke tong sampah akan kutip barang untuk dijual. Nampak muka dia penat sangat, tak pasti sebab tak cukup makan atau puasa.

"Saya tanya buat apa sini. Dia takut-takut jawab. ‘Saya sebenarnya malu, saya datang sini nak cari makanan’. Bukan kutip botol atau kotak, tapi dia tunjuk sebungkus roti yang hanya tinggal dua keping kerak roti, mungkin sisa buangan orang.



Muhammad Hamizan (kanan) memberi sumbangan kepada lelaki berkenaan.

"Sepanjang saya tegur orang-orang yang kutip barang di tong sampah, ini pertama kali orang tu tak fikir barang lain untuk dapat duit, tapi hanya makanan. Sedih saya tengok," ujarnya sambil menambah lelaki berkenaan turut membawa sebuah basikal.

Muhammad Hamizan bagaimanapun memberitahu, beliau hanya sempat meluangkan masa yang pendek bersama lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu kerana perlu bergegas ke beberapa lokasi untuk memberikan sumbangan sebelum waktu berbuka puasa.

Saya tak pasti dua keping kerak roti yang dikutipnya itu masih elok dimakan atau sudah tamat tempoh. Tapi, saya beritahu jangan makan roti tu... saya beri dia beras.

MUHAMMAD HAMIZAN

"Saya tak pasti dua keping kerak roti yang dikutip itu masih elok dimakan atau sudah tamat tempoh. Tapi, saya beritahu jangan makan roti tu... saya beri dia beras.

"Kebetulan dalam kereta saya ada sebahagian barang-barang untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Pihak saya memberikan beberapa barang keperluan seperti sekampit beras, tepung, gula, bihun dan wang zakat untuk dibuat belanja," katanya.



Muhammad Hamizan berkongsi pengalaman mengenai seorang lelaki yang mengutip sisa-sisa makanan.

Namun, beliau mengakui sedikit terkilan kerana pertemuan bersama lelaki yang mengutip sisa makanan di tong sampah di tepi jalan itu berlaku begitu pantas.

"Saya agak ralat sebab jumpa dia sekejap, sebab saya perlu berkejar ke tempat lain untuk beri bantuan. Mujur ada barang-barang keperluan dalam kereta.

"Berdasarkan maklumat pegawai saya hari ini, orang sekitar menggelarkannya sebagai Pokjik Basikal Merah. Persoalannya, siapa dia, apa kerja dia, sudah berkeluarga atau ada anak-anak dan kenapa dia selongkar makanan di tong sampah tu. InsyaAllah saya akan berjumpa dengan pakcik ni untuk tahu kisah sebaliknya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain