suria

Balik Malaysia, kanak-kanak genius tanya kenapa bumi berputar - “Saya suruh dia cuba tanya pada atuk dialah”

Pasangan suami isteri ini mahu anak mereka, Haryz yang berumur tiga tahun membesar seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

IBU bapa kepada seorang kanak-kanak Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) dan mencipta sejarah apabila dipilih menjadi ahli termuda terbaharu menyertai persatuan kecerdasan minda (IQ) tinggi antarabangsa, Mensa, menyifatkan anaknya seperti anak-anak yang lain.

Walaupun tiada sebarang rasa hati ketika mengandung, ibu kepada Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim yang berusia tiga tahun mendedahkan mengenai pengalamannya semasa hamil.

“Saya banyak menghabiskan masa baca research paper (kertas penyelidikan). Jadi, research paper tu macam susah, mungkin membuatkan otak dia macam membaca juga,” kata Nur Anira Asyikin Hashim, 30, dalam wawancara di saluran Sinar FM, pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kebanyakan soalan yang keluar dari mulutnya tak mampu kami jawab” - Ibu kanak-kanak ‘genius’ kongsi bagaimana IQ tinggi anaknya dikesan pakar di Britain

ARTIKEL BERKAITAN: Umur 3 tahun, kanak-kanak ‘genius’ Malaysia jadi antara individu termuda di dunia diterima masuk ke Mensa

Nur Anira turut memberitahu tiada perancangan untuk Haryz setakat ini, sebaliknya dia dan suami mahu anak mereka bercampur dengan kanak-kanak seusia dengannya.

“Sebab benda tu penting untuk perkembangan emosi,” tambahnya.

Haryz menumpukan aktiviti melibatkan komputer dan televisyen, berbanding gajet.

Ditanya sama ada Haryz diperkenalkan dengan gajet, sebagaimana yang menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang, ibu kanak-kanak itu memberitahu anak-anak mereka hanya diperkenalkan dengan komputer peribadi (PC) dan televisyen (TV).

“Kami beri dia main PC ataupun TV... tengok menerusi TV. Jadi, bila dia keluar dia tahu tak boleh ada gajet,” ujarnya.

Sementara itu, bapa Haryz, Mohd Hilmy Naim pula berkata, anaknya sering bertanyakan soalan-soalan secara spontan termasuk yang sukar untuk dijawab.

Terbaharu pada Ahad, Mohd Hilmy dan isteri dilontarkan soalan ‘menguji minda’ secara spontan daripada anaknya itu.

“Dia tanya kenapa bumi ini berputar? Saya waktu tu jawapan dalam kepala tapi saya tak pasti sebab secara kebetulan masa tu saya tengah memandu.

“Jadi, saya kata nanti saya akan find out (cari) daripada internet. Jadi, dia pun terima,” katanya.

Haryz bersama ibu bapanya pada sesi wawancara bersama Sinar FM.

Menurut Mohd Hilmy, Haryz bagaimanapun mendapat jawapan tersebut daripada datuknya.

“Selepas balik tu, saya suruh dia cuba tanya pada atuk dialah. Atuk dia memang kebetulan mungkin dah sediakan jawapan atau terdengar perbualan kami, jadi dia pun jawab terus.

“Haryz kata okay… macam make senselah dengan jawapan tu,” katanya. 

Saya banyak menghabiskan masa research paper (kertas penyelidikan). Jadi, research paper tu macam susah, mungkin membuatkan otak dia macam membaca juga.

NUR ANIRA

Sebagai bapa, Mohd Hilmy berpandangan bahawa emosi setiap anak-anak seharusnya didahulukan tanpa mengira tahap kepandaian mereka.

“Biarkan mereka membesar dengan gembira,” katanya.

Malah, tiada ketetapan bilakah masa yang sesuai untuk mengajar anak-anak kerana tahap pemikiran masing-masing adalah berbeza.

“Tapi kena mula seawal mungkin. Pada awalnya, kita kena bacakan buku untuk dia, kita kena kongsikan perasaan dengan dia.

“Daripada kita buat lambat, baik kita buat awal,” ujarnya yang mempunyai latar belakang pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang kejuruteraan, begitu juga isterinya.

Nur Anira sentiasa memberi galakan kepada Haryz.

Bagi Nur Anira, ibu bapa seharusnya memberikan galakan kepada anak-anak tanpa mengira tahap kepintaran mereka.

“Kalau ada anak tu... tak kira pandai ke tak pandai, dah patut bersyukurlah. Selebihnya kita kena galakkan, jangan paksa.

“Maksudnya, sediakan medium pembelajaran yang okay dan beri dia betul-betul gembira supaya dia boleh menerima tu dengan senang tanpa sebarang paksaan,” katanya sambil menambah Haryz sekeluarga akan menetap di Perlis.

Haryz menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa selepas menjadi individu paling muda terbaharu yang diterima masuk Mensa.

Menurut laporan media UK, Metro, Haryz mendapat skor IQ sebanyak 142 menerusi ujian Stanford Binet, sekali gus tergolong dalam 0.3 peratus kanak-kanak genius di dunia.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain