Mas kahwin ‘muncul’ dulu, selepas 3 tahun baru jumpa jodoh... kemudian gigih cari nombor siri - “Bertambah teruja nak bernikah” - Viral | mStar

Mas kahwin ‘muncul’ dulu, selepas 3 tahun baru jumpa jodoh... kemudian gigih cari nombor siri - “Bertambah teruja nak bernikah”

Misi Abu untuk membuat kejutan dengan menggubah mas kahwin buat isterinya berjaya. Foto ihsan Abu Bakar Ramlay

GUBAHAN mas kahwin sudah banyak diamalkan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, sama seperti yang dilakukan oleh seorang pemuda ini.

Hanya menggunakan nombor siri dan angka wang kertas yang dipaparkan pada sebuah bingkai gambar, ia tersusun cantik memaparkan tarikh pernikahan dan nama pengantin lelaki dan perempuan.

“Aku terima nikah... dengan mas kahwin RM300 tunai,” tulisnya menerusi satu perkongsian di laman Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hantu ayam’ dapat KFC sebagai hantaran, baju bertunang tak sempat tukar terus ‘ngap’ 2 ketul paha

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

Pengantin lelaki berkenaan, Abu Bakar Ramlay berkata, dia mengenali isterinya sejak empat tahun lalu sebelum bertunang pada Julai 2019.

Perkongsian Abu mengenai mas kahwin menjadi tular di media sosial.

Pemuda berusia 26 tahun itu bagaimanapun mendedahkan idea untuk membuat gubahan mas kahwin seperti itu tercetus kira-kira tujuh tahun lalu.

“Kira-kira tujuh tahun lalu, saya ternampak satu posting di internet mengenai gubahan mas kahwin menerusi nombor siri wang kertas.

“Masa tu terdetik di hati saya, kalau nanti saya temui seseorang untuk dijadikan isteri, akan saya buat mas kahwin dengan gubahan itu,” katanya kepada mStar.

Gubahan mas kahwin bersama hantaran buat pengantin.

Lebih mesra dengan panggilan Abu, dia memulakan misi mengumpul wang kertas dengan nombor siri yang sepadan, sejak hampir setahun lalu.

“Bila dah tahu tarikh nikah 22 Februari 2020 (22.2.2020) lagi mudah untuk saya tumpukan misi ni. Memandangkan isteri saya berasal dari Selangor, jadi kadar minimum mas kahwin yang ditetapkan adalah RM300.

“Masa tu dah hantar borang permohonan perkahwinan yang dah sebut mas kahwin RM300. Misi terganggu seketika sebab gabungan nama saya dan isteri adalah sebanyak 21 huruf, jadi kalau setiap huruf guna wang kertas RM10, jumlahnya adalah RM210.

“Sedangkan saya memerlukan lima not RM20 untuk tarikh nikah, menjadikan jumlahnya sebanyak RM310, ada lebihan di situ,” ujarnya, merujuk nama isterinya, Najat Nadhirah.

Wajah ceria Abu sambil menunjukkan bingkai yang mengandungi gubahan mas kahwin rekaannya.

Abu yang berasal dari Muar, Johor berkata, dia kemudian mencari jalan penyelesaian dengan mencari nombor siri yang mempunyai dua huruf nama mereka bagi meminimumkan penggunaan wang kertas berkenaan.

“Memang mencabar misi ni. Setiap kali berbelanja dan terima duit baki, saya akan tengok dulu nombor siri dan kalau sepadan, saya akan asingkan dan simpan.

Saya akui bukanlah seorang yang kreatif dan gubahan masa kahwin ini merupakan perkara yang paling kreatif pernah saya buat sepanjang hidup.

ABU

“Bukan mudah nak cari, sebab nak cari nombor siri dengan huruf yang ‘bergabung’ seperti AK untuk nama Bakar. Kalau jumpa yang sepadan, keadaan wang kertas tu pula buruk dan tak sesuai digunakan sebagai gubahan mas kahwin,” katanya.

Walaupun menganggap sukar untuk menyempurkan misi tersebut, Abu yang merupakan eksekutif kewangan itu akhirnya berjaya mengumpul kesemua wang kertas yang sepadan kira-kira sebulan sebelum hari pernikahan.

Abu berkahwin dengan Najat Nadhirah selepas berkenalan empat tahun lalu.

Jelasnya, gubahan mas kahwin RM300 itu terdiri daripada lima not RM20, 19 not (RM10) termasuk hiasan tambahan dua not RM5.

“Saya akui bukanlah seorang yang kreatif dan gubahan masa kahwin ini merupakan perkara yang paling kreatif pernah saya buat sepanjang hidup.

“Ia juga adalah kejutan buat isteri saya. Bila saya buat gubahan mas kahwin ni dengan bantuan adik, bertambah lagi perasaan gembira dan teruja saya untuk bernikah.

“Saya sebenarnya bukan jenis suka berkongsi hal peribadi di media sosial, tapi gubahan mas kahwin ini wajar saya kongsikan kepada umum kerana ia ada nilai sentimental dan ekspresi perasaan gembira saya mengenai misi telah tercapai,” katanya yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan gubahan itu.

mas kahwin , nikah , pengantin , wang kertas

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain