suria

Doktor dedah tugas di KK lebih stres banding unit kecemasan hospital – “Seorang doktor rawat 90 ke 100 pesakit dalam masa tujuh jam”

Seorang doktor berkongsi pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai Pengawai Perubatan di sebuah Klinik Kesihatan (KK) dalam satu posting di Facebook. Gambar sekadar hiasan.

BEBERAPA hari lalu tular satu klip video yang memaparkan pertelingkahan antara seorang doktor dengan pesakit di sebuah klinik kerajaan.

Dikatakan pertelingkahan itu tercetus gara-gara rasa tidak puas hati pesakit berkenaan yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan penularan klip video tersebut di media sosial, timbul pelbagai reaksi daripada netizen yang memberikan pandangan masing-masing berhubung insiden berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut jumpa doktor, "tiba-tiba mak lari keliling klinik bila nama dipanggil"

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu mental sihat selepas 7 tahun teruk belajar, doktor tinggalkan bidang perubatan - “Saya terperangkap dalam dunia yang saya tak suka”

Bagaimanapun, rata-ratanya tampil mempertahankan doktor berkenaan.

“Saya tetap sokong doktor itu… Jika pesakit nak cepat atau tak boleh tunggu, elok pergi klinik atau hospital swasta,” tulis seorang netizen.

“Ini terjadi bila kita hanya rasa masalah kita sahaja yang paling besar. Maka hilanglah rasa timbang rasa dan tolak ansur. Saya bersama doktor! Tidak bersama orang yang tidak tahu toleransi,” komen seorang netizen lain.

“Kesian doktor tu… kalaulah semua orang tahu macam mana tugas doktor tu sebenarnya mesti mereka faham,” tulis seorang netizen pula.

Perkongsian Dr Fara Izzati mengenai pengalamannya yang pernah bertugas di klinik kesihatan.

Sungguhpun isu berkenaan sudah diselesaikan antara kedua-dua belah pihak, namun seorang doktor terpanggil untuk berkongsi pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai pengawai perubatan di sebuah klinik kesihatan (KK).

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Dr Fara Izzati Yusoff menerangkan betapa tugas seorang doktor di klinik kesihatan sangat berat sehingga jumlah pesakit mencecah seramai 100 orang khususnya di kawasan berkepadatan tinggi.

Dalam masa empat minit, doktor perlu bertanyakan berkenaan penyakit pesakit, memeriksa pesakit, memikirkan diagnosis pesakit, memasukkan rekod pesakit, menerangkan kepada pesakit berkenaan penyakit dan rawatan, juga perlu menulis MC/surat rujukan kepada hospital bila perlu.

DR FARA IZZATI YUSOFF

DOKTOR

“Waktu klinik beroperasi, bermula 8 pagi sehingga 5 petang. Waktu rehat pula 1 petang hingga 2 petang.  Seramai 90 ke 100 pesakit itu perlu dilihat oleh seorang doktor dalam masa tujuh jam..

“Ini memberi purata empat minit untuk seorang pesakit dilihat dan dirawat oleh seorang doktor di klinik kesihatan.

“Dalam masa empat minit, doktor perlu bertanyakan berkenaan penyakit pesakit, memeriksa pesakit, memikirkan diagnosis pesakit, memasukkan rekod pesakit, menerangkan kepada pesakit berkenaan penyakit dan rawatan, juga perlu menulis MC/surat rujukan kepada hospital bila perlu.

“Begitu banyak benda yang perlu dilakukan dalam tempoh masa tersebut untuk seorang pesakit. Tipulah jika ada di antara anda boleh bekerja dalam situasi tersebut tanpa rasa stres,” tulisnya di Facebook.

Kes seorang doktor yang tular baru-baru ini gara-gara pertelingkahan bersama seorang pesakit yang mendakwa terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. 

Doktor wanita itu juga berkata, berdasarkan pengalamannya bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bekerja di klinik kesihatan adalah jauh lebih stres berbanding di jabatan kecemasan hospital.

“Klinik kesihatan hanya ada tiga hingga empat doktor yang akan bertugas merawat pesakit luar dan juga menjalankan rawatan susulan untuk pesakit kencing manis, darah tinggi, asma, tibi dan lain-lain.

Tiga hingga empat doktor inilah yang akan bertungkus lumus sepanjang hari untuk melihat kesemua pesakit.

Sungguhpun berdepan dengan bebanan tugas yang berat saban hari, namun masih ramai doktor di klinik kesihatan yang mampu memberikan rawatan terbaik kepada pesakit. 

“Di jabatan kecemasan hospital pula, hatta sebagaimana ramai pun pesakit kritikal yang ada, masih ramai doktor, doktor pelatih malah pakar perubatan kecemasan untuk membantu merawat pesakit-pesakit tersebut.

“Ia tahap stres yang berbeza. Stres itulah yang boleh membuat seseorang gagal mengawal emosi. Bebanan kerja, kekurangan kakitangan, kebanjiran pesakit, masa terhad dan tekanan luar, semua menyumbang kepada persekitaran kerja yang stres,” ujarnya.

Namun begitu, dalam keadaan sedemikian, masih ramai doktor di klinik kesihatan yang boleh memberi rawatan yang terbaik walaupun bekerja dalam keadaan stres, berdedikasi dan sanggup mengorbankan waktu rehat serta cuti, dan tidak pernah penat untuk menyampaikan kempen-kempen kesihatan kepada masyarakat.

“Bagi saya, mereka inilah our unsung heroes (wira yang tak didendang). Terima kasih kepada petugas-petugas klinik kesihatan yang masih boleh memberi rawatan awal yang baik kepada pesakit walaupun dalam keadaan stres,” tulisnya lagi.

Sehingga kini, posting itu meraih 262 shares serta dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan perkongsian tersebut. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain